Tuesday, 10 June 2014

CABARAN MALAYSIA DI BAWAH KEPIMPINAN DATO SERI NAJIB NAJIB TUN RAZAK




8 februari 2014 telah pun berlalu, pada tarikh tersebut genaplah ulangtahun kelahiran yang ke 111 Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj, Perdana Menteri Malaysia yang pertama dan merupakan bapa kemerdekaan Negara kita.Menyorot kembali sejarah kemerdekaan Tanah Melayu selepas perang dunia ke dua membawa kita kepada ketokohan dan kegigihan Tunku bersama rakan-rakan beliau dalam usaha memerdekan tanah melayu.Tunku semasa mengumumkan kemerdekaan tanah melayu mengatakan yang Negara ini harus kekal sebagai Negara yang mengamalkan demokrasi berasaskan prinsip keadilan dan kebebasan (Wan Saiful Wan Jan, 2014).Jasa Tunku sangat besar, beliau bukan sahaja mengetuai usaha untuk memerdekakan tanah melayu.Malah telah berusaha untuk membentuk Persekutuan Malaysia yang menggabungkan Sarawak, Sabah, Singapura dan Tanah Melayu pada ketika itu.Maka terbentuklah negara Malaysia, usaha untuk menaikkan nama Malaysia di mata dunia tidak pernah terhenti. Malahan ia sentiasa digerakkan oleh pemimpin-pemimpin kita sehingga ke hari ini.Usaha untuk memelihara keamanan dan keharmonian diteruskan dengan perkongsian kuasa diantara 3 kaum majoriti di Malaysia di mana kaum Melayu yang mengetuai pakatan tersebut. Kejayaan Parti Perikatan yang menggabungkan UMNO, MCA, MIC dan  diikuti oleh parti dari Sabah dan Sarawak telah berjaya membawa keamanan yang manis kepada rakyat Malaysia. Kini Malaysia berada di era globalisasi iaitu dunia tanpa sempadan, ia merupakan dunia idealis barat yang mengimpikan dunia tanpa batasan dan setiap manusia bebas untuk melakukan apa sahaja atas nama kebebasan dan hak asasi manusia.Idealis globalisasi ini menyerap masuk ke dalam Malaysia dan mula merencanakan arus pembangunan negara mengikut acuan mereka.Seiring dengan maklumat yang bergerak pantas, pemimpin negara juga bertukar ganti. Daripada era televisiyen hitam putih sehinggalah era kegemilangan facebook dan #tag twitter dan saf kepimpinan negara diambil alih oleh Dato’ Seri Najib Tun Razak, perdana menteri Malaysia yang ke 6.

Kini era Najib bermula dan diuji dari segenap sudut sehingga ke hari ini.Najib seperti juga mentornya sebelum ini mempunyai visi dan misi yang tersendiri untuk memacu kemajuan Malaysia menjadi sebuah negara maju berpendapatan tinggi menjelang tahun 2020.Ternyata perjalanan Dato’ Seri Najib dan kabinetnya tidak mudah dalam merealiasikan polisi dan dasar awam beliau.Banyak cabaran dan rintangan yang terpaksa beliau hadapi demi menjadikan Malaysia sebuah negara bangsa yang berjaya. Jika dirumus mengikut keadaan semasa sepanjang tempoh pemerintahan beliau, isu pengurusan ekonomi ,perpaduandan keselamatanmerupakan cabaran utama beliau. Setelah mengambil alih tampuk pemerintahan, beliau memulakan kempen memenangi hati rakyat Malaysia dengan melancarkan polisi popular beliau iaitu 1 Malaysia, Rakyat Didahulukan Pencapaian Diutamakan.Slogan beliau ini yang telah menjadi penanda aras kepada setiap polisi kerajaan Malaysia di mana setiap polisi haruslah mesra rakyat dan mendahulukan kepentingan rakyat di samping mengekalkan pencapaian di semua sektor terutama sektor ekonomi. Sebagai contoh Dasar Rasionalisasi Subsidi yang telah digerakkan oleh kerajaan di bawah Pelan Transformasi Kerajaan.Kerajaan di bawah pimpinan Dato’ Seri Najib bercadang untuk merasionalisasi subsidi yang telah diberikan kepada rakyat Malaysia dan menstrukturnya semula agar subsidi tersebut sampai ke golongan sasaran.Maka Bantuan Rakyat 1Malaysia di lancarkan sebagai satu medium penyaluran subsidi kepada golongan sasaran iaitu golongan berpendapatan rendah.Kesannya subsidi ditarik sedikit demi sedikit, bermula dengan subsidi minyak, gula, dan diikuti kenaikan tariff elektrik dan secara tidak langsung ia meningkatkan kos sara hidup. Natijahnya ramai yang memperlekeh slogan Rakyat Didahulukan ini di mana khalayak melihat Kabinet Najib lebih cenderung untuk memindahkan beban kewangan defisit negara kepada rakyat jelata yang baru sahaja menyambung talian hayat beliau di PRU yang lepas.

Walau apa alasan yang diberikan oleh kerajaan dalam perlaksanaan dasar rasionalisasi subsidi ini, sebilangan rakyat tetap tersentap dan marah dengan keputusan kerajaan yang mengejutkan ini. Di sebalik kemarahan rakyat jelata akibat daripada perlaksanaan rasionalisasi subsidi ini masih ada sebilangan yang berfikir secara rasional dan menerima keputusan tersebut dengan hati yang terbuka. Ditebak isu ini, adakah kerajaan tidak mengambil kira pendapat rakyat dan kos hidup rakyat jelata dalam isu rasionalisasi subsidi ini? Walau apa pun kerajaan tetap komited dalam meningkatkan taraf kehidupan rakyat Malaysia dan mengurangkan kos hidup rakyat jelata. Jika tidak mengapa kerajaan sanggup melaksanakan dasar kurang populis tersebut.Rasionalnya di siniadalah perbelanjaan subsidi kerajaan telah meningkat dengan ketara daripada RM1.1 bilion pada 1999 kepada RM44.1 bilion pada 2013. Penamatan subsidi juga boleh mengakibatkan political costs kepada Kerajaan yang memerintah. (Abdul Aziz, 2014). Keputusan berani Dato’ Najib dalam isu subsidi ini membuktikan beliau berani megambil keputusan yang tidak selari dengan arus emosi rakyat jelata.

Dasar rasionalisasi subsidi ini hanya merupakan satu bingkisan kisah cabaran kerajaan dalam menguruskan ekonomi negara rakyat yang berbilang kaum namun tidak dinafikan ia juga merupakan satu ujian yang berat kepada pihak kerajaan ketika ini. Umum mengetahui iklim ekonomi dunia ketika ini berada dalam keadaan tidak menentu setelah dunia dilanda krisis kewangan Eropah pada tahun 2008.  Menurut Rancangan Malaysia ke 10 (RMK10), bagi merealisasikan Wawasan 2020, pertumbuhan KDNK pada kadar6.0% setahun diperlukan sepanjang tempoh Rancangan Malaysia Kesepuluh (RMKe-10) iaitu dari tahun 2011 - 2015. Aspirasi ini tidak akan tercapai tanpa transformasi ekonomi yang menyeluruh. Malah jika transformasi tersebut tidak dilaksana, Malaysia bakal ketinggalan memandangkan negara membangun yang lain berkembang pantas dan kian merapatkan jurang kemajuan.Maka sejurus mengambil alih kerajaan, pada tahun 2010 Dato’ Seri Najib telah meletakkan asas bagi Program Transformasi Nasional (NTP) dengan memperkenalkan Program Transformasi Kerajaan (GTP) dan Program Transformasi Ekonomi (ETP) yang bertunjangkan Model Ekonomi Baru (MEB) yang dilancarkan pada awal tahun yang sama yang mempunyai visi untuk menjadikan Malaysia sebuah negara maju berpendapatan tinggi menjelang tahun 2020. Kejayaan program transformasi tersebut amat menggalakkkan jika ia diterjemahkan di atas kertas di mana ekonomi Malaysia kekal berdaya tahan dalam pertumbuhan ekonomi global yang lebih perlahan dengan mencatat pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) sebanyak 5.6 peratus pada tahun 2012, mengatasi purata pertumbuhan Asia Pasifik sebanyak 3.8 peratus.Pihak luar juga terus mengiktiraf kemajuan Malaysia yang pesat. Sebagai contoh, World Bank telah menaikkan ranking global Malaysia dalam Doing Business Report daripada tangga ke-18 pada tahun 2012 kepada tangga ke-12 pada tahun 2013 mendahului Sweden, Taiwan, Jerman, Jepun dan Switzerland. Indeks keyakinan AT Kearney untuk Malaysia meningkat daripada kedudukan ke-21 pada tahun 2010 kepada kedudukan ke-10 pada tahun 2012, mengatasi Perancis, Korea Selatan, Thailand, Vietnam, Kanada dan Turki. Cabang NKEA di bawah ETP telah membuahkan hasil kepada negara contohnya Projek Pembangunan Integrasi Kilang Penapisan Minyak dan Petrokimia (RAPID) Petronas yang bernilai RM60 bilion di Johor di bawah NKEA Minyak, Gas dan Tenaga, yang dilancarkan pada tahun 2013 adalah pelaburan lapangan hijau terbesar di Asia Pasifik. Sementara itu projek My Rapid Transit (MRT) dilancarkan bagi mengurangkan kesesakan jalan di Bandar Kuala Lumpur dan disekitarnya dan pelbagai lagi perojek dan insentif diberikan oleh Kerajaan Malaysia kepada rakyat jelata demi kelangsungan sebuah legasi pemerintahan.

Cabaran dalam pengurusan perpaduan dikalangan rakyat berbilang bangsa juga merupakan satu cabaran utama Kerajaan ketika ini.Umum mengetahui Malaysia dibentuk di atas dasar permuafakatan di antara tiga etnik utama iaitu Melayu, India dan Cina.Permuafakatan ini membawa semangat tolak ansur dan persefahaman dikalangan elit bangsa era tanah melayu ketika itu dan semangatnya dikekalkan sehingga ke hari ini. Persoalannya apakah semangat permuafakatan tersebut kekal utuh ataupun ia hanya pada nama? Prinsip jus soli dan kontrak sosial telah mengikat semangat perpaduan rakyat tanah melayu ketika itu dan seharusnya momentum semangat itu kekal sama hingga ke hari ini. Namun demikian, Malaysia di tebak dengan isu perpaduan dikalangan rakyatnya apabila banyak isu berkaitan dengan perpaduan bangsa yang terjadi ketika ini.Kini rakyat Malaysia bebas untuk menyuarakan apa sahaja pendapat atas nama kebebasan bersuara. Kemudahan internet, SMS dan pelbagai saluran dalam talian digunakan secara menyeluruh untuk menyuarakan pendapat dan kritikan terhadap sesuatu isu. Kebebasan bersuara yang menjadi trend terkini ini dikhuatiri akan menjejaskan proses integrasi nasional yang cuba diusahakan oleh Kerajaan. Sedar akan hakikat perkembangan yang tidak sihat ini, Majlis Konsultasi Perpaduan Negara (MKPN) ditubuhkan pada 25 November 2013 menggantikan Panel Penasihat Perpaduan Negara. Majlis ini dianggotai oleh 30 tokoh masyarakat, ahli akademik, pemikir, ahli politik kerajaan dan pembangkang dan NGO yang diharap dapat memperkasa keharmonian ke arah penyatuan nasional negara ini. Malahan Perdana Menteri Dato’ Seri Najib Tun Razak telah mengambil inisiatif dengan menggariskan 7 kunci utama dalam usaha menjayakan perpaduan nasional dalam kalangan rakyat pelbagai kaum di Malaysia. Tujuh panduan itu juga mengambil kira Model Ekonomi Baru dan menjaga sensitiviti pelbagai kaum dengan Rukun Negara sebagai panduan (Jessica Ong, 2014)

Perpaduan diantara kaum majoriti di negara ini amatlah penting kerana ia merupakan kunci kepada kemamkuran dan kemajuan negara. Negara tidak akan maju jika rakyatnya bertelagah setiap masa, ia akan merencatkan proses pembangunan sesebuah negara dan akan menjerumuskan negara tersebut ke kancah perang saudara seperti apa yang berlaku di Somalia, Chad, Rwanda dan negara lain.Namun demikian kita harus berbangga kerana tidak ada negara yang berbilang bangsa dan bahasa yang dibentuk atas dasar tolak ansur yang berjaya seperti Malaysia (Mahathir Mohammad, 2011).Jika ingin dibandingkan negara yang diasaskan dengan satu bangsa/etnik seperti Indonesia, flipina, Myanmar, kemboja dan lain-lain jelas kita maju dihadapan berbanding dengan mereka semua.Walaupun di Malaysia rakyatnya masih mencari titik-titik persefahaman di antara kaum, tetapi kita masih bebas untuk mengamalkan kehidupan dan budaya masing-masing tanpa ada gangguan.Namun demikian, isu-isu sensitif seperti isu agama dan hak keistimewaan orang melayu yang sering dipertikaikan oleh pihak-pihak tertentu bakal menjejaskan keharmonian kaum di negara ini. Cabaran terbesar kerajaan adalah untuk mencari titik persefahaman di tengah-tengah kemelut dan angin perubahan moden yang melanda generasi kini. Usaha ke arah penyatuan dan perpaduan melalui Prinsip Rukun Negara, Lagu Negaraku, Program Latihan Khidmat Negara dan undang-undang yang berteraskan Perlembagaan Persekutan dampak seperti sudah melewati zaman ketika ini. Ketelusan media massa dan alam maya menjadi igauan ngeri dan memberikan satu cabaran dalam menguruskan persepsi masyarakat terhadap semangat permuafakatan nasional.

Sementara itu, cabaran terbaru Malaysia ketika ini ialah soal keselamatan dalam negara.Selain dari isu-isu keselamatan domestik yang berlaku setiap hari, negara dikejutkan dengan insiden pencorobohan pengganas Sulu di Lahad Datu Sabah Pada Mac 2013.Ternyata insiden pencorobohan tersebut telah membuka mata rakyat Malaysia tentang betapa senangnya perairan Malaysia di Sabah diceroboh oleh musuh tanpa dikesan. Insiden tersebut yang pada mulanya cuba ditangani sebaiknya oleh Polis Diraja Malaysia tanpa melibatkan kekerasan telah menjadi satu mimpi ngeri apabila seorang demi seorang anggota polis Malaysia mati akibat diserang oleh pengganas Sulu.Kematian 10 orang anggota polis ini telah meruntun hati sebilangan rakyat Malaysia yang sentiasa mengikuti perkembangan insiden tersebut setiap hari.Insiden pencerobohan yang diketuai oleh Jamalul Kiram III itu telah memaksa Malaysia untuk mengkaji semula dasar pertahanan negara. Sebagai jaminan peristiwa tersebut tidak akan berulang, Kerajaan telah menubuhkan Pusat Pemerintahan Kawasan Keselamatan Khas Timur Sabah (ESSCOM) di Lahad Datu Sabah. Sementara itu pula, Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dalam reaksinya pula akan mengubahsuai pelan pembangunan strategiknya yang sebelum ini memberikan tumpuan kepada ancaman berbentuk konvensional (Bernama, 2013). Namun muncul pula persoalan adakah peristiwa pencorobohan kedaulatan ini tidak akan berulang di masa hadapan kerana pada ketika ini dunia sedang berada di ambang peperangan, isu keselamatan dan kedaulatan negara hanya mainan bagi negara lain. Lihat sahaja peperangan di Syria dan Palestin, “Arab Spring” di Mesir yang berulang kembali selepas kudeta yang menumbangkan Hosni Mubarak telah berjaya. Namun Perdana Menteri telah menyatakan komitment kerajaan dalam mempertahankan kedaulatan Malaysia dari terus diceroboh di masa akan datang.

7 Mac 2014 baru-baru ini pula, dunia dikejutkan dengan kehilangan pesawat MAS MH370 yang masih belum terjawab sehingga hari ini.Ketika artikel ini ditulis insiden kehilangan MH370 telah memasuki hari ke 12 dan jawapan yang konkrit di atas kehilangan tersebut masih belum diberikan, yang timbul hanyalah persoalan demi persoalan.Banyak spekulasi timbul akibat insiden kehilangan tersebut, segala macam teori termasuk teori konspirasi mula dicanang oleh pihak tertentu bagi merungkai misteri kehilangan ini.Namun demikian, di sebalik misteri kehilangan tersebut, timbul pula persepsi tentang betapa lemahnya kawalan keselamatan kita. Jika ia benar satu isu rampasan dan pencorobohan berprofil tinggi, maka sejarah telah berulang. Jika di lahad datu Malaysia diceroboh melalui jalan laut, hari ini kedaulatan Malaysia diceroboh melalui jalan udara.Malaysia berada di dalam keadaan yang lemah pada ketika insiden ini berlaku, ini kerana Malaysia tidak mempunyai pengalaman yang sebegini rupa sejak peristiwa pesawat MAS terhempas di Tanjung Kupang.Tetapi insiden kehilangan pesawat ini juga merupakan satu perkara baru dalam kes kehilangan pesawat komersial dan diakui tidak pernah berlaku di mana-mana negara sebelum ini.Pengarah Agensi Perisikan Pusat Amerika (CIA) John Brennan dalam kenyataanya kepada Reuters berkata kehilangan pesawat MH370 ini masih disifatkan sebagai misteri.Tun Dr Mahathir Mohammad juga menyatakan kewajaran pesawat tersebut hilang dan tidak dapat dikesan oleh radar tentera yang canggih yang dimiliki AS dan China.Disebalik operasi mencari dan menyelamat yang telah digembleng dan kritikan, pujian harus diberikan kepada Malaysia kerana berjaya menyelaras operasi SAR ini yang melibatkan 26 negara (setakat artikel ini ditulis) walaupun ia merupakan perkara yang baru dan asing bagi Kerajaan Malaysia. Malah penyertaan negara sehingga luar ASEAN telah memberikan satu persepsi positif kerana terbukti Kerajaan Malaysia telah berjaya dalam  dasar luarnya dan mempunyai hubungan yang sangat baik dengan negara-negara dalam kelompok negara ASEAN dan luar ASEAN.

Ketiga – tiga cabaran yang dibincangkan tersebut merupakan satu rumusan kepada cabaran utama Malaysia di bawah pimpinan Dato’ Seri Najib ketika ini. ketiga-tiga cabaran ini memerlukan sentuhan tangan dan idea mereka yang bijak dalam percaturan agar ia mampu diuruskan dengan baik tanpa timbul sebarang isu dan polemik di masa hadapan.  Cabaran dari aspek ekonomi amat kritikal, kerana ia merupakan satu kunci kepada keharmonian diantara kaum. Keganasan diantara kaum dan ketidakpuashatian amat mudah berlaku jika ekonomi negara tidak diuruskan dengn sebaiknya, lebih – lebih lagi negara Malaysia yang berbilang banga dan bahasa. Isu-isu seperti kenaikan harga rumah dan kos sara hidup perlu penyelesaian konkrit dari pihak kerajaan. Spekulasi harga rumah perlu dihentikan oleh pihak berwajib, ini adalah untuk memastikan harga rumah di Malaysia kekal di paras mampu milik.Peranan orang tengah dalam membekal barangan runcit juga perlu dihapuskan bagi mengurangkan kos peruncit membeli bekalan mereka dan sekaligus mengurangkan harga barang. Begitu juga dengan paras hutang negara yangberjumlah RM519.4 bilion atau 54.8% daripada KDNK pada tahun 2013 menghampiri had siling 55% merupakan satu isu kritikal yang perlu diuruskan oleh kerajaan(Abdul Aziz, 2014). Krisis hutang ini jika tidak ditangani dengan baik akan menjerumuskan negara ke kancah krisis muflis seperti apa yang berlaku kepada Greece yang muflis akibat krisis hutang yang tinggi. Kerajaan juga harus bijak dan efektif dalam menguruskan persepsi masyarakat terhadap dasar awam yang dirancang seperti perlaksanaan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) kerana di situ terletak kunci penguatkuasaan polisi yang berkesan.Bantuan Rakyat 1 Malaysia juga perlu diperhalusi di masa akan datang kerana ianya hanya merupakan satu penyelesaian jangka pendek tanpa penyelesaian konkrit jangka panjang. Seharusnya kerajaan harus mencari mekanisma terbaru dalam mengagihkan subsidi dengan lebih efektif agar ia sampai ke golongan sasaran. Segala bentuk bantuan daripada kerajaan kepada rakyat ketika ini hanya bersifat sementara kerana jika berlakunya peralihan kepimpinan pasti ia akan dimansuhkan dan digantikan dengan model yang baru oleh kerajaan yang baru. Oleh itu seharusnya pemimpin politik di negara ini juga memainkan peranan yang penting dalam membangunkan negara dan mengenepikan perbezaan politik agar setiap polisi yang baik seperti Wawasan 2020akan diteruskan walaupun berlaku pertukaran kepimpinan.

Cabaran perpaduan di kalangan etnik di Malaysia juga perlu ditangangi dengan sebaik mungkin. Ia lumrah dalam kehidupan yang diwarnai oleh etnik yang berbeza – beza akan ada satu dua perbalahan dan ketidakpuas hatian berlaku. Namun ia mampu diatasi diatasi jika pemimpin bijak mendengar keluhan dan nadi rakyat dan bertindak tepat pada tempat dan masanya. Menurut Professor Ulung Datuk Dr Shamsul Amri Baharuddin dalam buku Modul Hubungan Etnik, beliau menyatakan kita telah masuk ke era ke tiga dalam fasa hubungan etnik iaitu Era Kesepaduan Sosial. Era kesepaduan social ini telah membawa satu dimensi baru dalam konsep perpaduan di negara kita. Jika kita sudah meninggalkan episod hitam 13 Mei 1969, kini Malaysia diancam dengan teknologi terkini seperti sms, facebook, twitter, whatsaapps dan sebagainya yang berpotensi untuk menggugat keharmonian antara kaum.  Melalui teknologi ini, rakyat Malaysia bebas untuk menyuarakan apa sahaja pendapat dan ketidakpuashatian berhubung isu tertentu termasuk isu sensitif seperti isu kalimah Allah yang melanda negara ketika ini. Ada pendapat menyatakan konsep perpaduan kini adalah milik semua, ia bukan lagi tugas utama kerajaan dalam menyatupadukan rakyat Malaysia. Ia kini merupakan tugas utama rakyat Malaysia di mana rakyat harus berusaha dalam mencari titik persefahaman dan perpaduan diantara mereka agar Malaysia kekal maju dan bersaing tanpa halangan dari masalah hubungan diantara kaum.Di samping itu juga, kebergantungan Kerajaan dan Jabatan Integriti Nasional kepada Prinsip Rukun Negara, Lagu Negaraku dan Perlembagaan Persekutuansebagai wadah perpaduan dampak seperti sudah tidak sesuai untuk diteruskan di era teknologi maklumat ini.Malahan ada pihak-pihak yang lantang mempertikai Perlembagaan Persekutuan dan mempersenda lagu Negaraku di Youtube sebelum ini. Kerajaan perlu mengambil inisiatif yang lebih dekat di hati rakyat terutama generasi Gen-Y yang bakal menjadi pemimpin negara di masa akan datang.

Cabaran dalam isu keselamatan negara juga perlu diambil berat oleh Kerajaan dan agensi di bawahnya agar rakyat Malaysia terus berasa selamat berada di Malaysia. Isu keselamatan negara juga berkait rapat dengan isu ekonomi kerana pelancong luar tidak akan datang melawat Malaysia jika mereka mempunyai persepsi negatif tentang tahap keselamatan Malaysia. Seperti Thailand, krisis politik yang melanda Thailand ketika ini telah menakutkan pelancong untuk melawat Thailand kerana bimbang akan keselamatan mereka di sana. Malahan pelabur-pelabur asing juga takut untuk melabur di Thailand kerana ketidaktentuan iklim politik di sana (Mohammad Agus Yusuf, 2005). Sebagai contoh insiden kehilangan MH370, kita tidak tahu adakah insiden kehilangan MH370 ini bakal memberikan kesan yang besar ataupun tidakterhadapKempenTahun Melawat Malaysia 2014 yang menjadi salah satu penyumbang besar kepada pendapatan negara kerana ia juga akan merancakkan industri lain-lain subsektor dalam sektor perkhidmatan seperti subsektor runcit. Tentang isu keselamatan, fokus kini adalah bagaimana kerajaan dan pihak berkuasa akan membina satu tembok pertahanan yang kukuh bagi menjamin insiden yang sama tidak akan berulang di masa akan datang. Kajian dasar pertahanan nasional juga perlu dikaji dengan penambahan asset-aset penting keselamatan negara seperti helikopter perang, jet tempur, kapal selam, altileri dan lain lain. Walaupun aset –aset ini penting, tetapi apa yang perlu difokuskan oleh kerajaan dalam hal ini adalah tentang aspek pembangunan manusia. Kunci kejayaan misi ketenteraan dan pertahanan negara adalah terletak kepada ketahanan mental dan fizikal askarnya. Jika mental dan fizikal askar lemah maka jawapannya hanya kematian yang akan diundang.  Sebagai contoh bagaimana pihak Amerika Syarikattewas kepada Vietnam dan pihak Soviet tewas kepada pejuang mujahidin Afghanistan yang tidak mempunyai langung aset ketenteraan canggih seperti dua kuasa besar dunia ini. Kejayaan tentera Vietnam dan Mujahidin Afghanistan membuktikan kecanggihan teknologi tidak mampu menandingi kepintaran dan strategi yang dirancang oleh mereka yang mempunyai kekuatan mental dan fizikal yang tinggi. Oleh yang demikian pihak Angkatan Tentera Darat, Laut, Udara dan Polis harus menekankan aspek mental dan daya ketahanan fizikal anggota mereka bagi menghadapi ancaman keselamatan global. Senjata yang canggih digandingkan dengan askar yang mempunyai daya ketahanan mental dan fizikal merupakan satu pakej lengkap dalam seni pertahanan nasional.

Dalam merealisasikan impian Malaysia untuk menjadi negara maju berpendapatan tinggi menjelang tahun 2020, Malaysia memerlukan satu pelan pembangunan yang menyeluruh dari semua aspek termasuk aspek kerohanian yang kian diabaikan ketika ini. Dunia kini berada di satu persimpangan dan di dimensi yang berbeza dari sebelum ini. Dimensi baru ini menjadikan Malaysia sangat memerlukan pemimpin-pemimpin yang berjiwa rakyat, yang kekal progresif dalam semua keadaan, yang berintegriti,mempunyai pandangan yang jauh, zuhud serta mereka yang mempunyai semangat persefahaman yang tinggi dalam memajukan Malaysia dengan mengenepikan perbezaan pendapat dan ideologi politik. Seharusnya kebajikan rakyat diutamakan dalam segenap ruang aspek politik. Begitu juga dengan rakyat di Malaysia di mana rakyat Malaysia harus bangkit dari lena, bangkit dari perpecahan dan perbezaan pendapat yang jumud agar kita dapat keluar dari kepompong kedaifan dan bersatu di atas nama Bangsa Malaysia. Perubahan tidak akan berlaku dalam satu hari, satu malam, satu bulan mahupun satu tahun. Perubahan memerlukan satu konsistensi yang berterusan bertunjangkan komitmen dan usaha dedikasi ke arah kerjasama yang lebih erat di kalangan bangsa di Malaysia.  Apabila kita mampu mengenepikan soal perbezaan maka barulah kita dapat berbincang soal perpaduan. Jika perpaduan kita kekal ibarat besi waja, maka Malaysia bakal menongkah arus dan berdiri sama tinggi dan duduk sama rendah dengan negara kuasa besar dunia dalam mencorak kehidupan arus perdana ke arah yang lebih baik dari hari semalam.



No comments:

Post a Comment