Tuesday, 25 August 2015

MENJENAMAKAN SEMULA PROTON

Proton Holdings Bhd (PROTON) mengumumkan pelantikan Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai pengerusi barunya berkuatkuasa 16 Mei lalu. Beliau yang sebelum ini menjadi penasihat kepada Kumpulan PROTON sejak tahun 2003 turut dinamakan Pengerusi Group Lotus plc (LOTUS). Ketua Pegawai Eksekutif PROTON, Datuk Abdul Harith Abdullah berkata, kesediaan Tun Mahathir memegang jawatan itu membuktikan Kesungguhannya untuk melihat pengeluar kereta nasional itu berjaya (Bernama, 2014). Perlantikan tersebut membuktikan DRB-Hicom selaku pemilik Proton, bersunguh-sungguh dan serius untuk memulihkan dan menyusun semula jenama Proton dan anak syarikatnya Lotus supaya menjadi sebuah syarikat automatif bertaraf dunia. Umum mengetahui Tun Dr Mahathir merupakan arkitek di sebalik penubuhan Proton pada awal 1980 an dahulu. Kesudian Tun Matahir untuk memegang jawatan yang tidak pernah dipegangnya sejak penubuhan Proton pada tahun 1983 membuktikan beliau mempunyai visi dan misi yang ingin dilaksanakan selaku pengasas Proton. Konsistensi Tun dalam Proton tidak pernah susut, malahan beliau merupakan individu yang sentiasa teguh dan lantang bersuara dalam melindungi kepentingan Proton di Malaysia.
Mungkin ramai yang tidak tahu idea penubuhan syarikat Kereta Nasional ini sudah bermula  sejak tahun 1964 sewaktu lawatan Tun Mahathir ke New York sebagai anggota delegasi Majlis Belia Malaysia ke Perhimpunan Belia Sedunia. Beliau berkata sewaktu pesawat yang dinaiki beliau hendak mendarat di lapangan terbang beliau melihat melalui cermin kapal terbang deretan dan lautan kereta di jalanraya sekeliling lapangan terbang seolah-olah satu pertiga rakyat Amerika Syarikat berada di dalam kereta pada satu-satu masa.  Bagi beliau pemandangan luar biasa tersebut merupakan lambang kemewahan dan kekayaan dan beliau mengimpikan suasana yang sama turut berlaku di Malaysia satu hari nanti. 

Hari ini, impian beliau telah terlaksana walaupun pada awal-nya ramai yang pesimik dan sinis terhadap idea penubuhan kereta nasional tersebut.  Beliau merupakan individu yang sangat berminat dengan kejuruteraan automotif dan aviasi walaupun beliau merupakan seorang Doktor bertauliah yang diamanahkan untuk menjadi nakhoda Malaysia, maka tidak hairanlah banyak program dan projek berkonsepkan automotif dan aviasi diperkenalkan sepanjang pemerintahan beliau.  Oleh kerana minat yang mendalam inilah beliau telah berusaha dengan tekun dan memastikan impian Malaysia untuk memiliki kereta nasional akan tercapai dan dinikmati oleh rakyat Malaysia. hasilnya, Syarikat penegluar kereta nasional pertama Malaysia Perusahaan Otomobil Nasional Berhad (Proton) telah ditubuhkan pada 7 Mei 1983 dengan usahasama dengan dua buah firma Jepun, iaitu Mitsubishi Motors (MMC) dan Mitsubishi Corporation (Mahathir Mohammad, 2011). 

Perjalanan Proton pada awal penubuhannya amat memberangsangkan walaupun ditebak dengan berbagai kelemahan, namun Proton menguasai hampir 80% pasaran automotif tempatan.  Malahan di satu peringkat, Proton telah berjaya mengeluarkan  sehingga 200,000 buah kereta setahun dalam memenuhi permintaan domestik dan antarabangsa. Rekod pengeluran tersebut sudah pastinya memberikan satu gambaran yang jelas di mana jenama Proton pada suatu masa dahulu sangat terkenal dan berjaya memikat sebilangan besar rakyat Malaysia. Penguasaan pasaran tempatan yang kukuh oleh proton telah membantu proton dalam mengumpul dana kewangan bagi merancakkan lagi inovasi dalam proton. Sebagai pelan strategik dalam mengukuhkan jenama proton, sebuah kilang serba moden telah dibina di Tanjung Malim Perak dengan nilai kos pembinaan sebanyak Rm 1.8 billion. Apa yang menariknya pembinaan kilang tersebut tidak memerlukan apa-apa dana pinjaman daripada pihak bank mahupun kerjaan, sebaliknya proton membina kilang tesebut dengan dana sendiri hasil daripada jualan kukuh rangkaian produk keluaran proton.  Kini kilang serba moden tersebut merupakan mercu kepada kejayaan proton dalam industri automotif di Malaysia. Proton boleh berbangga dengan varian produk kereta keluarannya iaitu Saga, Persona, Gen-2, Waja, Satria, Preve, Inspira, Suprima , Exora dan yang terkini hasil usahasama dengan Honda Jepun iatu Perdana Baru ataupun Accordana. Varian kereta ini walaupun mempunyai perbezaan nama namun masih mengekalkan identiti Nasional kerana ia merupakan hasil kerja tangan anak tempatan. Kini proton boleh tersenyum kerana Malaysia merupakan negara islam pertama di dunia yang berjaya mencipta enjin kereta iaitu Campro dan mengeksportnya ke  pasaran asia tenggara dan pasaran eropah. Enjin campro hasil kejuruteraan anak tempatan kini sudah masuk ke generasi ke 4 variannya iaiu Campro, Campro-IAFM, Campro CPS dan Campro Charge Fuel Efficiency (CFE).


Hasil carian imej untuk proton

Proton mempunyai hubungan yang dekat di hati rakyat Malaysia, namun ia bukanlah satu jaminan jenama proton akan terus kukuh di masa akan datang. Proton ditebak berbagai isu terutama isu berkaitan dengan kualiti kereta. Satu masa dahulu kereta-kereta buatan proton sering menjadi bahan jenaka dan kritikan kerana masalah kualiti kereta yang seolah-olah tidak mempunyai jalan penyelesaian walaupun banyak kali aduan telah dibuat. Kini, Proton berada di landasan yang betul dalam menjenamakan semula proton apabila diambil alih sepenuhnya oleh DRB-HICOM pada tahun 2012. Pendekatan yang diambil oleh Proton setelah diambil alih oleh DRB-Hicom pada 2012 adalah memperbaiki perkhidmatan selepas jualan, penstrukturan semula tenaga kerja, meningkatkan kadar temujanji perkhidmatan selepas jualan dan melaksanakan sistem teknologi maklumat bersepadu yang lebih cekap (CARES). Walaupun berbagai pembaharuan telah dibuat bagi meneruskan legasi proton, namun angka jualan memberikan jawapan sebenar. Persatuan Automotif Malaysia melalui kenyataannya menyatakan jumlah jualan Proton di Malaysia untuk tahun 2013 adalah 138,753 unit, dengan jumlah pasaran cuma 21.2 peratus yang menurun dari 22.5 peratus pada 2012 dan 25.9 peratus pada 2010. Sebagai reaksi daripada statistic jualan tersebut, bekas pegerusi proton menyatakan kekurangan sokongan daripada pembeli merupakan punca utama kepada kejatuhan angka jualan kereta-kereta proton. Hakikatnya jika ingin disimpulkan ada banyak punca mengapa dan kenapa jualan kereta proton merudum saban tahun,  antaranya kelewatan memperkenalkan model baharu, persaingan hebat daripada pengeluar lain yang pantas mengeluarkan model baharu, faktor harga, rekabentuk, ketahanan enjin, kualiti produk, persepsi, kelulusan institusi kewangan dan faktor lain.
Kenyataan bekas pengerusi proton yang menyatakan keuntungan varian Saga SV kurang dari Rm 500 amat mengejutkan, ini memberikan satu gambaran bahawa jika proton berterusan dalam menghasilkan kereta mampu milik dengan margin keuntungan yang sedikit sudah pastinya proton akan mengalami kerugian dan seterusnya gulung tikar. Masalah utama yang dihadapi oleh proton dalam menghasilkan kereta bermutu dan berkualiti adalah “economy of scale” ataupun skala ekonomi. Pasaran proton adalah terhad iaitu di dalam negara dan pasaran eksportnya kecil tidak seperti gergasi automotif lain seperti Kia, Honda, Toyota dan lain-lain. Proton tidak mampu untuk memanfaatkan skala ekonomi dengan membeli komponen dengan harga yang lebih mahal kerana tidak mempunyai kapasiti untuk membeli komponen secara pukal dan seterusnya menaikkan kos pemasangan kereta. Senario berbeza dialami oleh syarikat automotif gergasi dunia seperti KIA Motors Corp di mana jualan keseluruhan kereta penumpang KIA pada tahun 2013 adalah sebanyak 2,746,643. Unit terjual di seluruh dunia di mana keuntungan yang dijana adalah melalui pasaran eksport luar Korea seperti China dan Eropah. Malah Kia juga menyatakan setakat bulan Januari 2014 sahaja jualan global telah menunjukkan peningkatan sebanyak 2.6% berbanding tahun sebelumnya di mana sejumlah 216,606 kenderaan telah terjual di seluruh dunia (The Star, 2014). Ia jauh meninggalkan proton yang hanya mencatat angka jualan sebanyak 138,753 unit pada tahun 2013. Dengan jumlah penjualan kereta yang amat besar ini maka  tidak hairanlah KIA mampu untuk menjana margin keuntungan yang besar sekaligus ia dapat mengukuhkan kewangan syarikat dengan aliran tunai yang banyak. Faktor kewangan yang kukuh ini membolehkan KIA melabur dan merekabentuk kereta baru yang berkualiti dan menepati citarasa pengguna di seluruh dunia. Menurut Tun Dr Mahathir, untuk membangunkan sebuah kereta sahaja kosnya menelan sehingga Rm 500 juta bahkan lebih lagi. Kos tersebut sudah hampir mencecah kos pembinaan jambatan pulau pinang yang pertama di Malaysia iaitu Rm 800 juta. Sudah pastinya dengan nilai pelaburan yang besar itu memerlukan aliran tunai dan prestasi kewangan syarikat yang kukuh bagi menjamin sasaran pulangan pelaburan (R.O.I) tercapai.
Sebagai langkah pemulihan, Proton telah merangka pelan strategik dengan melancarkan model Proton GSC (Global Small car Concept). Proton GSC ini adalah kereta Mitsubishi GSC yang disolek dengan wajah Proton, ia menyamai konsep proton Inspira yang pada asalnya adalah Mitsubishi Lancer yang disolek menjadi sebuah kereta proton. Laporan akhbar tempatan juga menyatakan Proton sedang berusaha mencari dana daripada pihak kerajaan dan GLC  bagi menampung perbelanjaan pelan transformasi dalam menghasilkan model-model baharu termasuklah kereta elektrik (Berita Harian, 2014). Di samping itu juga proton juga telah menetapkan sasaran sebagai proses pemulihan iaitu sasaran jualan 350,000 unit menjelang tahun 2018. Dana tersebut amat penting dalam menjayakan proses transformasi yang dicanang oleh pihak proton. Tambahan pula Dasar Automotif Nasional (NAP) yang telah disemak semula oleh pihak kerajaan telah menjanjikan pengurangan harga kereta secara berperingkat-peringkat antara 20 peratus kepada 30 peratus dalam tempoh lima tahun akan datang yangs sudah pastinya akan memberikan tekanan kepada semua pemain industri kereta termasuk proton dalam menghasilkan model-model baru dengan harga yang kompetitif tetapi tetap menjana keuntungan. Dalam persaingan merebut pasaran ini, sudah pastinya syarikat automotif gergasi seperti Honda, Toyota, Kia, Hyundai dan lain-lain mempunyai kelebihan dari segi kewangan dan kepakaran dalam menghasilkan kereta yang lebih bermutu dan moden mengikut kemahuan pengguna. Ditambah pula dengan pasaran mereka yang besar seperti di negara China dan benua Eropah, sudah pastinya keuntungan pelaburan itu bukan sesuatu yang mustahil untuk dicapai.
Apa yang boleh dilakukan oleh proton dalam menghasilkan model-model baharu adalah dengan menjalankan kerjasama dan usahasama strategic dengan syarikat automotif gergasi luar seperti yang telah diamalkan sebelum ini. Kerjasama strategik dengan pihak luar bukanlah sesuatu perkara yang baru, malahan pada awal penubuhan proton telah mendapat banyak manfaat daripada hasil kerjasama dengan Mitsubishi Motors (MMC) dan Mitsubishi Corporation. Hasil kerjasama  yang berjalan untuk sekian masa tersebut telah membantu dalam proses pemindahan teknologi dan pengetahuan antara jurutera Jepun dan jurutera anak tempatan. Kini, jurutera Proton telah menguasai semua peringkat kemahiran  daripada mereka bentuk hinggalah kepada membuat prototaip, menguji dan mengeluarkan kereta secara besar-besaran. Di samping itu, Proton juga telah membeli firma Lotus Engineering yang berpangkalan di United Kingdom yang masyhur dengan teknologi enjinnya. Hasilnya ia telah membantu proton dalam menghasilkan dan membangunkan enjin proton sendiri, di samping itu teknologi pemanduan Lotus juga telah dibangunkan pada semua generasi kereta Proton ketika ini. Pada Oktober 2012, Proton memeterai kerjasama dengan Honda Motor Company Ltd untuk meneroka peluang-peluang kerjasama dalam penambahbaikan teknologi, barisan produk baharu serta perkongsian platform dan kemudahan. Walaupun usahasama ini seolah-olah memberikan satu gambaran yang pemain automotif ini ingin menggunakan jalan mudah dengan mengambil model pesaing mereka dan disolek agar menjadi kereta nasional, namun itulah hakikat dan realiti perniagaan global yang dicanang oleh pihak barat. Peluang untuk bekerjasama dengan syarikat gergasi ini seharusnya digunakan dengan sebaik mungkin oleh pihak proton dalam menjayakan pelan transformasi yang dirangka. Mungkin Proton boleh mempertimbangkan untuk menjalinkan kerjasama dengan firma automotif di Eropah dan barat seperti Renault yang terkenal dengan prestasi kereta formula satu nya.

Proton bukanlah syarikat automotif tunggal yang menghadapi kemelut perniagaan ini, malahan ia melanda banyak syarikat automotif di seluruh dunia. Kemelut dalam industri automotif global telah menyaksikan syarikat Automotif Amerika, Chrysler dan syarikat Itali, Fiat telah bersetuju untuk bergabung bagi membantu perniagaan masing-masing yang terus merudum akibat persaingan global. Malahan General Motors (GM) yang dikenali sebagai salah sebuah syarikat gergasi automotif disegani  hampir muflis tetapi diselamatkan oleh Presiden Amerika Barrack Obama melalui kaedah “bail out”. Bekas Pengarah Urusan Proton, Datuk Syed Zainal Abidin Syed Mohd. Tahir dipetik oleh sebuah akhbar berbahasa Inggeris pernah mencadangkan kesemua kereta berstatus nasional di Malaysia perlu disatukan di bawah satu payung entiti. Cadangan tersebut walaupun bernas namun ia telah menimbulkan semula polemik yang pernah dibangkitkan lama dahulu. Dalam konteks penggabungan, secara terorinya industri automotif nasional akan mendapat lebih banyak manfaat menerusi penggabungan Proton dengan Perodua, Naza dan Inokom. Tetapi  masalah dan halanganya ialah di mana  Proton sudah tidak menjalinkan sebarang kerjasama dengan Mitsubishi Motors Co, Perodua kekal teguh dengan Daihatsu Motor dan tidak kelihatan Naza akan melepaskan Peugeot dan Kia  atau Inokom akan meninggalkan Hyundai.

Hasil carian imej untuk proton
Dalam usaha untuk menggabungkan kesemua pemain automotif tempatan ini sudah pastinya identiti nasional harus dikekalkan tanpa sebarang kerjasama daripada pihak luar. Namun hakikatnya, Perodua dilihat bergantung kepada model Daihatsu semata-mata dalam penghasilan model baru seperti  Daihatsu Sirion yang ditukar nama menjadi Myvi. Perodua memiliki skala ekonomi Daihatsu dan boleh memilih produk yang sesuai untuk pasaran Malaysia. Menurut penulis blog automotif popular, Paul Tan kepada Utusan Malaysia. "Perodua tidak memerlukan Proton." Malah Paul juga tidak melihat wujudnya sinergi dalam tempoh jangka pendek dan pertengahan bagi penggabungan Proton dan Perodua boleh mendatangkan hasil. "Mungkin sinergi boleh dihasilkan pada bahagian pembekalan alat ganti dan kapasiti pengeluaran”.Secara umunya penggabungan merupakan satu langkah terbaik dalam menghadapi kemelut ekonomi global yang tidak menentu sekarang ini, seperi apa yang sedang berlaku kepada CIMB Group, MBSB dan RHB Bank yang berada dalam proses penggabungan dan bakal menjadi konglomerat kewangan terbesar di Malaysia sekiranya segala perancangan berjalan dengan lancar. Begitu juga seandainya Proton dan Perodua bergabung dan jika dikira daripada segi jumlah penguasaan pasaran automotif domestik masing-masing, ia dengan mudah menguasai hampir 60 peratus pasaran tempatan setahun. Dalam erti kata lain, kedua-duanya akan menikmati kelebihan daripada segi pilihan tawaran produk yang lebih banyak, skala ekonomi lebih besar dan tenaga pakar dan teknologi sedia ada.


 Penubuhan dan kejayaan Proton merupakan satu signifikan kepada usaha Tun Dr Mahathir yang mahu melihat bangsa Malaysia mampu untuk melakukan apa yang Jepun dan korea telah lakukan. Ia bukanlah satu retorik yang menyatakan kita perlu tiru apa yang bangsa dan negara lain lakukan dan laksanakan dalam acuan kita. Jepun dan Korea pada asasnya juga belajar dan meniru apa yang orang Eropah telah buat dalam setiap aspek kehidupan. Bermula dengan penciptaan semikonduktor, mikrocip computer, enjin kereta kini Jepun dan Korea telah menjadi negara maju bahkan lebih maju dari negara –negara Eropah. Sebut sahaja produk-produk yang terkenal bermula dari perkakasan rumah sehinggalah automotif, semuanya berasal dari negara matahari terbit itu. Kejayaan mereka datang dari usaha keras dan konsistensi budaya yang diamalkan oleh nenek moyang mereka lagi. Kini mereka memiliki segalanya, mereka memiliki produk untuk diniagakan dan didagangkan. Oleh itu, Malaysia harus belajar sesuatu dari mereka, jika Honda berusaha keras untuk berjaya dalam tempoh 60 tahun. Maka Proton juga memerlukan lebih masa dalam usaha untuk mencapai seperti apa yang Honda telah capai. Proton harus dilindungi oleh pihak kerajaan sebagai projek nasional, malahan pihak kerajaan perlu membantu dalam segenap aspek. Seharusnya rakyat Malaysia berbangga dengan pencapaian Proton dalam tempoh 30 tahun pernubuhannya. Jika ingin dibandingkan dengan negara-negara islam lain di timur tengah yang kaya dengan hasil minyak nya, Malaysia lebih maju kehadapan kerana mereka tidak memiliki apa-apa produk yang mampu menembusi pasaran Eropah seperti apa yang proton telah lakukan.

No comments:

Post a Comment