Friday, 24 February 2012

KERJAYA ANDA


Kerjaya mana yang anda semua pilih? Kita sering terfikir akan kerjaya yang terbaik untuk kita selepas  menamatkan pengajian di Universiti. Kadangkala kerjaya yang kita dapat itu tidak sepadan dengan apa yang kita belajar semasa di Universiti. Mungkin anda mengambil Akaun semasa belajar , tetapi kerjaya anda selepas belajar pula adalah sebagai Sales & marketing. Sangat berbeza dengan apa yang dipelajari ketika zaman di Universiti dan semasa pekerjaan. Contohnya Chef Wan Ismail, beliau mengambil jurusan Akaun ketika di university, tetapi sekarang kerjaya beliau adalah chef masakan yang terkenal di Malaysia dan dunia masakan amnya. Tetapi berbeza pula dengan anak beliau Chef Riz Ismail di mana Chef Riz mengambil jurusan masakan & Kulinari semasa di Universiti dan kerjaya beliau sekarang adalah Chef. Bagaimana dengan anda semua? Adakah anda telah mencapai cita-cita impian kerjaya anda? Ataupun masih tercari-cari kerjaya yang bersesuaian dengan diri anda.

Secara umumnya setelah tamat belajar, kita semua akan menentukan arah tuju kerjaya kita dengan cara yang tersendiri bedasarkan keadaan semasa dan berbagai faktor. Ada sesetengah individu yang ingin mencari kareer yang selamat dan terjamin untuk jangka masa panjang. Mereka ini inginkan kerjaya yang betul-betul dapat memberikan mereka jaminan kerjaya yang berpanjangan. Selalunya mereka ini semua berminat untuk bekerjaya di sektor awam. Sektor awam samada Kerajaan Persekutuan, Kerajaan Negeri dan Badan Berkananun   merupakan tempat pekerjaan yang ideal bagi mereka yang inginkan kerjaya yang selamat dan terjamin. Kebiasaannya ruang untuk diberhentikan (retrenchment) di sektor awam akibat daripada krisis ekonomi amatlah tipis kecuali Negara tersebut jatuh muflis akibat krisis hutang mahupun ekonomi. Tetapi walaupun Negara tersebut muflis , mereka tetap memerlukan sebuah kerajaan bagi memulihkan ekonomi dan memerintah Negara. Oleh yang demikian sektor awam merupakan satu sektor yang hampir pasti tidak akan lumpuh walau apa pun yang terjadi.

Jika bekerja di sektor awam, kita akan diberikan banyak kemudahan dan kelebihan berbanding sektor lain di Malaysia. Contohnya kemudahan dari segi pinjaman kerajaan, perumahan, bantuan perubatan dan yang paling penting adalah pencen persaraan. Selain daripada faktor jaminan kerjaya yang selamat, Pencen merupakan faktor utama mengapa ramai yang ingin menyertai sektor awam. Tidak dinafikan yang pencen merupakan tarikan utama mengapa ramai yang ingin menyertai perkhidmatan awam. Jika diberhentikan pun, ada jaminan gratuiti dan pencen persaraan yang sedikit sebanyak mampu untuk menampung kehidupan di hari tua. Cuba anda bertanya kepada ibu bapa anda semua tentang kerjaya yang anda patut pilih, pasti jawapan mereka adalah kerja Kerajaan. Ya, sebilangan besar ibu bapa kita semua yang saya pasti umurnya lebih kurang sama mempunyai stigma dan tipikal pemikiran melayu lama di mana mereka semua berharap yang anak – anak mereka bekerja di sektor awam kerana ada pencen dan jaminan. Tetapi sebilangan kita pula tidak menganggap yang pencen itu merupakan faktor penting dalam kerjaya, duit KWSP sudah memadai asalkan kita tahu bagaimana untuk menguruskan duit tersebut ketika bersara nanti. Terdapat perbezaan dari segi pemikiran dan pandangan ibu bapa kita yang dilahirkan di era baby Boomers dan kita semua yang dikategorikan dalam Gen-X. itu normal, zaman kita membesar dan zaman ibu bapa kita membesar adalah berbeza dan ia mempengaruhi cara dan gaya kita semua berfikir.

Pendapat saya secara peribadi, bekerja di Perkhidmatan Persekutuan  ( Federal Government) berbanding dengan Perkhidmatan Negeri adalah lebih bagus dan mencabar. Ini kerana peluang untuk kenaikan pangkat dan nilai tambah di perkhidmatan awam persekutuan amatlah cerah dan bagus. Lebih – lebih lagi mereka- mereka yang berjawatan Gunasama dalam perkhidmatan seperti PTD, Pegawai Teknologi Maklumat, Akauntan dan Pentadbiran. Peluang kenaikan pangkat bagi mereka yang tergolong dalam skim perjawatan ini amatlah cerah dan tinggi, terutamanya Pegawai Tadbir & Diplomatik (PTD). PTD merupakan kerjaya idaman bagi sebilangan besar pemegang ijazah di Malaysia, termasuk saya juga. Tetapi untuk memasuki perkhidmatan PTD bukanlah mudah, banyak cabaran dan prsoedur untuk bergelar Pegawai Tadbir & Diplomatik. PTD (M41) merupakan satu – satunya jawatan yang mempunyai peluang kenaikan pangkat yang tinggi di perkhidmatan awam Malaysia. Skim PTD ini sangat istimewa kerana peluang kenaikannya sangat luas dan boleh pergi ke jawatan yang tertinggi sekali di Perkhidmatan Awam iaitu Ketua Setiausaha Negara (KSN) yang sekarang ini di jawat oleh Tan Sri Sidek Hassan (TURUS 1).  Begitu juga majoriti Ketua Setiausaha Kementerian (KSU TURUS 3) adalah dari kalangan PTD. Untuk pengetahuan anda semua juga, Menteri, Timbalan Menteri dan Setiausaha Politik bukanlah jawatan perkhidmatan awam. Tetapi jawatan politik yang telah dipilih oleh Ketua Kabinet iaitu Perdana Menteri Malaysia, jawatan menteri ini bermusim dan berubah mengikut rombakan yang akan dilakukan pada bila- bila masa. Adakah anda pernah mengimpikan kerjaya PTD sebagai kerjaya anda? Saya pasti sebilangan anda semua pernah bercita-cita untuk menjadi PTD untuk bebakti kepada Agama, Bangsa dan Negara. Rumusannya, Perkhidmatan awam merupakan sektor yang ideal bagi mereka yang inginkan kerjaya yang stabil dan selamat, walaupun kenaikan gaji itu perlahan dan sedikit jika nak dibandingkan dengan sektor swasta.

Yang kedua pula, adalah mereka yang Money Oriented iaitu mereka yang inginkan kerjaya yang menawarkan mereka gaji yang besar dan lumayan tetapi tidak berminat untuk menceburi bidang perniagaan. Saya tergolong dalam golongan ini, saya inginkan kerjaya yang mampu menawarkan gaji yang besar tetapi tidak berminat untuk menceburi bidang perniagaan. Kebiasaannya faktor gaji merupakan faktor dorongan utama bagi mereka untuk bekerja. Mereka akan mencari kareer yang mampu memberikan gaji dan kemudahan yang lumayan kepada mereka. Selalunya mereka ini tidak akan bekerja di sektor awam tetapi memilih untuk bekerja di sektor swasta. Di Malaysia, syarikat- syarikat besar yang bertaraf Multinasional dan High Profile adalah tempat yang ideal bagi mereka yang bersifat Money Oriented . Sektor Kejuruteraan, Perbankan , Hartanah dan Petroleum merupakan antara tempat pekerjaan high profile dan ideal bagi mereka semua. Itu belum kerjaya – kerjaya yang memerlukan Key Skill ataupun Intelektual Skill seperti Doktor dan Penysarah yang menawarkan gaji yang besar dan lumayan . Kerjaya Doktor dan Pensyarah adalah kerjaya yang ‘’already bonded’’ sejak mereka mengambil jurusan tersebut di Universiti. ‘’already bonded’’ bermaksud mereka telah mengambil kursus yang telah terjamin kekosongan kerja. Kursus yang diambil tersebut dan tempat mereka belajar adalah tempat yang diberikan pengkhuhusan untuk melahirkan graduan yang mempunyai set skill yang khusus dalam sesuatu bidang seperti bidang Kedoktoran dan Pensyarah. Lepas tamat belajar kerja memang sudah tersedia kerana ia mempunyai kuota.


Bagaimana pula dengan mereka yang suka bekerja di sektor swasta? Yang menawarkan peluang-peluang dan kemudahan yang tidak kurang hebatnya berbanding dengan sektor awam. Bekerja di sektor swasta juga merupakan satu peluang yang sangat bagus tetapi bergantung kepada syarikat apa yang kita bernanung. Syarikat swasta mempunyai risikonya yang tersendiri di mana risiko dibuang kerja mahupun di sarakan secara sukarela amatlah tinggi. Syarikat swasta kebiasannya adalah syarikat yang bermotifkan keuntungan semata – mata. Dan keuntungan itu bergantung kepada banyak faktor seperti ekonomi, politik, speculator dan sebagainya.  General Motors (GM) yang hampir muflis tetapi diselamatkan oleh Kerajaan Amerika melalui cara Bail-out. Pada tahun 2011 kerajaan Amerika telah meluluskan peruntukan tertinggi dalam sejarah dunia iaitu sebanyak 700 billion untuk menyelamatkan sebilangan besar syarikat-syarikat gergasi yang dimiliki oleh mereka. Ironinya mereka meniru cara Tun Dr Mahathir dan Kerajaan Malaysia ketika menangani krisis ekonomi 1998 dahulu dengan menggunakan cara Bail – out untuk menyelamatkan eknominya. Di sini kita boleh melihat yang sektor swasta amat ‘’Fragile’’ iaitu terdedah kepada risiko kerugian dan muflis. Tetapi sektor swasta juga mempunyai kelebihan yang tersendiri berbanding sektor awam di Malaysia. Sektor swasta mampu untuk memberikan gaji dan bonus yang lebih tinggi berbanding sektor awam. Cara dan budaya sektor awam juga berbeza dan merupakan antara daya penarik bagi mereka untuk bekerja di sektor swasta. Saya tidak nafikan yang saya amat berminat untuk kekal di sektor perbankan satu ketika dahulu sebelum saya menyertai sektor awam sehingga sekarang. Saya suka budaya kerja Swasta yang menitikberatkan persaingan dan KPI. Tetapi bagi saya kita adalah diri kita, walau di mana sektor pun kita bekerja jadilah diri kita yang sebenar. Kita tidak perlu mengikut orang lain ataupun cuba menjadi orang lain.

Anda semua berada di mana? Adakah anda tergolong dalam mereka yang inginkan kerjaya yang selamat dan jangka panjang? Ataupun anda seorang yang mengejar gaji tinggi? Ataupun suka bekerja di sektor swasta. Apa-apa pun terdapat banyak faktor yang akan mempengaruhi diri kita semua dalam pemilihan kerjaya pilihan kita semua, terserah kepada diri kita semua untuk memilih kerjaya manakah yang terbaik untuk diri kita.

By : Nuris

No comments:

Post a Comment