Tuesday, 21 February 2012

Majoriti Vs Minoriti

Salam pertemuan di alam siber. Lama cuti.
Beberapa soalan mudah :
a)    Pernah berebut tengok rancangan kegemaran dengan ahli keluarga yang lain?
b)    Pernah dilantik sebagai ketua kelas sebab ramai kawan-kawan angkat tangan memilih kita?

Tu antara soalan mudah berkaitan konsep majoriti atau dalam bahasa mudahnya konsep di mana yang lebih akan mengalahkan yang sedikit. Konsep yang mudah ini diaplikasikan ke dalam sistem politik yang diberi nama Demokrasi.
Saya tertarik untuk berbicara ringkas mengenai isu ni bilamana mutakhir ini banyak cubaan puak-puak yang kononnya memperjuangkan demokrasi tetapi membuat perkara yang bertentangan dengan demokrasi itu sendiri. Saya tidaklah anti mereka dan tidak pula menyokong kerajaan membuta tuli.
Sebagai negara yang mendukung prinsip demokrasi, sudah tentu kerajaan Malaysia mengadakan pilihanraya. Tempoh paling lama bagi sesebuah kerajaan di negara kita adalah selama lima tahun. Pilihanraya merupakan medan untuk menguji parti-parti bertanding dari segala aspek seperti tarikan manifesto, sejarah pemerintahan, latar belakang calon,  populariti, dan macam-macam lagi. Setelah parti yang menang menjadi kerajaan yang sah, maka parti tersebut akan menjadi kerajaan secara rasminya selama lima tahun maksimum. Di sinilah prinsip majoriti-minoriti diamalkan. Contohnya apabila parti A yang diwakili olah si A menang tipis dengan Si B dari parti B, si A tetap akan dinobatkan sebagai wakil rakyat di kawasan berkenaan. Maka sebagai orang yang memahami prinsip demokrasi seharusnya menerima keputusan tersebut dengan hati terbuka dan berazam untuk terus memenangi hati rakyat di kawasan tersebut pada pilihanraya akan datang. Bukan saja calon yang kalah, pengundi yang mengundi calon yang kalah tersebut juga perlu menerima hakikat bahawa waki rakyat mereka merupakan dari pihak lain.
Sayangnya,perkara tersebut tidak berlaku di Malaysia. Pihak yang kalah akan melakukan perkara-perkara berikut:
a)    Menuduh wujudnya pengundi hantu
b)    Berlakunya penipuan dalam kiraan undi
c)     Sistem pilihanraya Malaysia tidak telus.
Seharusnya pihak yang kalah mengakui keputusan tersebut. Hal ini menjadi lebih malang apabila pihak-pihak yang tidak sabar untuk menjadi pemimpin menggunakan orang ramai untuk membuat bantahan besar-besaran terhadap kerajaan atau sistem pilihanraya. Itu tak kena, ini tak kena.Pada pandangan peribadi saya, perkara ini tidak seharusnya berlaku. Sekiranya sistem demokrasi Malaysia tidak telus, bagaimana pihak pembangkang boleh menang besar dalam pilihanraya lepas. Pakai pengundi hantu  juga ke? Atau salah undi?

Perkara yang kita tunding akan kembali kepada kita apabila kita kerap mencari kesalahan pihak lain tanpa cuba melihat kekurangan pada diri kita. Berdemo bukanlah satu cara yang sihat dalam amalan demokrasi. Kalau berdemo boleh meruntuhkan sesuatu kerajaan, maka hapuskan saja sistem pilihanraya di negara kita. Tempoh maksimum lima tahun yang diberikan sebenarnya adalah untuk rakyat melihat sejauh mana parti pemerintah dapat mengotakan janji-janji pilihanraya lepas. Selepas tamat tempoh memerintah, pengundi bolehlah membuat keputusan sama ada untuk mengekalkan undi mereka atau memberikan undi kepada pihak lain. Hanya semudah itu.
Kesimpulannya, hormatilah pihak yang menang walaupun beliau hanya menang satu undi. Sekali lagi,ini hanya pandangan peribadi penulis.

Hingga dakwat yang terakhir!

No comments:

Post a Comment