INDUSTRI
PERDAGANGAN SENJATA MENJANA EKONOMI?
Dunia telah menyaksikan abad ke-20 merupakan
abad yang paling kejam dan sadis dalam sejarah peradaban manusia dengan
berlakunya dua peperangan dunia, diikuti lebih 30 tahun perlumbaan senjata,
perang teluk, perang Afghanistan, Perang Vietnam, Perang Iran-Iraq, krisis
timur tengah, Arab Spring dan sebagainya. Cornell
Universiti di Amerika Syarikat melalui
Program Penyelidikan Keamanan telah
menganggarkan bahawa seramai 231 juta
manusia telah terkorban melalui peperangan dan konflik sepanjang abad
ke-20. Di antara faktor utama sejarah tragis manusia ini adalah kesan daripada
perdagangan senjata yang dipelopori oleh mereka yang berkuasa. Perdagangan
senjata yang sering kali dilihat sebagai langkah memperkuatkan sistem
pertahanan dan perbelanjaan persenjataan atas dasar keselamatan sebenarnya
hanya mencetuskan konflik dan pertumpahan darah. Dalam erti kata lain,
peperangan telah dicipta bukan hanya kerana ideologi tetapi juga berfaktorkan
keuntungan. Dunia ketika ini hidup dalam keadaan penuh hipokrasi dan bermuka-muka,
di sebalik slogan keamanan global dan hak asasi negara-negara besar masih
mempromosi peperangan dan mencipta krisis untuk keuntungan masa hadapan.
Di sebalik slogan keamanan yang dibawa ke
setiap pelusuk dunia, hakikatnya peperangan seringkali tercetus yang memaksa
manusia untuk menerima doktrin keamanan global yang dipenuhi tipu helah dan
muslihat mereka yang berkuasa. Perlumbaan senjata yang berlaku di kalangan
negara merdeka memberikan satu isyarat yang jelas bahawa teraju pemerintahan
sentiasa menanam sifat curiga dan sangsi kepada kawan mahupun lawan. Status
urusniaga penjualan dan pemerdangan senjata api oleh negara pengeluar
seringkali diperdebatkan terutamanya dari badan-badan hak asasi manusia seperti
amnesty international. Perdagangan senjata
api merupakan perniagaan yang korup dan merbahaya kerana ia menyokong krisis
dan pembunuhan di serata dunia. Walaupun kebanyakan negara sedar akan hakikat
ini namun urusniaga senjata api disokong sepenuhnya oleh pihak kerajaan tanpa
kompromi. Negara pengeluar senjata yang terlibat secara langsung dan tidak
langsung dalam urusniaga ini tidaklah banyak, namun hakikatnya negara penerima
hatta kumpulan militan dan bersenjata adalah berselerak di seluruh dunia
merentasi lautan dan benua.
Perlumbaan senjata tidak berlaku di zaman
moden sahaja, malahan ia telah berlaku sejak berkurun lamanya di mana tentera Greek mencipta kapal perang ketika
berperang dengan Parsi begitu juga
tentera Portugese mencipta armada
menakhluk Tanah Melayu. Malahan ada sumber menyatakan pejuang tanah melayu
telah mencipta banyak senjata moden yang digunakan untuk berperang dengan
penjajah. Penciptaan senjata pada asalnya adalah untuk mempertahankan diri
dalam konteks mikro dan mempertahankan negara dari pencerobohan bagi konteks makro.
Namun demikian, penciptaan senjata telah melangkaui tujuan asal apabila ia
diperdagangkan dengan inovasi terkini yang diaplikasi kepada penciptaan senjata
moden. Senjata moden yang dicipta ini memerlukan percubaan dan lapangan sasar
yang “luas” merentasi subjek, maka
peperangan dan krisis direncana sejak penciptaan serbuk letupan oleh mereka
yang berkuasa. Daripada penciptaan senjata tajam yang digunakan untuk memotong
daging seperti pisau dan tombak, inovasi diteruskan. Bermula dari penggunaan
batu akhirnya manusia menguasai ilmu logam dan aloi, natijahnya manusia
menggunakan unsur tersebut untuk mencipta pisau dan pedang yang lebih efisien
dan mampu digunakan dalam apa jua keadaan seperti peperangan. Inovasi senjata
diteruskan lagi dengan penciptaan serbuk letupan dan meriam, sehinggalah era
teknologi nuklear di mana Amerika
Syarikat telah menggugurkan bom atom ke atas Hiroshima dan Nagasaki yang
mengorbankan lebih 200,000.000 nyawa
dan mencederakan jutaan yang lain.
Senjata dan perang tidak dapat dipisahkan, ia
ibarat irama dan lagu yang memainkan irama kematian dan kesedihan kepada
mangsa-mangsa perang. Namun tangisan yang tiada berlagu ini tidak mampu
menghentikan pembunuhan beramai-ramai yang berlaku ketika ini. Malahan penciptaan senjata dihalalkan dengan
alasan untuk melindungi orang ramai dari jenayah dan memepertahankan diri.
Hakikatnya penciptaan senjata menjana ekonomi bagi mereka yang berkuasa dan
menguntungkan negara yang mengeluarkan senjata. Stockholm International Peace Research Institute (SIPRI) sebuah
badan bebas antarabangsa berpengkalan di Sweden yang mengkhusus kepada
penyelidikan mengenai perdagangan senjata melaporkan bagi tahun 2013 sahaja jumlah keseluruhan kos
pembinaan senjata yang dieksport adalah bernilai 56.60 billion USD di seluruh dunia. Jumlah itu adalah jumlah disatukan dari dua
negara pengeluar senjata utama dunia iaitu Amerika
Syarikat dengan nilai dagangan senjata berjumlah 26.9 billion USD melibatkan 56 negara dan negara Russia dengan nilai dagangan bernilai 29.7 billion USD yang melibatkan 16
buah negara. Jumlah yang dinyatakan ini adalah jumlah kos pembangunan senjata
sahaja dan ia tidak termasuk nilai
transaksi sebenar yang merangkumi nilai keuntungan penjualan senjata. Dari
jumlah tersebut negara yang paling banyak menerima senjata dari Russia adalah Emiriah Arab Bersatu dengan nilai
dagangan sebanyak 3,7 bllion USD manakala
bagi negara Amerika Syarikat pula adalah negara Turki dengan nilai penjualan senjata sebanyak 2,3 billion USD. Walaupun
angka ini tidak menggambarkan jumlah transaksi yang sebenar namun ia sudah
cukup menggerunkan dan memberikan gambaran bahawa peluru dan serbuk peledak ada
di mana-mana sahaja. Angka jualan itu juga menunjukkan bahawa negara-negara
sanggup membelanjakan sejumlah wang bagi membeli peralatan yang canggih demi
apa jua alasan sedangkan kemudahan dan kebajikan rakyat di negara masih
terabai.
Umumnya industri senjata ini didominasi oleh
sekumpulan kecil syarikat gergasi yang mempunyai ibu pejabat di negara asal
namun membina kilang pengeluaran senjata di serata dunia. Praktikalnya mereka
membina kilang pengeluaran senjata di negara yang berdekatan dengan
negara-negara yang sedang mengalami konflik dan krisis pemerintahan seperti
negara di timur tengah dengan alasan kemudahan logistik. Antara syarikat
pengeluar senjata ini termasuklah Lockheed
Martin (Amerika Syarikat), BAE Systems (Britain), Boeing (Amerika Syarikat),
Raytheon (Amerika Syarikat), EADS (Eropah) dan Finmeccanica (Itali). Syarikat
-syarikat ini bertanggungjawab dalam membangunkan sistem persenjataan canggih
dan moden seperti jet perang, peluru berpandu, kapal perang, artileri dan
kenderaan pengangkut senjata seperti Humvee. Syarikat pengeluar senjata ini
pada asasnya tidaklah besar dan gah bedasarkan standard perniagaan antarabangsa
namun BAE System, syarikat pengeluar
senjata ketiga terbesar di dunia telah di letakkan di kedudukan 398 daripada
500 syarikat perniagaan yang berpengaruh di dunia. Syarikat ini disenaraikan
sebagai antara syarikat yang paling berpengaruh di dunia kerana hubungan
politiknya yang kukuh. Jaringan hubungan syarikat dengan penggubal polisi dalam
negara amatlah penting bagi memastikan polisi dan penguatkuasaan yang dirancang
membantu syarikat-syarikat ini untuk terus kukuh dalam persada industri.
Teorinya mudah, apabila menteri ataupun orang
penting dalam kerajaan telah berjaya di beli maka segala urusan jual beli
senjata dihalalkan atas nama perniagaan dan kemanusiaan. Maka tidak hairanlah
pameran dan “bazaar” urusniaga
senjata berat diadakan setiap tahun bagi menunjukkan kepada dunia teknologi
yang mereka telah bangunkan. Ketika pameran ini diadakan maka banyaklah
teknologi persenjataan moden yang akan dipamerkan termasuk senjata yang tidak
pernah ditunjukkan kepada dunia sebelum ini. Pameran ini merupakan lubuk
kematian bagi mangsa kekejaman krisis, namun lubuk bagi mereka yang berkuasa. Selain
pameran senjata ini kuasa besar dunia juga menggunakan pengaruh filem bagi
menunjukkan keupayaan teknologi mereka. Sebagai contoh filem pecah panggung Transformers yang selalu memaparkan
kecanggihan teknologi senjata Amerika
Syarikat dalam semua episodnya. Malahan senjata sulit kapal perang Amerika
di teluk parsi dan pengkalan tentera Amerika Syarikat Diego
Garcia yang serba moden di lautan Hindi juga telah ditunjukkan dalam siri kedua Revenge Of The Fallen, ironinya dunia mengetahui tentang Diego Garcia melalui insiden kehilangan
pesawat MH370 awal tahun 2014.
Persepsi yang selalu menjadi tanggapan umum
terhadap persenjataan ialah senjata adalah untuk keselamatan. Bagi negara
pengeluar senjata, industri ini dapat menjana ekonomi dan memberi hasil kepada
negara termasuk mencipta peluang pekerjaan. Tetapi hakikatnya sekitar 2,000
orang mati setiap hari akibat dari perdagangan senjata ini. Ia menjana ekonomi
negara melalui bayaran keuntungan cukai dan keuntungan transaksi yang diuruskan
oleh syarikat pengeluar yang disokong oleh kerajaan. Ia belum termasuk
keuntungan perdagangan senjata yang diseludup di pasaran gelap. Walaupun ia
menjana “ekonomi” bagi negara
pengeluar senjata namun dianalisa, hakikatnya perdagangan senjata ini boleh
memberikan implikasi yang buruk dan amat berpotensi untuk mencetuskan konflik
serantau. Umpamanya pada 1998, terdapat
11 konflik bersenjata di Afrika yang melibatkan kumpulan yang bermusuhan diantara
satu sama lain dan konflik ini berpanjangan sehingga ke hari ini. Dilaporkan
antara 1989-1998, Amerika telah memperuntukkan
USD227 juta untuk latihan
ketenteraan dan senjata bagi tentera-tentera di beberapa negara di Afrika.
Daripada jumlah ini sebanyak USD111 juta
digunakan untuk peperangan yang berlaku di Congo,
Angola, Burundi, Chad Namibia, Rwanda, Sudan, Uganda dan Zimbabwe
Selain itu, peruntukan perbelanjaan untuk
persenjataan yang berlebihan akan menjejaskan agenda pembangunan sesebuah
negara. Menurut Laporan PBB
melaporkan bahawa perbelanjaan senjata terutamanya di negara dunia ketiga dan
membangun menyebabkan kekayaan negara tidak dapat disalurkan kepada pembangunan
sosial. PBB merekodkan bahawa lebih 1 bilion penduduk hidup di bawah paras
kemiskinan iaitu pendapatan kurang daripada USD1 sehari sedangkan USD184
setahun diperuntukkan bagi perbelanjaan senjata bagi setiap individu di
muka bumi ini (Dr Zulkifli Hasan). Perkembangan perbelanjaan senjata yang
berlebihan untuk tujuan keselamatan juga mengakibatkan peruntukan yang
sepatutnya disalurkan kepada sektor pembangunan dan kebajikan tidak dapat
dimanfaatkan. Sebagai contoh, harga bagi 30 buat jet Sukhoi-30 MKI buatan Rusia ialah USD1.8 bilion. Peruntukan sebanyak ini sebenarnya boleh disalurkan
untuk membiayai pembinaan hospital-hospital dan klinik kerajaan bagi
memantapkan sektor kesihatan awam. Manakala, Harga bagi 310 kereta kebal T-90S buatan Russia ialah USD600 juta dan sekiranya wang ini digunakan untuk tujuan pendidikan
ia boleh dibelanjakan untuk membiayai pembinaan sekolah-sekolah dan universiti
untuk pembangunan modal insan. Fakta dan angka ini menunjukkan betapa rakusnya
manusia terhadap kuasa hingga sanggup mengenepikan keperluan yang lebih
mendesak seperti kesihatan, pendidikan dan pembangunan sosio ekonomi
masyarakat. Begitu juga dengan peningkatan indeks rasuah di mana perdagangan senjata sering melibatkan
pihak tengah, tidak telus, bersifat rahsia dan sangat berpotensi menyumbang ke
arah amalan rasuah. Dilaporkan bahawa terdapat lebih 50 peratus tuduhan rasuah yang
berlaku di seluruh dunia melibatkan perdagangan senjata sahaja (Dr Zulkifli
Hasan).
Apa yang menyedihkan, negara-negara Islam
merupakan di antara pelanggan tetap dan pengguna terbesar senjata di dunia.
Arab Saudi, Bahrain, UAE, termasuk negara-negara miskin seperti Pakistan,
Syria, Mesir dan Yaman merupakan negara yang memperuntukkan sejumlah wang bagi
perbelanjaan senjata berat dan ringan. Alasan yang sering diberikan atas
pembelian senjata ini ialah atas faktor keselamatan. Ada juga yang memberikan
justifikasi keselamatan dan ancaman Israel, konflik sempadan dan keperluan
pertahanan negara. Alasan dan rasional pembelian senjata ini mungkin signifikan
berikutan dengan krisis militan yang berlaku di timur tengah seperti isu
kumpulan militan Islamic State (IS)
yang sedang berkuasa ketika ini. Sebagai contoh pada tahun 2014 Qatar
telah membuat pembelian bersejarah berjumlah USD 11 billion daripada Amerika Syarikat. Pembelian itu meliputi
aset ketenteraan canggih milik negara uncle sam iaitu Misil Patriot dan Helikopter
perang Apache. Ia merupakan pembelian senjata terbesar bagi Amerika pada
tahun 2014 ini berbanding dengan rekod sebelumnya. Pembelian tersebut dibuat
atas justifikasi ancaman keselamatan militan dan juga krisis “Arab Spring” yang melanda timur tengah
ketika ini. Angka ini tidak terhenti setakat ini, Jane Defence Weekly melaporkan bahawa antara 2011-2013 sahaja,
negara teluk seperti Arab Saudi, UAE, Qatar dan Oman telah memperuntukkan lebih
USD 300 billion untuk perbelanjaan
senjata. Mungkin ini antara faktor mengapa Timur Tengah mundur dan dibelenggu
konflik berterusan. Dari sudut ekonomi, direkodkan bahawa hampir separuh
daripada 57 negara OIC
diklasifikasikan sebagai ’Negara
Berpendapatan Rendah’ & ’Negara
Miskin dan Tinggi Keberhutangan’. 70-85 % umat Islam dikategorikan sebagai ’non-bankable’ dan 50 % hidup di bawah
garis kemiskinan serta 25 % tiada akses pada kemudahan perubatan dan air
bersih.
Walaupun industri penjualan senjata ini
dikawal dan diselia oleh Perjanjian
Pengawalan Perdagangan (Arms Trade Treaty)
yang diluluskan melalui resolusi Pertubuhan
Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada tahun 2009. Namun ironinya Amerika telah
menceroboh Iraq dan Afghanistan. Malahan Gaza dihujani bom dan peluru ketika
piala dunia 2014 sedang berlangsung di Brazil dengan sokongan penuh Amerika yang
menyalurkan bantuan kewangan dan senjata kepada Israel seperti kelengkapan ‘Iron Dome’ Israel yang dibiayai oleh
Amerika dengan belanja melebihi USD225
juta. Hingga kini dilaporkan ribuan
rakyat Gaza dan Syria telah terkorban dan tercedera. Walaupun negara-negara ini
mengutuk tindakan kententeraan namun hakikatnya mereka yang membekalkan senjata
kepada kumpulan-kumpulan bersenjata. Rusia merupakan pembekal senjata dan rakan
dagang utama Syria dalam membekalkan pelbagai jenis senjata kepada rejim
al-Assad. Begitu juga di Bahrain, dalam keghairahan media barat mengutuk Iran
untuk membangunkan tenaga nuklearnya, Amerika dalam masa yang sama telah
membekalkan senjata yang besar jumlahnya kepada Bahrain. Malahan laporan akhbar tempatan menyatakan
peluru yang digunakan oleh militan Islamic State (IS) di syria adalah buatan
negara China. Apa yang paling dikesali adalah hakikat negara pengeluar senjata
utama dunia adalah merupakan ahli tetap majlis keselamatan PBB iaitu Amerika Syarikat, Russia, German, Perancis dan China. Negara yang diamanahkan oleh
dunia untuk menjaga kestabilan dan keanaman dunia inilah yang mencetuskan
peperangan dan konflik yang tiada berkesudahan.
Isu perdagangan senjata sama ada secara sah
atau haram merupakan perkara yang perlu diberi perhatian oleh semua pihak. Di
antara punca keganasan dan pembunuhan serta penindasan yang berlaku di seluruh
dunia adalah berpunca daripada perdagangan senjata yang tidak beretika.
Negara-negara kaya menjadi pengeluar senjata dan menikmati keuntungan yang
berlipat ganda melalui penjualan senjata terutamanya kepada negara-negara
membangun dan dunia ketiga. Hasil negara yang sepatutnya digunakan untuk tujuan
pembangunan terpaksa digadaikan untuk tujuan pembelian senjata atas nama
keselamatan. Peluru dan bom tidak mengenal mangsa, sasaran dikunci ke atas
sesiapa sahaja yang membidik melalui paparan skrin komputer. Mustahil untuk mengajar peluru dan bom supaya
mengenal siapa musuh dan siapa yang baik. Namun tidak mustahil untuk mengajar
manusia agar dapat membezakan mana yang baik dan mana yang buruk. Paksinya
adalah agama, semua agama mengajak manusia ke arah kebaikan. Jika pegangan
agama lemah, maka makin ramailah manusia yang akan mati di tangan mereka yang
berpegang kepada hukum rimba. Memetik kata-kata Nicholas Cage dalam filem “lord
of War”, sebuah naskhah filem perdagangan senjata yang diambil dari kisah
benar. Beliau berkata “ You know who’s going to inherit the earth?
Arms dealers, because everyone is too busy killing each other. Thats the secret
of survival, never go to war especiall with yourself” .
No comments:
Post a Comment