Saturday, 25 February 2012

DEMONSTRASI DAN UMAT ISLAM


Demonstrasi dan umat islam sangat sinonim kerana sejak setengah abad yang lampau, sejarah moden manusia memperlihatkan umat islam di serata dunia gemar melakukan demo bagi meluahkan rasa tidak puas hati mereka mahupun kemarahan terhadap sesuatu isu dan perkara. Jika kita melihat kembali sejarah moden tamadun manusia bangsa Eropah dan Asia Tengah lebih suka melakukan demonstrasi jalanan bagi menarik perhatian Kerajaan Pemerintah dan Dunia terhadap tuntutan mereka. Kita juga dapat melihat dekad ini di Malaysia banyak demonstrasi jalanan di buat oleh pihak-pihak berkepentingan samada dari parti politik mahupun NGO. Dan kalau dilihat dengan mata kasar sendiri yang terlibat dalam demo jalanan di Malaysia majoritinya adalah bangsa melayu yang beragama islam dan anda tidak boleh menafikan yang bangsa kita suka berdemo, baik dari yang kecil, remaja sehingga warga tua. Masing-masing cuba menunjukkan taring dan bisa mereka dan menunjukkan kepada dunia yang Rakyat Malaysia juga mempunyai hak asasi dan keberanian untuk berdemonstrasi. Saya tiada masalah jika hendak berdemo tetapi biarlah kena pada masa , tempat dan sikap. Cuma saya ingin menarik perhatian anda semua kenapa seolah-olah umat islam sahaja yang kerap dan suka melakukan demo jalanan berbanding dengan bangsa lain seantero dunia. Adakah kuasa umat islam yang berjumlah hampir 1.5 Billion ini hanya mampu berdemo bagi menuntut keadilan dan melahirkan rasa tidak puas hati mereka? Kita boleh lihat sepanjang tahun lepas dan awal tahun ini kebanyakan Negara-negara islam di timur tengah sana dilanda badai tsunami politik ataupun ‘’Arab Springs’’ yang berkemungkinan dirancang oleh tangan-tangan ghaib ataupun memang ia berlaku melalui kebangkitan rakyat. Saya sentiasa cuba up-date dengan isu-isu semasa dunia dan Malaysia walaupun agak sibuk dengan kerja, dan saya dapati saban hari cerita demonstrasi merupakan isu favourite umat islam termasuk Malaysia.

Apakah punca dan sebab musabab berlakunya demonstrasi jalanan ini? pada pendapat saya demonstrasi ini boleh berlaku akibat dari 3  perkara pokok iaitu  yang pertamanya adalah ekonomi. Ekonomi merupakan salah satu factor utama mengapa terjadinya demo jalanan oleh rakyat. Umum mengetahui Negara akan menjadi maju dan kaya jika ekonominya diuruskan dengan baik oleh kerajaan, begitu juga sebaliknya. Ekonomi yang baik dan sihat memainkan peranan yang penting dalam memangkin pertumbuhan dan pembangunan Negara dan rakyatnya. Jika ekonomi sesebuah Negara sihat dan baik, maka banyak pelaburan asing (FDI) masuk ke Negara tersebut dan banyaklah peluang pekerjaan untuk rakyat.  Jika banyak peluang pekerjaan makan kuranglah kadar pengangguran rakyat dan pendapatan isi rumah meningkat, maka secara tidak langsung ia menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi Negara yang subur iaitu sekitar 8% ke atas bagi setiap tahun kewangan. Siapa yang tidak suka untuk tinggal dan hidup di Negara yang subur ekonominya seperti saya jelaskan di atas? Sudah pasti tiada demo dilakukan kerana masing-masing berpuas hati dengan ekonomi Negara. Tetapi jika ekonomi sesebuah Negara di uruskan dengan teruk, banyak hutang dan ketirisan berlaku maka rakyat juga akan merasa tempiasnya. Ramai yang dibuang kerja tanpa pampas an, gaji dipotong dan peluang pekerjaan yang sikit. Maka rakyat akan bangkit untuk melahirkan rasa tidak puas hati mereka dan melakukan demo jalanan menuntuk perubahan kerajaan. Ini yang terjadi di Greece sejak krisis Hutang melampau pada tahun 2008 lepas. Ini juga yang terjadi di kebanyakan Negara-negara EU termasuk Amerika sendiri kerana krisis hutang yang melampau. Ia juga penyebab kenapa presiden Zine el Abidin ditendang keluar oleh rakyatnya sendiri.

Faktor kedua pula adalah Politik, politik merupakan satu subjek popular dalam kajian demo jalanan manusia terutama umat Islam amnya.  Sebenarnya faktor politik ini sangat bersangkut paut dengan faktor ekonomi kerana faktor kecelaruan ekonomi boleh mempengaruhi rakyat untuk bangkit menentang kerajaan bagi menukar kerajaan sedia ada dan secara tak langsung tujuan demo tersebut telah menjadi medan percaturan politik di mana nasib kerajaan bergantung kepada rakyat di jalanan. Jika terdapat 100,000.00 rakyat yang turun berdemo maka tidak mustahil akan ada 1000 yang cuba mengambil kesempatan dalam demo tersebut untuk menjatuhkan kerajaan sedia ada. Kita lihat apa yang telah berlaku di Negara-negara arab 2 tahun kebelakangan ini di mana satu demi satu Negara dan rejim arab runtuh satu persatu dek kebangkitan rakyat mahupun tangan-tangan ghaib. Bermula dari, Yaman, Mesir, Libya dan sekarang Syria sedang bergolak kerana kebangkitan rakyatnya. Kita boleh lihat rejim-rejim tersebut yang telah memerintah lebih dari 30 tahun ditumbangkan dengan kuasa demo jalanan sahaja kecuali Libya dan Syria. Libya melalui arwah Presiden nya Muammar Gaddafi mati ditangan rakyatnya sendiri. Di Malaysia pula banyak demo jalanan yang disertai majoritinya umat islam berlaku sepanjang 3 tahun kebelakangan ini. kita boleh ambil contoh demo BERSIH 1 & 2 yang dilakukan oleh parti pembangkang yang mempunyai kepentingan politik, begitu juga demo yang dilakukan oleh NGO-NGO seperti PERKASA dan badan-badan Politik Pro Kerajaan termasuk UMNO sendiri. Walaupun demo tersebut dibuat untuk keadilan dan ketelusan namun ia tetap tidak dapat lari dari bayangan dan motif politik kerana ia dilakukan oleh mereka yang berkepentingan dalam politik. Dan seperti biasa demo tersebut majoritinya disertai oleh umat Islam, dan bangsa lain hanya melihat kita bergaduh sesama sendiri dan tergelak-gelak lucu.

Selalunya demo kerana faktor politik berlaku kerana permainan politik kedua belah pihak yang memjengkelkan lalu menimbulkan perasaan tidak puas hati dan terjadilah demo. Banyak isu-isu politik yang menjengkelkan diketengahkah oleh kedua-dua belah pihak. Selalunya mereka bermain polemik dan cuba mencetuskan faktor penggerak untuk mencetuskan demonstrasi. Itu di Malaysia, bagaimana pula dengan di Negara-negara arab? Kita boleh lihat yang kebanyakan Negara-negara arab yang tumbang adalah Negara yang telah diperintah oleh rejim mereka sendiri lebih dari 30 tahun. Selama pemerintahan tersebut tidak banyak perubahan dan kemajuan yang telah dijelmakan oleh pemerintah sedia ada, masalah rasuah berleluasa dan pemimpin atasan mengaut kekayaan dan hasil Minyak dan dibawa lari ke luar Negara. Negara  tidak maju, ekonomi perlahan dan ramai rakyat mengangur kerana pemimpin sedia ada tidak mengambil peduli nasib mereka. Lalu satu persatu rejim-rejim ini tumbang di tangan rakyat. Kita masih boleh melihat saban hari demo jalanan berlaku di Dataran Tahrir Mesir, walaupun rejim Hosni Mubarak telah tumbang tetapi masih terdapat kelompok yang tidak berpuas hati terhadap kepimpinan sedia ada. Begitu juga di Libya apabila masih berlaku demo jalanan oleh puak-puak wilayah yang tidak berpuas hati dengan kepimpinan National Transfer Council (NFC). di Negara –Negara bumi Anbia’ tersebut terdapat banyak puak-puak yang bertelagah serta fahaman agama yang berbeza-beza dari ajaran asal islam. Bukan senang untuk mencari pemimpin yang mampu menyatukan rakyatnya yang berbilang puak dan fahaman menjadi satu seperti yang dilakukan oleh Arwah Presiden Saddam Hussein dan Muammar Gadafi.

itu kisah dalaman Negara, bagaimana pula dengan mereka yang berdemo kerana tidak berpuas hati dengan dasar-dasar luar dan kejejaman yang telah dilakukan seperti kekejaman Israel terhadap Palestine? Kekejaman rejim Serbia terhadap umat islam bosnia? Kekejaman rejim Russia tehadap penduduk islam Chehnya? Kekejaman rejim Bush terhadap umat Islam Afghanistan dan Iraq? Kekejaman terhadapa etnik Rohingya Islam dan umat islam Afrika? isu paderi Denmark yang cuba membakar Al-Quran bagi memperingati peristiwa 11 September 2001, dan isu terbaru di mana tentera NATO telah membakar AL-Quran di kem tentera NATO di Afghanistan. Pemuda PAS juga telah melakukan demo aman sebagai tanda bantahan terhadap tentera NATO yang bertindak membakar AL-Quran. Pemuda UMNO juga telah melakukan demo aman bagi melahirkan bantahan rasmi terhadap isu Sokongan DSAI terhadap Israel. Jika kita melihat kesemua isu-isu demo ini kita boleh Nampak yang demo jalanan ini dan umat islam sangat sinonim, ibarat aur dengan tebing, tidak boleh dipisahkan ibarat sepasang kekasih.  Sikit-sikit demo, tak puas hati sikit demo, marah sikit demo dan itulah sebilangan umat islam Malaysia dan dunia amnya. Adakah tiada cara lain yang lebih berkesan untuk melahirkan rasa tidak puas hati? Kenapa demo sahaja yang menjadi pilihan sedangkan ia member kesan jangka panjang terhadap kestabilan sesebuah Negara. Kenapa setiap kali rakyat Palestine dibunuh dan diperlakukan seperti mainan kita hanya mampu membawa sepanduk dan terjerit-jerit tidak puas hati terhadap Israel? Tidak mampukah kita melawan tentera zionis tersebut? Mungkin inilah kesannya akibat menjadi umat pengguna, bukan pencipta.

Ya, umat Islam seantero dunia hanyalah umat Pengguna kepada produk-produk dan perkhidmatan yang telah dibekalkan oleh bangsa-bangsa lain. Kita menggunakan majoriti ciptaan produk dan perkhidmatan mereka, kita makan produk makanan mereka, kita terpaksa menurut sistem mereka. Anda pernah makan Burger di Mcdonald’s? anda pernah minum Coke? Anda pernah menggunakan telefon bimbit Nokia? Saya pasti semuanya pernah, termasuk saya juga. Kenapa kita tidak mampu untuk menidakkan penggunaan produk2 tersebut? Kenapa kita tidak mampu untuk memboikot produk tersebut? Jika kita memboikot, apa pula yang terjadi pada pekerja-pekerja syarikat tersebut yang rata-ratanya juga pekerja Melayu kita? Apa kesannya jika kita ini hanya umat pengguna berbanding pencipta? Kelebihan mereka bangsa pencipta adalah mereka mempunyai kuasa dalam mempengaruhi dasar-dasar Kerajaan sesebuah Negara. Inilah yang terjadi terhadap sistem perbankan dunia yang dikuasai oleh golongan Yahudi dan Barat di mana sistem kewangan yang sedia ada sekarang ini adalah dicipta oleh mereka, sistem kewangan konvensional ini dicipta bertujuan untuk memerangkap ekonomi dunia dan Negara-negara supaya tunduk dan patuh kepada arahan mereka. Walaupun Iraq & Afghanistan di Bom, Umat Palestine di seksa, Negara-negara besar Islam mahupun OIC hanya mampu melihat sahaja tanpa berbuat apa-apa. Kerana istilah umat Pengguna memang tidak mampu untuk membuat apa- apa apatah lagi melawan mereka bangsa pencipta. Lalu tercetuslah demo jalanan yang diharapkan mampu untuk memberi perubahan positif terhadap sesebuah Negara mahupun kesan negatif yang tiada sudahnya. Apa jalan penyelsaian terhadap isu ini?? jawapanya umat islam perlu bersatu kembali dan berpegang kepada ajaran Islam yang sebenar, bukan ajaran islam yang disesuaikan dengan geopolitik Negara semasa, tetapi ajaran yang berlandaskan Al-Quran dan Sunnah Nabi Junjungan kita.  

By : Nuris

Friday, 24 February 2012

KERJAYA ANDA


Kerjaya mana yang anda semua pilih? Kita sering terfikir akan kerjaya yang terbaik untuk kita selepas  menamatkan pengajian di Universiti. Kadangkala kerjaya yang kita dapat itu tidak sepadan dengan apa yang kita belajar semasa di Universiti. Mungkin anda mengambil Akaun semasa belajar , tetapi kerjaya anda selepas belajar pula adalah sebagai Sales & marketing. Sangat berbeza dengan apa yang dipelajari ketika zaman di Universiti dan semasa pekerjaan. Contohnya Chef Wan Ismail, beliau mengambil jurusan Akaun ketika di university, tetapi sekarang kerjaya beliau adalah chef masakan yang terkenal di Malaysia dan dunia masakan amnya. Tetapi berbeza pula dengan anak beliau Chef Riz Ismail di mana Chef Riz mengambil jurusan masakan & Kulinari semasa di Universiti dan kerjaya beliau sekarang adalah Chef. Bagaimana dengan anda semua? Adakah anda telah mencapai cita-cita impian kerjaya anda? Ataupun masih tercari-cari kerjaya yang bersesuaian dengan diri anda.

Secara umumnya setelah tamat belajar, kita semua akan menentukan arah tuju kerjaya kita dengan cara yang tersendiri bedasarkan keadaan semasa dan berbagai faktor. Ada sesetengah individu yang ingin mencari kareer yang selamat dan terjamin untuk jangka masa panjang. Mereka ini inginkan kerjaya yang betul-betul dapat memberikan mereka jaminan kerjaya yang berpanjangan. Selalunya mereka ini semua berminat untuk bekerjaya di sektor awam. Sektor awam samada Kerajaan Persekutuan, Kerajaan Negeri dan Badan Berkananun   merupakan tempat pekerjaan yang ideal bagi mereka yang inginkan kerjaya yang selamat dan terjamin. Kebiasaannya ruang untuk diberhentikan (retrenchment) di sektor awam akibat daripada krisis ekonomi amatlah tipis kecuali Negara tersebut jatuh muflis akibat krisis hutang mahupun ekonomi. Tetapi walaupun Negara tersebut muflis , mereka tetap memerlukan sebuah kerajaan bagi memulihkan ekonomi dan memerintah Negara. Oleh yang demikian sektor awam merupakan satu sektor yang hampir pasti tidak akan lumpuh walau apa pun yang terjadi.

Jika bekerja di sektor awam, kita akan diberikan banyak kemudahan dan kelebihan berbanding sektor lain di Malaysia. Contohnya kemudahan dari segi pinjaman kerajaan, perumahan, bantuan perubatan dan yang paling penting adalah pencen persaraan. Selain daripada faktor jaminan kerjaya yang selamat, Pencen merupakan faktor utama mengapa ramai yang ingin menyertai sektor awam. Tidak dinafikan yang pencen merupakan tarikan utama mengapa ramai yang ingin menyertai perkhidmatan awam. Jika diberhentikan pun, ada jaminan gratuiti dan pencen persaraan yang sedikit sebanyak mampu untuk menampung kehidupan di hari tua. Cuba anda bertanya kepada ibu bapa anda semua tentang kerjaya yang anda patut pilih, pasti jawapan mereka adalah kerja Kerajaan. Ya, sebilangan besar ibu bapa kita semua yang saya pasti umurnya lebih kurang sama mempunyai stigma dan tipikal pemikiran melayu lama di mana mereka semua berharap yang anak – anak mereka bekerja di sektor awam kerana ada pencen dan jaminan. Tetapi sebilangan kita pula tidak menganggap yang pencen itu merupakan faktor penting dalam kerjaya, duit KWSP sudah memadai asalkan kita tahu bagaimana untuk menguruskan duit tersebut ketika bersara nanti. Terdapat perbezaan dari segi pemikiran dan pandangan ibu bapa kita yang dilahirkan di era baby Boomers dan kita semua yang dikategorikan dalam Gen-X. itu normal, zaman kita membesar dan zaman ibu bapa kita membesar adalah berbeza dan ia mempengaruhi cara dan gaya kita semua berfikir.

Pendapat saya secara peribadi, bekerja di Perkhidmatan Persekutuan  ( Federal Government) berbanding dengan Perkhidmatan Negeri adalah lebih bagus dan mencabar. Ini kerana peluang untuk kenaikan pangkat dan nilai tambah di perkhidmatan awam persekutuan amatlah cerah dan bagus. Lebih – lebih lagi mereka- mereka yang berjawatan Gunasama dalam perkhidmatan seperti PTD, Pegawai Teknologi Maklumat, Akauntan dan Pentadbiran. Peluang kenaikan pangkat bagi mereka yang tergolong dalam skim perjawatan ini amatlah cerah dan tinggi, terutamanya Pegawai Tadbir & Diplomatik (PTD). PTD merupakan kerjaya idaman bagi sebilangan besar pemegang ijazah di Malaysia, termasuk saya juga. Tetapi untuk memasuki perkhidmatan PTD bukanlah mudah, banyak cabaran dan prsoedur untuk bergelar Pegawai Tadbir & Diplomatik. PTD (M41) merupakan satu – satunya jawatan yang mempunyai peluang kenaikan pangkat yang tinggi di perkhidmatan awam Malaysia. Skim PTD ini sangat istimewa kerana peluang kenaikannya sangat luas dan boleh pergi ke jawatan yang tertinggi sekali di Perkhidmatan Awam iaitu Ketua Setiausaha Negara (KSN) yang sekarang ini di jawat oleh Tan Sri Sidek Hassan (TURUS 1).  Begitu juga majoriti Ketua Setiausaha Kementerian (KSU TURUS 3) adalah dari kalangan PTD. Untuk pengetahuan anda semua juga, Menteri, Timbalan Menteri dan Setiausaha Politik bukanlah jawatan perkhidmatan awam. Tetapi jawatan politik yang telah dipilih oleh Ketua Kabinet iaitu Perdana Menteri Malaysia, jawatan menteri ini bermusim dan berubah mengikut rombakan yang akan dilakukan pada bila- bila masa. Adakah anda pernah mengimpikan kerjaya PTD sebagai kerjaya anda? Saya pasti sebilangan anda semua pernah bercita-cita untuk menjadi PTD untuk bebakti kepada Agama, Bangsa dan Negara. Rumusannya, Perkhidmatan awam merupakan sektor yang ideal bagi mereka yang inginkan kerjaya yang stabil dan selamat, walaupun kenaikan gaji itu perlahan dan sedikit jika nak dibandingkan dengan sektor swasta.

Yang kedua pula, adalah mereka yang Money Oriented iaitu mereka yang inginkan kerjaya yang menawarkan mereka gaji yang besar dan lumayan tetapi tidak berminat untuk menceburi bidang perniagaan. Saya tergolong dalam golongan ini, saya inginkan kerjaya yang mampu menawarkan gaji yang besar tetapi tidak berminat untuk menceburi bidang perniagaan. Kebiasaannya faktor gaji merupakan faktor dorongan utama bagi mereka untuk bekerja. Mereka akan mencari kareer yang mampu memberikan gaji dan kemudahan yang lumayan kepada mereka. Selalunya mereka ini tidak akan bekerja di sektor awam tetapi memilih untuk bekerja di sektor swasta. Di Malaysia, syarikat- syarikat besar yang bertaraf Multinasional dan High Profile adalah tempat yang ideal bagi mereka yang bersifat Money Oriented . Sektor Kejuruteraan, Perbankan , Hartanah dan Petroleum merupakan antara tempat pekerjaan high profile dan ideal bagi mereka semua. Itu belum kerjaya – kerjaya yang memerlukan Key Skill ataupun Intelektual Skill seperti Doktor dan Penysarah yang menawarkan gaji yang besar dan lumayan . Kerjaya Doktor dan Pensyarah adalah kerjaya yang ‘’already bonded’’ sejak mereka mengambil jurusan tersebut di Universiti. ‘’already bonded’’ bermaksud mereka telah mengambil kursus yang telah terjamin kekosongan kerja. Kursus yang diambil tersebut dan tempat mereka belajar adalah tempat yang diberikan pengkhuhusan untuk melahirkan graduan yang mempunyai set skill yang khusus dalam sesuatu bidang seperti bidang Kedoktoran dan Pensyarah. Lepas tamat belajar kerja memang sudah tersedia kerana ia mempunyai kuota.


Bagaimana pula dengan mereka yang suka bekerja di sektor swasta? Yang menawarkan peluang-peluang dan kemudahan yang tidak kurang hebatnya berbanding dengan sektor awam. Bekerja di sektor swasta juga merupakan satu peluang yang sangat bagus tetapi bergantung kepada syarikat apa yang kita bernanung. Syarikat swasta mempunyai risikonya yang tersendiri di mana risiko dibuang kerja mahupun di sarakan secara sukarela amatlah tinggi. Syarikat swasta kebiasannya adalah syarikat yang bermotifkan keuntungan semata – mata. Dan keuntungan itu bergantung kepada banyak faktor seperti ekonomi, politik, speculator dan sebagainya.  General Motors (GM) yang hampir muflis tetapi diselamatkan oleh Kerajaan Amerika melalui cara Bail-out. Pada tahun 2011 kerajaan Amerika telah meluluskan peruntukan tertinggi dalam sejarah dunia iaitu sebanyak 700 billion untuk menyelamatkan sebilangan besar syarikat-syarikat gergasi yang dimiliki oleh mereka. Ironinya mereka meniru cara Tun Dr Mahathir dan Kerajaan Malaysia ketika menangani krisis ekonomi 1998 dahulu dengan menggunakan cara Bail – out untuk menyelamatkan eknominya. Di sini kita boleh melihat yang sektor swasta amat ‘’Fragile’’ iaitu terdedah kepada risiko kerugian dan muflis. Tetapi sektor swasta juga mempunyai kelebihan yang tersendiri berbanding sektor awam di Malaysia. Sektor swasta mampu untuk memberikan gaji dan bonus yang lebih tinggi berbanding sektor awam. Cara dan budaya sektor awam juga berbeza dan merupakan antara daya penarik bagi mereka untuk bekerja di sektor swasta. Saya tidak nafikan yang saya amat berminat untuk kekal di sektor perbankan satu ketika dahulu sebelum saya menyertai sektor awam sehingga sekarang. Saya suka budaya kerja Swasta yang menitikberatkan persaingan dan KPI. Tetapi bagi saya kita adalah diri kita, walau di mana sektor pun kita bekerja jadilah diri kita yang sebenar. Kita tidak perlu mengikut orang lain ataupun cuba menjadi orang lain.

Anda semua berada di mana? Adakah anda tergolong dalam mereka yang inginkan kerjaya yang selamat dan jangka panjang? Ataupun anda seorang yang mengejar gaji tinggi? Ataupun suka bekerja di sektor swasta. Apa-apa pun terdapat banyak faktor yang akan mempengaruhi diri kita semua dalam pemilihan kerjaya pilihan kita semua, terserah kepada diri kita semua untuk memilih kerjaya manakah yang terbaik untuk diri kita.

By : Nuris

Tuesday, 21 February 2012

Majoriti Vs Minoriti

Salam pertemuan di alam siber. Lama cuti.
Beberapa soalan mudah :
a)    Pernah berebut tengok rancangan kegemaran dengan ahli keluarga yang lain?
b)    Pernah dilantik sebagai ketua kelas sebab ramai kawan-kawan angkat tangan memilih kita?

Tu antara soalan mudah berkaitan konsep majoriti atau dalam bahasa mudahnya konsep di mana yang lebih akan mengalahkan yang sedikit. Konsep yang mudah ini diaplikasikan ke dalam sistem politik yang diberi nama Demokrasi.
Saya tertarik untuk berbicara ringkas mengenai isu ni bilamana mutakhir ini banyak cubaan puak-puak yang kononnya memperjuangkan demokrasi tetapi membuat perkara yang bertentangan dengan demokrasi itu sendiri. Saya tidaklah anti mereka dan tidak pula menyokong kerajaan membuta tuli.
Sebagai negara yang mendukung prinsip demokrasi, sudah tentu kerajaan Malaysia mengadakan pilihanraya. Tempoh paling lama bagi sesebuah kerajaan di negara kita adalah selama lima tahun. Pilihanraya merupakan medan untuk menguji parti-parti bertanding dari segala aspek seperti tarikan manifesto, sejarah pemerintahan, latar belakang calon,  populariti, dan macam-macam lagi. Setelah parti yang menang menjadi kerajaan yang sah, maka parti tersebut akan menjadi kerajaan secara rasminya selama lima tahun maksimum. Di sinilah prinsip majoriti-minoriti diamalkan. Contohnya apabila parti A yang diwakili olah si A menang tipis dengan Si B dari parti B, si A tetap akan dinobatkan sebagai wakil rakyat di kawasan berkenaan. Maka sebagai orang yang memahami prinsip demokrasi seharusnya menerima keputusan tersebut dengan hati terbuka dan berazam untuk terus memenangi hati rakyat di kawasan tersebut pada pilihanraya akan datang. Bukan saja calon yang kalah, pengundi yang mengundi calon yang kalah tersebut juga perlu menerima hakikat bahawa waki rakyat mereka merupakan dari pihak lain.
Sayangnya,perkara tersebut tidak berlaku di Malaysia. Pihak yang kalah akan melakukan perkara-perkara berikut:
a)    Menuduh wujudnya pengundi hantu
b)    Berlakunya penipuan dalam kiraan undi
c)     Sistem pilihanraya Malaysia tidak telus.
Seharusnya pihak yang kalah mengakui keputusan tersebut. Hal ini menjadi lebih malang apabila pihak-pihak yang tidak sabar untuk menjadi pemimpin menggunakan orang ramai untuk membuat bantahan besar-besaran terhadap kerajaan atau sistem pilihanraya. Itu tak kena, ini tak kena.Pada pandangan peribadi saya, perkara ini tidak seharusnya berlaku. Sekiranya sistem demokrasi Malaysia tidak telus, bagaimana pihak pembangkang boleh menang besar dalam pilihanraya lepas. Pakai pengundi hantu  juga ke? Atau salah undi?

Perkara yang kita tunding akan kembali kepada kita apabila kita kerap mencari kesalahan pihak lain tanpa cuba melihat kekurangan pada diri kita. Berdemo bukanlah satu cara yang sihat dalam amalan demokrasi. Kalau berdemo boleh meruntuhkan sesuatu kerajaan, maka hapuskan saja sistem pilihanraya di negara kita. Tempoh maksimum lima tahun yang diberikan sebenarnya adalah untuk rakyat melihat sejauh mana parti pemerintah dapat mengotakan janji-janji pilihanraya lepas. Selepas tamat tempoh memerintah, pengundi bolehlah membuat keputusan sama ada untuk mengekalkan undi mereka atau memberikan undi kepada pihak lain. Hanya semudah itu.
Kesimpulannya, hormatilah pihak yang menang walaupun beliau hanya menang satu undi. Sekali lagi,ini hanya pandangan peribadi penulis.

Hingga dakwat yang terakhir!