Tuesday, 25 August 2015

RESTROSPEKTIF POLITIK 2014

Politik merupakan satu wadah nasional di mana ia mempunyai pengaruh yang kuat dalam mengggubal dan mengubah dasar kerajaan. Politik merupakan seni mempengaruhi minda yang dipelopori oleh Ahli Falsafah Yunani Aristotle dan ia tidak jauh berbeza dengan “Art of War” dari Tsun Zu. Boleh dikatakan isu politik tempatan menguasi - dada akhbar dan media perdana di Malaysia saban tahun. Setelah tahun 2013 melabuhkan tirainya maka bermulalah episod baru warna warni politik tahun 2014. Maka pada tahun 2014 isu politik dimulakan dengan isu jawatan Menteri Besar Selangor.Selangor merupakan negeri terkaya dan termaju di Malaysia sejak dahulu lagi, ia bertambah menarik apabila Pakatan Rakyat berjaya mengambil alih Selangor pada Pilihanraya ke 12 lalu dengan kepimpinan yang diterajui oleh Tan Sri Khalid Ibrahim, seorang ahli perniagaan dan salah seorang yang bertanggungjawab dalam operasi “Dawn Raid” satu masa lalu. Jawatan menteri besar Selangor dikatakan berhantu kerana perebutan kuasa berlaku sejak 1964 di zaman Datuk Harun Idris. Ia disusuli zaman Tan Sri Ahmad Razali Mohd Ali (1982-1986), Tan Sri Muhammad Muhd Taib (1986-1997), Datuk Abu Hasan Omar (1997-2000), Mohamed Khir Toyo (2000-2008) dan yang terkini Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.
Desas desus mengatakan Menteri Besar Selangor akan digantikan oleh Anwar Ibrahim sejak tahun beberapa tahun kebelakangan ini nampaknya bakal menjadi realiti apabila “langkah Kajang” digerakkan oleh Pengarah Strategi PKR Rafizi Ramli bagi menggantikan Khalid yang berseteru dengan Azmin Ali. Isu Azmin dan Khalid kembali hangat apabila Khalid memecat Azmin dari Lembaga Pengarah PKNS dan memaksa Anwar Ibrahim campur tangan dalam hal ini.Langkah Kajang bermula apabila Wakil rakyat PKR Lee Chin Cheh meletakkan jawatan sebagai anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) kawasan Kajang Januari lalu bagi memberi laluan kepada Anwar Ibrahim bertanding pada PRK kawasan itu.Lee Chin Cheh yang baru sahaja menjadi Adun selepas pilihan raya pada 5 Mei tahun lepas juga mengucapkan jutaan terima kasih kepada para pengundi beliau yang memberikan sokongan yang tidak berbelah bagi dan memberikan kepercayaan kepadanya untuk berkhidmat untuk sekian masa. "Keputusan saya untuk mengosongkan kerusi DUN N25 Kajang adalah untuk kepentingan bersama dan mengukuhkan kebolehan Pakatan Rakyat berkhidmat untuk rakyat Selangor," kata Lee Chin Cheh dalam satu kenyataannya di media.Lee Chin Cheh yangmerupakan seorang peguam dan bekas ahli parti Gerakan selama 10 tahun menggantikan Lee Kim Sin yang popular sebagai Adun Kajang dalam PRU ke 13 lalu.Dalam PRU13 lepas Lee Chin Cheh mendapat 19,571 undi berbanding calon Barisan Nasional Lee Ban Seng yang mendapat 12,747 undi dengan kelebihan majoriti sebanyak 6,824 undi sekaligus melayakkan beliau menduduki kerusi N25 Dun Kajang. Langkah Kajang yang dicetuskan oleh Rafizi Ramli ini dengan alasan demi kebaikan rakyat Selangor telah menarik perhatian ramai dan pemerhati politik di Malaysia. Ramai yang mengkritik Langkah Kajang kerana ia membazirkan wang rakyat bagi mengadakan pilihanraya kecil,namun tidak kurang  juga yang mengharapkan sesuatu yang positif mampu dijelmakan melalui gerakan ini Banyak perkara dan isu-isu yang menyelubungi “Langkah Kajang” ini antaranya sumber menyatakan ia digerakkan untuk Anwar Ibrahim menjadi Perdana Menteri, malahan tidak juga yang menyatakan ia digunakan bagi menyelesaikan isu moral Anwar Ibrahim di Mahkamah Rayuan. Apa yang pasti “Langkah Kajang” yang dicetuskan ini menunjukkan politik menghalalkan cara berpotensi untuk berlaku atas alasan kepentingan individu.
Ketika drama politik Selangor masih belum menunjukkan tanda-tanda positif di samping perseteruan politik Anwar dan Khalid, ia dihangatkan lagi dengan keputusan Khalid menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) dengan Kerajaan Persekutuan untuk penstrukturan semula industri air di Selangor yang tertangguh sejak tahun 2008. Tindakan khalid itu nampak tidak popular dikalangan pimpinan PKR namun popular di kalangan rakyat. Keputusan beliau yang berhenti bermain tarik tali dalam isu air telah memberikan kelegaan kepada rakyat Selangor kerana sebilangan rakyat sudah cukup letih dengan isu air yang dipolitikkan saban tahun. Malahan sebilangan besar rakyat Selangor sudah cukup merasai keperitan ketiadaan air terutama peniaga-peniaga yang menggunakan air dalam urusan perniagaan seharian. MoU tersebut ditandatangani pada 26 februari lalu  di mana Khalid mewakili kerajaan Selangor dan Menteri Tenaga, Teknologi Hijau Dan Air, Datuk Seri Maximus Ongkili mewakili Kerajaan Persekutuan sambil disaksikan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin. Keputusan populis Khalid  mendapat kecaman dari pucuk pimpinan PKR kerana ia membelakangkan parti dan Anwar Ibrahim sendiri selaku Penasihat Eknonomi Selangor. Malahan Anwar sendiri mengakui keputusan Khalid itu tidak dimaklumkan kepada beliau dan pucuk pimpinan PKR.MoU tersebut  membolehkan kerajaan Selangor mengambil alih empat syarikat konsesi air di negeri berkenaan dengan suntikan dana berjumlah RM2 bilion oleh kerajaan pusat bagi pengambil alihan saham-saham syarikat konsesi.Antara isi kandungan perjanjian tersebut termasuklah kerajaan negeri yang dipimpin Pakatan Rakyat (PR) akan membenarkan Putrajaya meneruskan Loji Rawatan Air Langat 2. Selain itu, kerajaan negeri Selangor juga akan memberikan pampasan bernilai RM9.65 bilion kepada empat syarikat konsesi air tersebut.Melalui pengambilalihan tersebut, satu konsortium air untuk menguruskan industri air di Selangor akan dibentuk di bawah seliaan Kumpulan Darul Ehsan Berhad (KDEB). Di saat Khalid di ambang penyingkiran, beliau mengambil langkah bijak dengan memilih untuk menandatangani MoU tersebut kerana sudah semestinya ia dapat mengambil hati rakyat Selangor dan menaikkan imej beliau sebagai Menteri Besar pertama yang berjaya mengambil alih konsesi Air di Selangor.
Ketika pemerhati melihat “langkah Kajang” berada di landasan yang betul bagi menaikkan Anwar Ibrahim sebagai MB Selangor, langkah terhenti seketika apabila  pada 7 Mac  Mahkamah Rayuan memutuskan menerima rayuan pihak pendakwa raya dan mensabitkan Anwar atas tuduhan meliwat bekas pembantunya, Saiful Bukhari Azlan 6 tahun lalu. Anwar yang didapati bersalah dan dihukum penjara lima tahun secara automatik hilang kelayakan untuk bertanding kerusi DUN Kajang. Berita ini amat mengejutkan dan menyentap seketika moral kem PKR kerana keputusan mahkamah itu dikeluarkan hanya beberapa hari sebelum hari penamaan calon. Keputusan Mahkamah tersebut nyata bukan penghalang kepada kem PKR apabila menamakan Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail sebagai calon yang akan menggantikan Anwar dalam Pilihanraya Kajang ini. Penamaan Dr. Wan Azizah Wan Ismail itu diterima sebulat suara oleh kem Pakatan dan gerak kerja dilancarkan bagi memastikan kemenangan berpihak kepada mereka. Barisan Nasional pula sebulat suara menamakan Datin Paduka Chew Mei Fundari MCA sebagai calon yang akan menentang Wan Azizah.Pencalonan dari MCA ini membuktikan kepercayaan Perdana Menteri kepada kemampuan MCA. Bagi MCA, PRK Kajang ini adalah pemilihan yang penting kerana inilah kali pertama MCA diuji selepas prestasi paling buruk semasa PRU ke 13. Jumlah undi yang akan diperolehi akan menjadi penanda aras bukan saja terhadap kepimpinan presidennya yang baru, Datuk Seri Liow Tiong Lai tetapi juga sejauh mana relevannya parti kaum Cina itu dalam Barisan Nasional dan kepada orang Cina dan rakyat Malaysia. Maka dengan itu segala gerak kerja dan perancangan digerakkan, kempen dijalankan bagi meraih sokongan pengundi. Janji-janji ditaburkan sementelah Kajang diselubungi banyak isu pengurusan seperti sampah dan banjir. Akhirnya pada 23 Mac, Suruhanjaya Pilihanraya Malaysia (SPR) mengumumkan keputusan pilihanraya DUN Kajang di mana Wan Azizah menang dengan majoriti 5,379 undi. Wan Azizah memperolehi jumlah undi sebanyak 16,741 undi dan Chew Mei Fun pula memperoleh 11,362 undi. Kemenangan Wan Azizah sudah dijangka sejak awal lagi, malahan kajian-kajian yang dijalankan oleh Unisel dan UMCDEL juga menunjukkan kemenangan bakal berpihak kepada PKR. Kemenangan beliau memberikan gambaran bahawa langkah Kajang sudah selangkah ke arah kejayaan yang direncanakan.
Setelah isu Kajang melabuhkan tirainya dan kemenangan sudah pun dipaksikan, timbul pula polemik perlaksanaan hukum Hudud di Kelantan. Isu ini bermula apabil Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob mengumumkan akan membawa Rang Undang-Undang Persendirian (RUU) ke Dewan Rakyat pada persidangan sesi Jun 2014 bagi membolehkan pelaksanaan Kanun Jenayah Syariah (ii) 1993 Kelantan seperti yang diperuntukkan oleh Perkara 76 (A) Perlembagaan Persekutuan.Umum mengetahui Parti Islam Semalaysia (PAS) merupakan jaguh utama dalam memutarkan isu hudud setiap kali Pilihanraya diadakan walaupun ia mendapat tentangan dari sekutunya DAP. Maka tidak hairanlah ramai yang mengatakan isu hudud ini akan membawa perpecahan dikalangan parti dalam Pakatan terutama ketidaksefahaman PAS dan DAP berhubung Hudud. Sedar akan kritikan hebat oleh sebilangan rakyat berkenaan isu perlaksanaan Hudud, PAS cuba mengambil langkah kanan dengan membawa isu ini ke Parlimen dan mencadangkan Hudud dilaksanakan awal tahun 2015. Apabila isu hudud ini dilagukan semula, maka bermulaIah episod tuduh menuduh dan hukum menghukum di kalangan ahli politik dan agamawan non-partisan dan partisan. Isu tuduh menuduh dalam perlaksanaan hudud bukan  perkara baru, malahan ia sudah berlaku sejak PAS berjaya mengambil alih Kelantan. Isu Hudud ini turut menarik perhatian UMNO apabila UMNO menyarankan agar Jawatankuasa Teknikal Hudud diwujudkan bagi membincangkan isu hudud ini di peringkat yang lebih tinggi. Malahan ada ura-ura menyatakan negeri di bawah pemerintahan BN juga akan melaksanakan hudud. Namun apa yang paling penting adalah bagaimana PAS ingin melaksanakan hudud jika ia mendapat tentangan dari DAP, malahan dalam buku jingga juga tidak menyebut tentan perlaksanaan hudud di negeri pakatan. UMNO sebagai parti terbesar melayu juga di dalam dilema apabila MCA selaku parti komponen juga menentang perlaksanaan hudud walaupun Dato Seri Najib Tun Razak memberi jaminan akan menyokong perlaksanaan hudud. Mungkin isu hudud ini boleh dijadikan sebagai wadah penyatuan UMNO dan PAS walaupun ia agak mustahil dilakukan. Tetapi jika masing-masing ikhlas dalam perjuangan hudud seharusnya UMNO dan PAS perlu dan mengenepikan sentimen politik dan bergabung terlebih dahulu dalam usaha merealisasikannya.

Di saat dan ketika Pakatan berbalah berkenaan isu hudud, Malaysia dikejutkan dengan berita kematian Ahli Parlimen Bukit Gelugor Karpal Singh, beliau yang juga dikenali sebagai Harimau Jelutong terlibat dalam kemalangan maut di km 301.6 Lebuh Raya Utara-Selatan berhampiran Gua Tempurung , Perak pada 17 April 2014 lepas.  Kematian beliau membawa satu keputusan yang jelas di mana Pilihanraya kecil perlu diadakan bagi mengisi kekosongan kerusi Parlimen Bukit Gelugor. Maka SPR telah memutuskan PRK Parlimen Bukit Gelugor akan diadakan pada 25 mei 2014 di mana rakyat Malaysia menyaksikan pertarungan berat sebelah di mana calon DAP Ramkarpal Singh mendapat undi sebanyak 41,242 undi, calon Parti Cinta Malaysia Huang Cheng Guan mendapat undi sebanyak 3583 undi, calon Bebas Mohd Nabi Bux Mohd Abd Sathar mendapat 799 undi dan seorang lagi calon Bebas Abu Backer Sidek Mohammad Zan mendapat 225 undi. Ramkarpal Singh menang dengan majoriti 37,659         dan memastikan kerusi Parlimen Bukit Gelugor kekal milik DAP. Selepas PRK Bukit Gelugur,  menyusul pula PRK Teluk Intan yang menyaksikan pertarungan satu lawan satu diantara calon Barisan Nasional Datuk Mah Siew Keong dengan Setiausaha Politik kepada Ahli Parlimen, Lim Kit Siang , Dyana Sofya Mohd Daud yang bertanding atas tiket DAP. PRK Teluk intan ini diadakan pada 31 Mei 2014  berikutan kematian penyandangnya  Seah Leong Pei dari parti DAP pada 1 Mei 2014. PRK Teluk Intan ini menyaksikan kontroversi apabila DAP dikatakan mempergunakan calon Melayu bagi meraih undi pengundi Melayu di sana, malahan Dyana Sofya dan ahli keluarganya turut dikecam kerana bertanding di atas tiket DAP. Keputusan PRK Teluk Intan ini menyaksikan Datuk Mah Siew Keong menang dengan majoriti 238 undi di mana Datuk Mah memperoleh 20,157 undi berbanding calon DAP, Dyana Sofya Mohd Daud, 27, yang mendapat 19,919 undi.

Kemenangan Datuk Mah Siew Keong pada PRK Teluk Intan telah membuka peluang  kepada MCA untuk menyertai Kabinet Kerajaan Persekutuan setelah MCA menolak untuk menyertai kabinet berikutan prestasi buruk pada PRU yang lepas. Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak telah mengumumkan rombakan kecil kabinet melalui penyertaan semula pemimpin parti komponen Barisan Nasional (BN) daripada Gerakan dan MCA. Beliau berkata kemasukan semula wakil MCA dan Gerakan dalam barisan Kabinet akan mengukuhkan konsep perkongsian kuasa dalam pentadbiran negara yang melibatkan semua kaum di negara ini. Melalui rombakan kecil ini, sebanyak enam jawatan telah diberikan kepad MCA dan GERAKAN di mana Presiden MCA, Datuk Seri Liow Tiong Lai dilantik memegang jawatan sebagai Menteri Pengangkutan. Presiden Gerakan, Datuk Mah Siew Keong dan Timbalan Presiden MCA, Datuk Dr. Wee Ka Siong dilantik sebagai menteri di Jabatan Perdana Menteri. Sementara itu, tiga Naib-Presiden MCA iaitu Datuk Lee Chee Leong dilantik sebagai Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Chua Tee Yong dilantik sebagai Timbalan Menteri Kewangan dan Datin Paduka Chew Mei Fun dilantik sebagai Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat. Keputusan Perdana Menteri ini nyata mendapat reaksi yang bercampur baur, ada yang memuji dan tidak kurang juga yang mengkritik. Namun demikian ia jelas menunjukkan semangat permuafakatan parti komponen Barisan Nasional sentiasa utuh dan dijaga sebaiknya sejak kemerdekaan Tanah Melayu sehingga ke hari ini.

Tidak dinafikan kunci kekuatan Barisan Nasional dalam memerintah Negara terletak pada semangat permuafakatan dan bertolak ansur yang telah diamalkan oleh pemimpin-pemimpin terdahulu. Walaupun setiap parti berbeza ideologi berlandaskan bangsa dan agama, namun masing-masing punya matlamat yang sama dan faham keterbatasan dalam berpolitik. Ia amat berbeza sekali dengan apa yang berlaku pada kem Pakatan apabila usaha untuk menjatuhkan Tan Sri Khalid terus digerakkan dengan agresif dan ia bermula apabila Tan Sri Khalid tewas pada pemilihan PKR Kuala Selangor kepada S.Manikavasagam. Kekalahan Khalid nyata mencetuskan keraguan kerana beliau tewas kepada calon yang bermasalah dan bukan dalam kelasnya. Setelah itu pada 21 Julai 2014 PKR menamakan Dr Wan Azizah sebagai calon MB Selangor menggantikan Tan Sri Khalid. Tan Sri Khalid dalam reaksi balasnya menyatakan beliau menerima dengan hati yang terbuka keputusan parti yang mencalonkan Dr Wan Azizah sebagai pengganti beliau namun segala prosedur haruslah berlandaskan kepada undang-undang tubuh kerajaan negeri. Namun ramai yang tidak bersetuju Tan Sri Khalid digantikan kerana ramai yang menganggap ia hanya bermotifkan politik semata-mata. Maka demi meyakinkan rakyat, setiausaha agung PKR Datuk Saifuddin Nasution mendedahkan nota setebal lebih 40 muka surat mengenai dakwaan salah laku Abdul Khalid seperti isu penjualan tanah milik kerajaan negeri Selangor kepada Eco World dan projek pembinaan rumah mampu milik di Sungai Sering, Ukay Perdana. Isu dan skandal tersebut telah dijawab oleh Tan Sri Khalid dan beliau berkeras tidak akan meletak jawatan kerana isu yang remeh temeh tersebut. Akhirnya beliau dipecat oleh parti, namun drama politik ini tidak terhenti setakat ini di mana beliau mendapat perkenan Sultan Selangor untuk terus menjadi MB Selangor. Malahan siapa sangka beliau mengambil tindakan berani dengan memecat lima anggota Exco-nya  yang terdiri daripada DAP dan PKR yang telah mendapat perkenan Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah berkuat kuasa pada 12 Ogos 2014. Dalam isu ini apa yang menarik perhatian adalah tindakan PAS yang menongkah arus dengan menyatakan sokongan kepada pentadbiran Tan Sri Khalid dan ke-empat-empat Exco PAS di bawah pentadbiran Tan Sri Khalid juga dikekalkan kerana sokongan yang diberikan.

Walaupun tindakan PAS menyokong Tan Sri Khalid mendapat kritikan dari rakan sekutu, namun Presiden PAS punya pendirian. Ketika ini ramai yang berteka teki dan beranggapan PAS akan bekerjasama dengan UMNO membentuk kerajaan gabungan di Selangor dan Tan Sri Khalid kekal sebagai MB. Namun ketika rakyat khayal dengan mainan teori, PAS dikejutkan dengan tindakan dua adunnya Adun Hulu Klang Saari Sungib dan Adun Morib Hasnul Baharuddin yang menyatakan sokongan secara terbuka kepada pencalonan Dr Wan Azizah sebagai MB baru. Tindakan kedua-dua adun tersebut nyata mengejutkan kem PAS kerana ia membelakangkan parti dan ia mendapat kecaman Presiden PAS. Malahan munculnya PASMA sebagai NGO dalam PAS di tengah-tengah ketegangan krisis juga menunjukkan PAS betul-betul berada dalam kedudukan yang lemah dalam menghadapi isu ini. Ketika ini kedudukan Tan Sri Khalid mula goyah kerana jumlah adun yang tidak menyokongnya lebih ramai dari yang menyokongnya. Akhirnya Sultan Selangor menitahkan setiap parti menghantar lebih dari satu nama untuk dipertimbangkan oleh Sultan.  DAP dan PKR tetap dengan pencalonan tunggal iaitu Dr Wan Azizah manakala PAS mengambil langkah bijak untuk tidak berkrisis dengan Istana dengan menghantar lebih dari satu nama. Namun apa yang menarik adalah keputusan PAS yang membuat pusingan U apabila menyatakan sokongan kepada Dr Wan Azizah dan menolak Tan Sri Khalid dengan alasan Tan Sri Khalid telah dipecat dari parti dan beliau tiada kapasiti untuk terus kekal sebagai MB. Setelah hampir 3 bulan berteka teki, akhirnya drama politik ini sampai ke penghujung apabila Sultan Selangor mengumumkan Menteri Besar baru akan mengangkat sumpah di Istana Alam Shah Klang pada 23 September. Mungkin sudah tertulis rezeki Azmin Ali untuk menjadi MB, maka beliau secara rasminya mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar Selangor yang baru menggantikan Tan Sri Khalid Ibrahim. Mungkin ramai yang menggaggap segala drama yang berlaku ini adalah satu perancangan untuk menaikkan Azmin Ali sebagai MB, namun cara dan kaedah yang “di luar kotak” ini nyata membuatkan ramai jelak dengan orang politik. Namun krisis MB sudah berakhir, sudah tiba masanya Azmin Ali membuktikan beliau layak untuk menggantikan Tan Sri Khalid yang mempunyai rekod yang cemerlang dalam pentadbiran Selangor sehingga berjaya menaikkan rizab simpanan Selangor sehingga Rm 3 billion, sesuatu yang tidak pernah dicapai sebelum ini. Ketika ini Azmin Ali sedang bekerja dan seharusnya tiada lagi drama penyingkiran berlaku di era Azmin.

12 Oktober 2014 telah berlangsung Perhimpunan Agung Persatuan Cina Malaysia (MCA) ke-61 yang diadakan di Wisma MCA. Perhimpunan tersebut dipengerusikan oleh Presiden Dato’ Seri Liow Tiong Lai dan dirasmikan oleh YAB Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak selaku penegrusi Barisan Nasional. Membincangkan banyak isu-isu utama berkisarkan hal-hal kepartian dan juga masalah nasional, perhimpunan agung ini menjadi satu platform kepada perwakilan untuk menyuarakan hasrat dan suara kepada pucuk pimpinan. Banyak resolusi yang yang diluluskan namun apa yang menarik perhatian adalah isu sekolah vernakular, isu yang sudah lama dipertahankan dan diperjuangkan oleh parti kaum Cina di Malaysia. Sesuatu yang menarik dalam isu ini ialah walaupun DAP dan MCA berada di landasan politik yang berbeza, namun jika ditebak dengan isu SJKC mereka akan bersatu dalam hal ini. Ia nyata jauh bebeza dengan senario politik kaum Melayu yang lemah dan berpecah belah walaupun mempunyai agama dan warna kulit yang sama. Pada perhimpunan MCA tersebut, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata masayarakat Cina tidak perlu risau dan bimbang mengenai status Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) tetapi Perdana Menteri mahu kaum Cina meningkatkan penguasaan bahasa kebangsaan. Isu ini kembali hangat apabila ada ahli UMNO mencadangkan isu sekolah vernakular ini dibahaskan di Perhimpunan Agong UMNO 2014. Malahan isu ini dibahaskan secara terbuka oleh ahli akademik dan para sejarawan di media arus perdana. Menyedari akan hakikat isu pendidikan SJKC  merupakan isu yang dekat di hati masyarakat Tionghua di Malaysia, maka SJKC dipertahankan untuk kepentingan kaum Cina dan juga kepentingan politik sesetengah individu. Sudah pasti jaminan yang di berikan oleh Perdana Menteri memberikan satu kelegaan kepada kaum cina di Malaysia namun isu ini akan tetap terus dibahaskan oleh pihak-pihak yang berkepetingan selagi ia mampu memberikan faedah politik.

Jendela November menyaksikan teguran terbuka oleh Dato Seri Najib Tun Razak kepada UMNO Selangor berikutan prestasi buruk UMNO Selangor pada PRU ke 13 yang menyaksikan UMNO hanya mendapat 12 kerusi Dun, lebih teruk dari prestasi pada PRU ke 12 di mana UMNO mendapat 20 kerusi Dun. Tempoh masa 5 tahun dari 2008 bagi UMNO untuk mengubah situasi politik dan meyakinkan rakyat Selangor untuk memilih bersama BN nampaknya tidak menjadi. Tambahan pula ketika krisis MB Selangor, UMNO langsung tidak menunjukkan taringnya dalam mengambil kesempatan politik dalam isu tersebut memandangkan ia merupakan bola tanggung kepada UMNO. Maka tidak hairanlah UMNO Selangor mendapat teguran dari Perdana Menteri selaku pengerusi BN, Perdana Menteri menggesa UMNO supaya bekerja keras dan meningkatkan cara kerja demi meyakinkan rakyat Selangor pada PRU akan datang. Kritikan tersebut di sulami dengan teguran terbuka oleh Mantan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir yang menggesa perubahan UMNO Selangor melalui penyusunan dan penukaran pemimpin sedia ada. Tun Mahathir juga menyatakan pandangan beliau di laman blognya perihal UMNO Selangor, beliau menyatakan UMNO Selangor perlu mencari pelapis baru bagi menjamin kesinambungan UMNO. Beliau menambah UMNO Selangor perlu fokus pada generasi –Y pada PRU ke 14 dan mengikis imej parti rasuah yang seolah-olah sudah lekat dengan UMNO. Kritikan Perdana Menteri dan Tun Mahathir ini nyata memberikan satu tamparan yang hebat kepada UMNO Selangor malahan UMNO di semua negeri di Malaysia. Jika diamati reaksi balas kepada kritikan Tun Mahathir menunjukkan pemimpin UMNO Selangor tidak sedia menerima pendapat dan kritikan orang lain, malah pemimpin UMNO Selangor kebal dengan kritikan. Tetapi bedasarkan kepada kapasiti Tun Mahathir sebagai pejuang UMNO dari zaman pascamerdeka lagi membuktikan beliau antara orang paling layak untuk memberikan pandangan dan kritikan kepada UMNO kini. Kritikan yang dilemparkan harus diambil sebagai pedoman, malahan Dato Seri Najib boleh dijadikan sebagai contoh terbaik apabila beliau menerima kritikan terbuka Tun Mahathir yang lantang mempersoalkan gaya kepimpinan beliau pada September lepas. Tanpa pemimpin lama pemimpin baru tidak mampu berdiri, tanpa pemimpin baru idea segar tidak dapat diterjemahkan, begitulah perumpamaanya.

Jendela politik 2014 hampir melabuhkan tirainya, banyak isu-isu yang terjadi yang mewarnai iklim politik Malaysia. Di sebalik keriuhan suhu politik Malaysia seharusnya rakyat tidak melupakan bagaimana Malaysia telah terbentuk. Malaysia terbentuk melalui semangat permuafakatan dan persefahaman yang dibina dan dijalin sejak sekian lamanya. Seharusnya semangat permuafakatan ini dikekalkan sehingga ke generasi akan datang kerana ia merupakan kunci kesejahteraan Malaysia. Dalam keterbukaan melontarkan idea seharusnya ada ketenangan dalam berbicara, agar semua rakyat dapat merasa nikmat keamanan yang akan kekal sampai bila-bila.






No comments:

Post a Comment