Seringkali kita dihidangkan
dengan rungutan ramai tentang perihal birokrasi yang berlaku di Agensi Awam
Malaysia. Apakah itu birokrasi? Laman sesawang Wikipedia menyatakan perkataan
"birokrasi" berasal daripada perkataan "biro" yang
digunakan pada awal abad ke-18 di Eropah Barat, bukan untuk merujuk kepada meja tulis tetapi untuk
pejabat, iaitu tempat bekerja. Maksud bahasa Perancis yang asal bagi perkataan biro ialah baize yang digunakan untuk
melitupi meja-meja. Oleh itu, "birokrasi" pada dasarnya bermaksud
kuasa pejabat atau pemerintahan pejabat, iaitu pemerintahan golongan pegawai.
Teori yang paling popular tentang birokrasi adalah teori Max Weber, seorang
ahli sosiologi dan ekonomi berpengaruh Jerman. Beliau berkatabirokrasisebagai
satu konsep dalam bidang sosiologi dan sains politik yang merujuk kepada
satu cara perlaksanaan pentadbiran dan penguatkuasaan undang-undang
sah yang telah dibuat dalam sesebuah organisasi. Birokrasi ditafsir
secara berbeza-beza mengikut pendapat dan pengalaman setiap individu. Lazimnya
kita menganggap birokrasi sebagai satu pengurusan organisasi yang disusun
seperti tatacara piawai, pembahagian
tanggungjawab yang formal, hierarki jawatan dan kuasa. Orang lain pula menganggap birokrasi sebagai satu prosedur
yang berbelit-belit dan menyusahkan mereka untuk berurusan.Bagi
sebahagian orang pula, mereka menganggap birokrasi dari sudut positif, iaitu
sebagai satu usaha untuk mengatur dan mengendalikan perilaku masyarakat supaya
sesuatu proses dapat dijalankan secara teratur (Rosli, 2004). Birokrasi bukan
perkara baru, malah ia telah dibahaskan sejak sekian lamanya. Ia menjadi
perdebatan dikalangan ahli sosiologi dan falsafah. Ia bukan isu setempat,
malahan isu sejagat. Di Malaysia perkataan birokrasi selalunya mengundang
persepsi negatif dikalangan rakyat Malaysia.
Birokrasi
awam dalam konteks Malaysia sangat berkait rapat dengan sistem pentadbiran awam di mana ia telah memainkan peranan yang
sangat penting dalam pentadbiran negara, pembangunan ekonomi, sosial dan proses
modenisasi di negara ini. Kemajuan negara sejak Tanah Melayu mendapat
kemerdekaanya pada tahun 1957 tidak mungkin menjadi kenyataan tanpa kebolehan,
profesionalisme dan dedikasi yang ditunjukkan oleh kakitangan kerajaan.Bermula
pada zaman penjajahan British, dua tujuan utama pentadbiran awam ketika itu
adalah untuk mengekalkan undang-undang dan keamanan selain berfungsi untuk
mengeksploit sumber asli di negara ini. Ketika itu, orientasi perkhidmatan awam
adalah berdasarkan keperluan dan bukannya berdasarkan memberi khidmat kepada
rakyat.Kini sebagai sebuah negara yang merdeka, orientasi perkhidmatan awam
telah berubah dan komited untuk meningkatkan ekonomi dan perkembangan sosial
rakyat. Pelancaran Dasar Ekonomi Baru (DEB) pada tahun 1970 an yang mana sektor
awam memainkan peranan utama untuk menggerak dan menjayakannya. Pada dekad
itulah banyak syarikat awam ditubuhkan untuk menjayakan DEB.Zaman berikutnya
pula, negara memasuki fasa industrialisasi pada tahun 1980-an yang menyaksikan
peningkatan penglibatan sektor swasta berganding bahu bersama-sama dengan
sektor awam. Dekad ini juga menjadi saksi bermulanya polisi penswastaan
negara.Pada dekad 1990-an pula telah ditandai dengan perkembangan pesat di
bidang komunikasi dan teknologi maklumat (ICT) dan permulaan Wawasan 2020 (Utusan,2003).Di
sebalik rungutan tentang kerenah birokrasi dalam perhkidmatan awam. Jelaslah
birokrasi awam juga memainkan peranan yang amat penting dalam pembangunan
dasar-dasar awam di Malaysia sehingga ke hari ini.
Malaysia
hari ini telah mencapai tahap kemajuan yang pesat di mana kepesatan kemajuan
itu dipacu oleh kepimpinan Tun Dr Mahathir Mohammad, tidak harianlah jika
beliau degelar sebagai Bapa Pemodenan Malaysia. Kemajuan Malaysia dipacu oleh
sistem perkhidmatan yang baik dan sentiasa dikemaskini untuk mencapai tahap
yang terbaik di samping kerjasama dan kemajuan modal yang dibawa oleh agensi
swasta. Dasar Penysarikatan yang di
asaskan oleh Tun Dr Mahathir telah membawa ruang dan peluang kepada agensi awam
dan agensi swasta untuk bekerjasama dengan lebih erat bagi membawa Malaysia ke
satu tahap baru (Mahathir Mohammad, 2011). Tetapi disebalik kemajuan dan teknologi
yang dimiliki, masih terdengar sayup-sayup rungutan tentang sistem penyampaian
awam. Masih ada yang merungut dan mengadu tentang kerenah birokrasi dalam
perkhidmatan awam.
Arziana Mohmad Azaman dalam tulisannya di Sinar Harian
bertarikh 31 Ogos 2013 menceritakan bagaimana kerenah birokrasi telah
menghalang impian dan harapan seorang warga Malaysia untuk menempuh kehidupan
yang lebih bermakna. Dalam tulisan beliau, seorang buruh kampung bernama Mohd
Salleh Karman berumur 52 tahun hilang punca pendapatan berikutan terpaksa menjaga isterinya yang memerlukan penjagaan rapi selepas kaki kanan
dipotong.
Menambah kekecewaan lagi apabila segala permohonan bantuan dari pihak berwajib
ditolak mentah-mentah kerana kekurangan dokumen tertentu. Pengadu sebelum ini memohon bantuan kewangan, alat
sokongan dan bayaran kos hospital kepada pihak berkaitan, namun
disebabkan terdapat dokumen tidak lengkap permohonannya terpaksa ditahan.Di
sebalik keperluan isterinya, beliau juga harus menjelaskan bayaran sewa rumah,
bayaran utiliti dan hutang lain tertunggak. Beliau juga mempunyai seorang anak
yang masih bersekolah manakala seorang
lagi sudah bekerja, namun pendapatan tidak menentu turut menyebabkan
keluarganya serba kekurangan. Salah satu luahan hati nurani beliau
“Selain itu, saya juga kesal prosedur permohonan bantuan yang merumitkan
sedangkan kami tidak mempunyai wang cukup berulang alik ke pejabat bagi
memenuhi syarat yang ditetapkan”
Kisah cikgu
Idayu yang
pernah disiarkan dalam akhbar Utusan Malaysia bertarikh 27/11/2013
juga memaparkan satu kisah duka warga insan yang terperangkap dalam dogma
birokrasi. Kisah cikgu Idayu ini ditulis oleh saudara Zaini Hassan di
mana ia menceritakan tentang perit jerih seorang cikgu yang cuba memohon
perpindahan ke kampung halaman untuk tinggal sebumbung dengan suaminya. Dalam
tulisan beliau, cikgu Idayu merupakan seorang pendidik sejati dan telah
mengabdikan dirinya sebagai pendidik anak bangsa sejak keluar dari kolej
perguruan. Demi cita-cita mendidik anak bangsa cikgu Idayu sanggup meninggalkan
kampung halaman di Terengganu dan dihantar mengajar di Sarawak. Pengkhususan
beliau ialah subjek Fizik, Matematik dan Sains.Jodohnya ditemukan dengan jejaka
yang kebetulan berasal dari negerinya di Terengganu.Setelah berkahwin Cikgu
Idayu dipindahkan dari Sarawak ke Semenanjung, iaitu Johor.Dia ditempatkan di
Sekolah Menengah Kebangsaan Dato’ Syed Esa,
Batu Pahat, Johor.Suaminya pula bertugas sebagai Warder Penjara di Dungun.
Sehingga kini mereka telah berkahwin selama lapan tahun.Bagi sesiapa pun
perhubungan jarak jauh bukan satu pilihan yang diingini, tetapi demi tugas dan
tanggungjawab ia harus dipikul dengan penuh amanah. Sepanjang lapan tahun
mereka tidak pernah tinggal sebumbung. Namun, setelah beberapa tahun
berulang-alik mereka merasakan ia bukanlah satu penyelesaian yang baik. Sebagai
penjawat awam, Cikgu Idayu mempunyai hak memohon pertukaran untuk mengikuti
suami.Sudah tujuh tahun, sejak 2008 tanpa serik dia membuat permohonan melalui
Jabatan Pelajaran Negeri dan di peringkat kementerian, namun semuanya
gagal.Setiap tahun, kementerian membuka permohonan sebanyak dua kali. Dan,
sepanjang tempoh itu dia telah membuat permohonan berbelas-belas kali.
Permohonan terbaru telah dibuat, dan buat kesekian kalinya, selama tujuh tahun,
permohonannya ditolak sekali lagi.Permohonannya untuk bersatu di bawah satu
bumbung dengan suaminya buat pertama kalinya, juga gagal. Disebabkan keadaan
dan situasi ini Cikgu Idayu cukup tertekan. Cita-cita masa kecilnya untuk
menjadi guru kini sudah menjadi satu mimpi ngeri. Malah beliau difahamkan,
sedang menerima rawatan akibat tekanan. lebih tertekan, setelah tujuh tahun
berkahwin, dia masih belum mendapat cahaya mata. luahan kata-kata beliau “Kerana
itu saya mahu duduk berdekatan dengan suami saya" Begitulah luahan
hati seorang insan yang terperangkap dalam situasi kerenah birokrasi. Mungkin
pihak berwajib mempunyai alasan yang tersendiri tetapi ia tetap memberikan satu
persepsi negatif tentang sistem pertukaran penjawat awam di Malaysia. Mungkin
dua kisah diatas mewakili seribu satu kisah duka warga Merdeka yang tertekan
dengan kerenah birokrasi awam.
Benarkah dalam isu birokrasi ini kerajaan hanya berdiam
diri tanpa melakukan sebarang pembaharuan dalam memantapkan lagi penyampaian
perkhidmatan awam? Jika disorot kembali sejarah perkhidmatan awam, banyak
langkah dan usaha yang telah diambil oleh Kerajaan dalam usaha meningkatkan
mutu perkhidmatan awam sekaligus mengurangkan kerenah birokrasi awam.Kerajaan melalui Jabatan Perdana
Menteri menerusi agensinya Malaysian
Administrative Modernisation and Management Planning Unit (MAMPU)dengan
kerjasama kementerian-kementerian
tertentu telah membuat perancangan dan melaksanakan pelan untuk meningkatkan
kualiti penyampaian sektor awam secara berperingkat-peringkat sejak 30 tahun
lepas bermula dengan era Tun Dr Mahathir Mohammad. Kerajaan di
bawah pimpinan Tun Dr. Mahathir telah melakukan banyak perubahan dalam sistem
penyampaian sektor awam moden dan sehingga kini Tun Dr. Mahathir merupakan
pencetus dan ‘’pioneer’’kepada perubahan tersebut. Kita
boleh lihat pada pada mulanya Tun Dr. Mahathir mencetuskan polisi Dasar
Pandang Ke Timur di mana ketika krisis Malaysia - Barat Tun Dr.
Mahathir telah mengambil inisiatif untuk mengambil negara-negara timur seperti
Jepun dan Korea sebagai contoh dan penanda aras kepada perkhidmatan awam
mahupun swasta di Malaysia. Dan ketika itu juga banyak pelaburan dari Negara
matahari terbit telah masuk ke Malaysia dan ini telah membawa budaya Kerja
rakyat Jepun yang sememangnya rajin ke Malaysia. Program 5S (sapu, sisih,
susun, seragam & sentiasa amal) diperkenalkan kepada agensi kerajaan.
Sekarang 5S dikenali sebagai QE (Quality Environment) dan
terdapat persijilan QE ini kepada agensi kerajaan dan swasta melalui badan
bertauliah iaitu Malaysian Productive Center (MPC). Perlaksanaan 5S di agensi
awam telah banyak membantu dalam meningkatkan pengurusan organisasi yang lebih
cemerlang dan baik dari sebelumnya. Susunan fail-fail di pejabat lebih
tersusun, senang di cari dan menjimatkan masa serta akses kepada maklumat.
Garis panduan kepada pengurusan pejabat diperkenalkan selaras dengan polisi 5S
dan ia telah membantu meningkatkan kualiti penyampaian pekhidmatan awam.
Keputusan Tun Dr. Mahathir untuk melancarkanMultimedia Super Corridor
(MSC) di Malaysia pada tahun 1996 merupakan salah satu keputusan dan legasi
beliau yang terhebat dalam sejarah pentadbiran Negara. Malah ia diakui sendiri
oleh musuh politik beliau Lim Kit Siang dalam temuramah dokumentari Mahatahir
Mohammad oleh History Channel. Beliau berkata salah satu legasi Mahathir yang
akan kekal relevan sehingga bila-bila ialah ProjekMultimedia Super Corridor
(MSC). Ya ramai yang bersetuju kerana kesan daripada perlaksanaan
MSC tersebut akan dinikmati oleh generasi – generasi selepas kita dan relevan
sehingga satu tarikh yang tidak akan diketahui. Perlaksanaan MSC telah membuka
ruang dan peluang kepada peningkatan penyampaian sektor awam yang lebih
berkesan melalui salah satu dari lapan projek perintis di bawahnya iaitu E-Government
/ Elektronik – Kerajaan. Projek E-Govt telah menggariskan inisiatif dan
pelan komprehensif dalam mentransformasikan corak pentadbiran dan pengurusan
sektor awam Malaysia. MAMPU merupakan agensi kerajaan yang bertanggungjawab
dalam perlaksanaan E-Govt ini. Secara kasarnya perlakasanaan E-Govt di Malaysia
ini sangat memakan masa dan kos kerana ia memerlukan sokongan dan dokongan
software, hardware dan tenaga kerja yang mahir. Untuk menyediakan keperluan ini
sahaja kos yang diperlukan mencecah billion ringgit Malaysia. Sebagai contoh
menurut sumber dari MAMPU, kos keseluruhan pembangunan ICT sektor awam dalam
Rancangan Malaysia ke Lapan (2000-2005) ialah RM 5.2 Billion. Usaha dalam
mentransformasikan perhidmatan awam Malaysia berteraskan teknologi telah
bermula sejak tahun 1960-an lagi, berterusan ke perlaksanaan MSC sehingga ke Projek
Internet Berkelajuan Tinggi (High Speed Broadband Project)di bawah
kepimpinan Y.A.B Perdana Menteri Malaysia Dato’ Seri Najib Tun Abdul Razak pada
hari ini. Kesinambungan itu berterusan dan melalui lebuhraya yang sama.
Konsepnya mudah, ada MSC maka adalah Internet di Malaysia dan kemudahan
internet di Malaysia dapat diperluaskan dan digunakan oleh segenap lapisan
masyarakat Malaysia. MSC telah membawa kemudahan Internet di Malaysia,majoriti
rakyat Malaysia beruntung kerana kita
semua dapat menggunakan internet hasil daripada projek MSC ini. Bila ada
kemudahan internet, maka banyak perkara dan prosedur dapat dipermudahkan dengan
klik sahaja di hujung jari. Melalui Internet, MAMPU telah menggariskan panduan
kepada Kementerian dan Agensi kerajaan dalam perkhidmatan awam di Malaysia
untuk penyampaian sistem yang lebih berkesan sekaligus menghapuskan dogma Birokrasi
Awam. Bermula dengan perlaksanaan kad pengenalan pintar MyKad untuk
seluruh rakyat Malaysia di mana pada awalnya Konsep MyKad adalah satu kad untuk
semua urusan berkaitan kerajaan dan peribadi. Laman sesawang Wikipedia
menyatakan mykad mempunyai satu cipmikropemproses dan ingatan EEPROM 32k / 64k yang berupaya menyimpan pelbagai data
dan aplikasi di dalamnya. Contohnya adalah maklumat biometrik (cap jari /
imbasan iris), lesen memandu, PKI, duit MEPS, Touch 'n Go, kad ATM, maklumat
kesihatan serta maklumat pasport. Tetapi setakat ini MyKad kita semua
penggunaanya terbatas setakat maklumat peribadi dan KWSP sahaja. Ini kerana
terdapat kekangan-kekangan dari segi peruntukan ‘’Hardware’’ dan bajet untuk
perlaksanaan yang lebih efisyen untuk Mykad, juga isu-isu kepentingan pihak ke
tiga dan industri di Malaysia sekaligus menghalang strategi asal Mykad
tersebut. Jika Mykad ini ‘’all in one’’, maka rakyat Malaysia
tidak perlu bersusah payah ke JPJ untuk memperbaharui lesen memandu, hanya ke
JPN ataupun One Stop Centre maka semua maklumat tentang anda
dapat dikemaskini dengan mudah. Menjimatkan masa, tenaga, kos dan tidak
memberikan kesan negatif kepada produktiviti.
Dengan kemudahan ICT ini para pelajar lepasan SPM dapat mengisi borang
UPU/kemasukan ke Universiti Awam secara dalam talian, tidak menggunakan borang
manual seperti dahulu yang ternyata menyusahkan dan memakan masa. Kemudahan
internet telah dimanfaatkan sepenuhnya dengan sistem dalam talian ini, maka kos
dan masa dapat dijimatkan di pihak pemohon dan Kementerian
untuk memproses permohonan borang tersebut. Permohonan untuk memasuki
perkhidmatan awam dan swasta juga dipermudahkan dengan pembangunan laman
sesawang permohonan kerja dalam talianoleh Kementerian Sumber Manusia dan Suruhanjaya Perkhidmatan Awam Malaysia. Jika
dulu rakyat Malaysia yang ingin memasuki perkhidmatan awam perlu mengisi borang
SPA8 secara manual, tetapi sekarang hanya perlu mengisi borang
tersebut secara dalam talian melaui web SPA. Begitu juga
sebilangan yang lain yang terpaksa mengetuk pintu ke pintu setiap syarikat dan
organisasi untuk bertanyakan kerja kosong yang kiranya cukup meletihkan.
Sekarang mereka boleh menggunakan Jobsmalaysia.gov dan juga jobstreet.com
untuk memohon pekerjaan secara dalam talian. Sebagai seorang penulis saya
merupakan antara yang bertuah kerana dapat memasuki perkhidmatan awam dan
swasta dengan mengunakan laman sesawang tersebut. Cukup mudah dan menjimatkan
masa, tiada red-tape dan kerenah birokrasi yang perlu dilalui dan ditempuhi,
hanya menuggu panggilan temuduga sahaja. Di sini birokrasi permohonan kerja dan
pengajian telah diminimakan dan kedua-dua belah pihak dapat merasai hasilnya.
Dari segimutuperkhidmatanawam pula, bermula pada 1 Jun 2011 Kementerian Penerangan
Komunikasi dan Kebudayaan dan agensi-agensi di bawahnya menggantikan sistem
pengaduan yang dikenali sebagai e-Aduan kepada sistem Pemantauan Aduan Agensi
Awam Bersepadu atau i-SPAAA. Sistem yang dibangunkan oleh Biro pengaduan
Awam, Jabatan Perdana Menteri merupakan satu platform sistem pengurusan aduan
yang seragam dan bersepadu yang menggunakan pendekatan 3R iaitu responding,
recording dan reporting Sistem ini secara langsungnya akan
mempercepatkan proses menguruskan setiap aduan awam iaitu dalam tempoh 14 hari
waktu bekerja. Bercirikan capaian asas web sistem ini mengandungi dua modul
utama iaitu menguruskan aduan dan laporan kepada setiap aduan. Melalui
sistem i-SPAAA setiap analisis aduan dapat dibuat dengan tepat serta dapat
mempertingkatkan sistem penyampaian kerajaan yang sistematik serta perkongsian
maklumat yang cepat, telus dan efisyen (Abdul Manan,2011). Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia sebagai
badan berkanun di bawah Kementerian Kewangan Malaysia jugatelah
memperkenalkan beberapa inovasi berhubung penghantaran borang nyata dan
pembayaran cukai. Menurut laporan tahunan LHDNM tahun 2004, di bawah sistem
penghantaran dan pembayaran LHDNM telah menyediakan kemudahan percukaian secara
elektronik seperti sistem e-Filling, e-
Pembayaran serta e-Taksiran untuk duti setem. Inovasi berkenaan bertujuan untuk
mempermudah langkah pematuhan oleh pembayar cukai berhubung proses taksiran
serta pembayaran cukai. Laman web LHDNM (www.hasil.org.my) turut menyediakan
pelbagai kemudahan termasuk capaian maklumat percukaian, kemudahan mengemukakan
pertanyaan melalui e-mel, kemudahan memuat turun Borang Nyata Cukai Pendapatan
dan pengemukaan borang aduan atau maklum balas. Bersandarkan kemajuan dan
kecanggihan teknologi yang ada, LHDNM telah melancarkan M-Filling/Mobile
Filling pada tahun 2012 di mana pembayar cukai boleh mengisi borang taksiran
tahun semasa menggunakan gajet android mereka.
Banyak usaha – usaha lain yang telah digerakkan oleh pihak Kerajaan dalam
memantapkan penyampaian sektor awam Malaysia. Tetapi semuanya memerlukan masa
dan usaha yang berperingkat kerana
terdapat kekangan-kekangan yang terpaksa ditempuhi untuk mencapai apa yang
dihajatkan. Dalam perlaksanaan sistem, sudah semestinya akan ada
halangan-tertentu yang perlu diatasi terlebih dahulu. Halangan peruntukan dan tenaga
kerja merupakan antara halangan yang utama dalam perlaksanaan sistem yang lebih
efektif dan efisyen. Ini kerana setiap inovasi dan pelan memerlukan peruntukan
yang tinggi seperti peruntukan pembangunan sistem seluruh Malaysia dan
pembangunan manusia. Aspek tenaga kerja juga menjadi satu persoalan kerana
mereka inilah yang akan mengoperasikan sistem dan pelan tersebut. Jika
mentaliti meraka masih belum dapat mencapai erti inovasi dan transformasi maka
program transformasi dan peningkatan kualiti penyampaian sektor awam hanya
sekadar omong kosong. Maka birokrasi dalam perkhidmatan awam akan berterusan
tanpa jalan penyelesaian konkrit. Segala pelaburan bernilai billion ringgit
hanya tinggal tanda tanya kerana ia tidak memberi pulangan yang diinginkan.
Jadi di pihak kerajaan, mereia harus menumpukan aspek pembangunan manusia jika
mereka dan sistem ingin digandingkan bersama-sama dalam memacu perubahan dan
inovasi sektor awam. Latihan yang berterusan harus diberikan kepada mereka yang
menguruskan sistem tersebut demi memastikan mereka sentiasa peka dengan
perubahan yang berlaku. Pada masa yang sama fasiliti dan kemudahan perlu
dipertingkatkan lagi untuk memastikan sistem dapat beroperasi dengan lancar
tanpa sebarang masalah. Perubahan tidak berlaku dalam masa satu malam, satu
minggu ataupun satu bulan, apa pendapat anda?
No comments:
Post a Comment