Tuesday, 25 August 2015

MENJENAMAKAN SEMULA PROTON

Proton Holdings Bhd (PROTON) mengumumkan pelantikan Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai pengerusi barunya berkuatkuasa 16 Mei lalu. Beliau yang sebelum ini menjadi penasihat kepada Kumpulan PROTON sejak tahun 2003 turut dinamakan Pengerusi Group Lotus plc (LOTUS). Ketua Pegawai Eksekutif PROTON, Datuk Abdul Harith Abdullah berkata, kesediaan Tun Mahathir memegang jawatan itu membuktikan Kesungguhannya untuk melihat pengeluar kereta nasional itu berjaya (Bernama, 2014). Perlantikan tersebut membuktikan DRB-Hicom selaku pemilik Proton, bersunguh-sungguh dan serius untuk memulihkan dan menyusun semula jenama Proton dan anak syarikatnya Lotus supaya menjadi sebuah syarikat automatif bertaraf dunia. Umum mengetahui Tun Dr Mahathir merupakan arkitek di sebalik penubuhan Proton pada awal 1980 an dahulu. Kesudian Tun Matahir untuk memegang jawatan yang tidak pernah dipegangnya sejak penubuhan Proton pada tahun 1983 membuktikan beliau mempunyai visi dan misi yang ingin dilaksanakan selaku pengasas Proton. Konsistensi Tun dalam Proton tidak pernah susut, malahan beliau merupakan individu yang sentiasa teguh dan lantang bersuara dalam melindungi kepentingan Proton di Malaysia.
Mungkin ramai yang tidak tahu idea penubuhan syarikat Kereta Nasional ini sudah bermula  sejak tahun 1964 sewaktu lawatan Tun Mahathir ke New York sebagai anggota delegasi Majlis Belia Malaysia ke Perhimpunan Belia Sedunia. Beliau berkata sewaktu pesawat yang dinaiki beliau hendak mendarat di lapangan terbang beliau melihat melalui cermin kapal terbang deretan dan lautan kereta di jalanraya sekeliling lapangan terbang seolah-olah satu pertiga rakyat Amerika Syarikat berada di dalam kereta pada satu-satu masa.  Bagi beliau pemandangan luar biasa tersebut merupakan lambang kemewahan dan kekayaan dan beliau mengimpikan suasana yang sama turut berlaku di Malaysia satu hari nanti. 

Hari ini, impian beliau telah terlaksana walaupun pada awal-nya ramai yang pesimik dan sinis terhadap idea penubuhan kereta nasional tersebut.  Beliau merupakan individu yang sangat berminat dengan kejuruteraan automotif dan aviasi walaupun beliau merupakan seorang Doktor bertauliah yang diamanahkan untuk menjadi nakhoda Malaysia, maka tidak hairanlah banyak program dan projek berkonsepkan automotif dan aviasi diperkenalkan sepanjang pemerintahan beliau.  Oleh kerana minat yang mendalam inilah beliau telah berusaha dengan tekun dan memastikan impian Malaysia untuk memiliki kereta nasional akan tercapai dan dinikmati oleh rakyat Malaysia. hasilnya, Syarikat penegluar kereta nasional pertama Malaysia Perusahaan Otomobil Nasional Berhad (Proton) telah ditubuhkan pada 7 Mei 1983 dengan usahasama dengan dua buah firma Jepun, iaitu Mitsubishi Motors (MMC) dan Mitsubishi Corporation (Mahathir Mohammad, 2011). 

Perjalanan Proton pada awal penubuhannya amat memberangsangkan walaupun ditebak dengan berbagai kelemahan, namun Proton menguasai hampir 80% pasaran automotif tempatan.  Malahan di satu peringkat, Proton telah berjaya mengeluarkan  sehingga 200,000 buah kereta setahun dalam memenuhi permintaan domestik dan antarabangsa. Rekod pengeluran tersebut sudah pastinya memberikan satu gambaran yang jelas di mana jenama Proton pada suatu masa dahulu sangat terkenal dan berjaya memikat sebilangan besar rakyat Malaysia. Penguasaan pasaran tempatan yang kukuh oleh proton telah membantu proton dalam mengumpul dana kewangan bagi merancakkan lagi inovasi dalam proton. Sebagai pelan strategik dalam mengukuhkan jenama proton, sebuah kilang serba moden telah dibina di Tanjung Malim Perak dengan nilai kos pembinaan sebanyak Rm 1.8 billion. Apa yang menariknya pembinaan kilang tersebut tidak memerlukan apa-apa dana pinjaman daripada pihak bank mahupun kerjaan, sebaliknya proton membina kilang tesebut dengan dana sendiri hasil daripada jualan kukuh rangkaian produk keluaran proton.  Kini kilang serba moden tersebut merupakan mercu kepada kejayaan proton dalam industri automotif di Malaysia. Proton boleh berbangga dengan varian produk kereta keluarannya iaitu Saga, Persona, Gen-2, Waja, Satria, Preve, Inspira, Suprima , Exora dan yang terkini hasil usahasama dengan Honda Jepun iatu Perdana Baru ataupun Accordana. Varian kereta ini walaupun mempunyai perbezaan nama namun masih mengekalkan identiti Nasional kerana ia merupakan hasil kerja tangan anak tempatan. Kini proton boleh tersenyum kerana Malaysia merupakan negara islam pertama di dunia yang berjaya mencipta enjin kereta iaitu Campro dan mengeksportnya ke  pasaran asia tenggara dan pasaran eropah. Enjin campro hasil kejuruteraan anak tempatan kini sudah masuk ke generasi ke 4 variannya iaiu Campro, Campro-IAFM, Campro CPS dan Campro Charge Fuel Efficiency (CFE).


Hasil carian imej untuk proton

Proton mempunyai hubungan yang dekat di hati rakyat Malaysia, namun ia bukanlah satu jaminan jenama proton akan terus kukuh di masa akan datang. Proton ditebak berbagai isu terutama isu berkaitan dengan kualiti kereta. Satu masa dahulu kereta-kereta buatan proton sering menjadi bahan jenaka dan kritikan kerana masalah kualiti kereta yang seolah-olah tidak mempunyai jalan penyelesaian walaupun banyak kali aduan telah dibuat. Kini, Proton berada di landasan yang betul dalam menjenamakan semula proton apabila diambil alih sepenuhnya oleh DRB-HICOM pada tahun 2012. Pendekatan yang diambil oleh Proton setelah diambil alih oleh DRB-Hicom pada 2012 adalah memperbaiki perkhidmatan selepas jualan, penstrukturan semula tenaga kerja, meningkatkan kadar temujanji perkhidmatan selepas jualan dan melaksanakan sistem teknologi maklumat bersepadu yang lebih cekap (CARES). Walaupun berbagai pembaharuan telah dibuat bagi meneruskan legasi proton, namun angka jualan memberikan jawapan sebenar. Persatuan Automotif Malaysia melalui kenyataannya menyatakan jumlah jualan Proton di Malaysia untuk tahun 2013 adalah 138,753 unit, dengan jumlah pasaran cuma 21.2 peratus yang menurun dari 22.5 peratus pada 2012 dan 25.9 peratus pada 2010. Sebagai reaksi daripada statistic jualan tersebut, bekas pegerusi proton menyatakan kekurangan sokongan daripada pembeli merupakan punca utama kepada kejatuhan angka jualan kereta-kereta proton. Hakikatnya jika ingin disimpulkan ada banyak punca mengapa dan kenapa jualan kereta proton merudum saban tahun,  antaranya kelewatan memperkenalkan model baharu, persaingan hebat daripada pengeluar lain yang pantas mengeluarkan model baharu, faktor harga, rekabentuk, ketahanan enjin, kualiti produk, persepsi, kelulusan institusi kewangan dan faktor lain.
Kenyataan bekas pengerusi proton yang menyatakan keuntungan varian Saga SV kurang dari Rm 500 amat mengejutkan, ini memberikan satu gambaran bahawa jika proton berterusan dalam menghasilkan kereta mampu milik dengan margin keuntungan yang sedikit sudah pastinya proton akan mengalami kerugian dan seterusnya gulung tikar. Masalah utama yang dihadapi oleh proton dalam menghasilkan kereta bermutu dan berkualiti adalah “economy of scale” ataupun skala ekonomi. Pasaran proton adalah terhad iaitu di dalam negara dan pasaran eksportnya kecil tidak seperti gergasi automotif lain seperti Kia, Honda, Toyota dan lain-lain. Proton tidak mampu untuk memanfaatkan skala ekonomi dengan membeli komponen dengan harga yang lebih mahal kerana tidak mempunyai kapasiti untuk membeli komponen secara pukal dan seterusnya menaikkan kos pemasangan kereta. Senario berbeza dialami oleh syarikat automotif gergasi dunia seperti KIA Motors Corp di mana jualan keseluruhan kereta penumpang KIA pada tahun 2013 adalah sebanyak 2,746,643. Unit terjual di seluruh dunia di mana keuntungan yang dijana adalah melalui pasaran eksport luar Korea seperti China dan Eropah. Malah Kia juga menyatakan setakat bulan Januari 2014 sahaja jualan global telah menunjukkan peningkatan sebanyak 2.6% berbanding tahun sebelumnya di mana sejumlah 216,606 kenderaan telah terjual di seluruh dunia (The Star, 2014). Ia jauh meninggalkan proton yang hanya mencatat angka jualan sebanyak 138,753 unit pada tahun 2013. Dengan jumlah penjualan kereta yang amat besar ini maka  tidak hairanlah KIA mampu untuk menjana margin keuntungan yang besar sekaligus ia dapat mengukuhkan kewangan syarikat dengan aliran tunai yang banyak. Faktor kewangan yang kukuh ini membolehkan KIA melabur dan merekabentuk kereta baru yang berkualiti dan menepati citarasa pengguna di seluruh dunia. Menurut Tun Dr Mahathir, untuk membangunkan sebuah kereta sahaja kosnya menelan sehingga Rm 500 juta bahkan lebih lagi. Kos tersebut sudah hampir mencecah kos pembinaan jambatan pulau pinang yang pertama di Malaysia iaitu Rm 800 juta. Sudah pastinya dengan nilai pelaburan yang besar itu memerlukan aliran tunai dan prestasi kewangan syarikat yang kukuh bagi menjamin sasaran pulangan pelaburan (R.O.I) tercapai.
Sebagai langkah pemulihan, Proton telah merangka pelan strategik dengan melancarkan model Proton GSC (Global Small car Concept). Proton GSC ini adalah kereta Mitsubishi GSC yang disolek dengan wajah Proton, ia menyamai konsep proton Inspira yang pada asalnya adalah Mitsubishi Lancer yang disolek menjadi sebuah kereta proton. Laporan akhbar tempatan juga menyatakan Proton sedang berusaha mencari dana daripada pihak kerajaan dan GLC  bagi menampung perbelanjaan pelan transformasi dalam menghasilkan model-model baharu termasuklah kereta elektrik (Berita Harian, 2014). Di samping itu juga proton juga telah menetapkan sasaran sebagai proses pemulihan iaitu sasaran jualan 350,000 unit menjelang tahun 2018. Dana tersebut amat penting dalam menjayakan proses transformasi yang dicanang oleh pihak proton. Tambahan pula Dasar Automotif Nasional (NAP) yang telah disemak semula oleh pihak kerajaan telah menjanjikan pengurangan harga kereta secara berperingkat-peringkat antara 20 peratus kepada 30 peratus dalam tempoh lima tahun akan datang yangs sudah pastinya akan memberikan tekanan kepada semua pemain industri kereta termasuk proton dalam menghasilkan model-model baru dengan harga yang kompetitif tetapi tetap menjana keuntungan. Dalam persaingan merebut pasaran ini, sudah pastinya syarikat automotif gergasi seperti Honda, Toyota, Kia, Hyundai dan lain-lain mempunyai kelebihan dari segi kewangan dan kepakaran dalam menghasilkan kereta yang lebih bermutu dan moden mengikut kemahuan pengguna. Ditambah pula dengan pasaran mereka yang besar seperti di negara China dan benua Eropah, sudah pastinya keuntungan pelaburan itu bukan sesuatu yang mustahil untuk dicapai.
Apa yang boleh dilakukan oleh proton dalam menghasilkan model-model baharu adalah dengan menjalankan kerjasama dan usahasama strategic dengan syarikat automotif gergasi luar seperti yang telah diamalkan sebelum ini. Kerjasama strategik dengan pihak luar bukanlah sesuatu perkara yang baru, malahan pada awal penubuhan proton telah mendapat banyak manfaat daripada hasil kerjasama dengan Mitsubishi Motors (MMC) dan Mitsubishi Corporation. Hasil kerjasama  yang berjalan untuk sekian masa tersebut telah membantu dalam proses pemindahan teknologi dan pengetahuan antara jurutera Jepun dan jurutera anak tempatan. Kini, jurutera Proton telah menguasai semua peringkat kemahiran  daripada mereka bentuk hinggalah kepada membuat prototaip, menguji dan mengeluarkan kereta secara besar-besaran. Di samping itu, Proton juga telah membeli firma Lotus Engineering yang berpangkalan di United Kingdom yang masyhur dengan teknologi enjinnya. Hasilnya ia telah membantu proton dalam menghasilkan dan membangunkan enjin proton sendiri, di samping itu teknologi pemanduan Lotus juga telah dibangunkan pada semua generasi kereta Proton ketika ini. Pada Oktober 2012, Proton memeterai kerjasama dengan Honda Motor Company Ltd untuk meneroka peluang-peluang kerjasama dalam penambahbaikan teknologi, barisan produk baharu serta perkongsian platform dan kemudahan. Walaupun usahasama ini seolah-olah memberikan satu gambaran yang pemain automotif ini ingin menggunakan jalan mudah dengan mengambil model pesaing mereka dan disolek agar menjadi kereta nasional, namun itulah hakikat dan realiti perniagaan global yang dicanang oleh pihak barat. Peluang untuk bekerjasama dengan syarikat gergasi ini seharusnya digunakan dengan sebaik mungkin oleh pihak proton dalam menjayakan pelan transformasi yang dirangka. Mungkin Proton boleh mempertimbangkan untuk menjalinkan kerjasama dengan firma automotif di Eropah dan barat seperti Renault yang terkenal dengan prestasi kereta formula satu nya.

Proton bukanlah syarikat automotif tunggal yang menghadapi kemelut perniagaan ini, malahan ia melanda banyak syarikat automotif di seluruh dunia. Kemelut dalam industri automotif global telah menyaksikan syarikat Automotif Amerika, Chrysler dan syarikat Itali, Fiat telah bersetuju untuk bergabung bagi membantu perniagaan masing-masing yang terus merudum akibat persaingan global. Malahan General Motors (GM) yang dikenali sebagai salah sebuah syarikat gergasi automotif disegani  hampir muflis tetapi diselamatkan oleh Presiden Amerika Barrack Obama melalui kaedah “bail out”. Bekas Pengarah Urusan Proton, Datuk Syed Zainal Abidin Syed Mohd. Tahir dipetik oleh sebuah akhbar berbahasa Inggeris pernah mencadangkan kesemua kereta berstatus nasional di Malaysia perlu disatukan di bawah satu payung entiti. Cadangan tersebut walaupun bernas namun ia telah menimbulkan semula polemik yang pernah dibangkitkan lama dahulu. Dalam konteks penggabungan, secara terorinya industri automotif nasional akan mendapat lebih banyak manfaat menerusi penggabungan Proton dengan Perodua, Naza dan Inokom. Tetapi  masalah dan halanganya ialah di mana  Proton sudah tidak menjalinkan sebarang kerjasama dengan Mitsubishi Motors Co, Perodua kekal teguh dengan Daihatsu Motor dan tidak kelihatan Naza akan melepaskan Peugeot dan Kia  atau Inokom akan meninggalkan Hyundai.

Hasil carian imej untuk proton
Dalam usaha untuk menggabungkan kesemua pemain automotif tempatan ini sudah pastinya identiti nasional harus dikekalkan tanpa sebarang kerjasama daripada pihak luar. Namun hakikatnya, Perodua dilihat bergantung kepada model Daihatsu semata-mata dalam penghasilan model baru seperti  Daihatsu Sirion yang ditukar nama menjadi Myvi. Perodua memiliki skala ekonomi Daihatsu dan boleh memilih produk yang sesuai untuk pasaran Malaysia. Menurut penulis blog automotif popular, Paul Tan kepada Utusan Malaysia. "Perodua tidak memerlukan Proton." Malah Paul juga tidak melihat wujudnya sinergi dalam tempoh jangka pendek dan pertengahan bagi penggabungan Proton dan Perodua boleh mendatangkan hasil. "Mungkin sinergi boleh dihasilkan pada bahagian pembekalan alat ganti dan kapasiti pengeluaran”.Secara umunya penggabungan merupakan satu langkah terbaik dalam menghadapi kemelut ekonomi global yang tidak menentu sekarang ini, seperi apa yang sedang berlaku kepada CIMB Group, MBSB dan RHB Bank yang berada dalam proses penggabungan dan bakal menjadi konglomerat kewangan terbesar di Malaysia sekiranya segala perancangan berjalan dengan lancar. Begitu juga seandainya Proton dan Perodua bergabung dan jika dikira daripada segi jumlah penguasaan pasaran automotif domestik masing-masing, ia dengan mudah menguasai hampir 60 peratus pasaran tempatan setahun. Dalam erti kata lain, kedua-duanya akan menikmati kelebihan daripada segi pilihan tawaran produk yang lebih banyak, skala ekonomi lebih besar dan tenaga pakar dan teknologi sedia ada.


 Penubuhan dan kejayaan Proton merupakan satu signifikan kepada usaha Tun Dr Mahathir yang mahu melihat bangsa Malaysia mampu untuk melakukan apa yang Jepun dan korea telah lakukan. Ia bukanlah satu retorik yang menyatakan kita perlu tiru apa yang bangsa dan negara lain lakukan dan laksanakan dalam acuan kita. Jepun dan Korea pada asasnya juga belajar dan meniru apa yang orang Eropah telah buat dalam setiap aspek kehidupan. Bermula dengan penciptaan semikonduktor, mikrocip computer, enjin kereta kini Jepun dan Korea telah menjadi negara maju bahkan lebih maju dari negara –negara Eropah. Sebut sahaja produk-produk yang terkenal bermula dari perkakasan rumah sehinggalah automotif, semuanya berasal dari negara matahari terbit itu. Kejayaan mereka datang dari usaha keras dan konsistensi budaya yang diamalkan oleh nenek moyang mereka lagi. Kini mereka memiliki segalanya, mereka memiliki produk untuk diniagakan dan didagangkan. Oleh itu, Malaysia harus belajar sesuatu dari mereka, jika Honda berusaha keras untuk berjaya dalam tempoh 60 tahun. Maka Proton juga memerlukan lebih masa dalam usaha untuk mencapai seperti apa yang Honda telah capai. Proton harus dilindungi oleh pihak kerajaan sebagai projek nasional, malahan pihak kerajaan perlu membantu dalam segenap aspek. Seharusnya rakyat Malaysia berbangga dengan pencapaian Proton dalam tempoh 30 tahun pernubuhannya. Jika ingin dibandingkan dengan negara-negara islam lain di timur tengah yang kaya dengan hasil minyak nya, Malaysia lebih maju kehadapan kerana mereka tidak memiliki apa-apa produk yang mampu menembusi pasaran Eropah seperti apa yang proton telah lakukan.





INDUSTRI PERDAGANGAN SENJATA MENJANA EKONOMI?

Dunia telah menyaksikan abad ke-20 merupakan abad yang paling kejam dan sadis dalam sejarah peradaban manusia dengan berlakunya dua peperangan dunia, diikuti lebih 30 tahun perlumbaan senjata, perang teluk, perang Afghanistan, Perang Vietnam, Perang Iran-Iraq, krisis timur tengah, Arab Spring dan sebagainya. Cornell Universiti di Amerika Syarikat melalui Program Penyelidikan Keamanan  telah menganggarkan bahawa seramai 231 juta manusia telah terkorban melalui peperangan dan konflik sepanjang abad ke-20. Di antara faktor utama sejarah tragis manusia ini adalah kesan daripada perdagangan senjata yang dipelopori oleh mereka yang berkuasa. Perdagangan senjata yang sering kali dilihat sebagai langkah memperkuatkan sistem pertahanan dan perbelanjaan persenjataan atas dasar keselamatan sebenarnya hanya mencetuskan konflik dan pertumpahan darah. Dalam erti kata lain, peperangan telah dicipta bukan hanya kerana ideologi tetapi juga berfaktorkan keuntungan. Dunia ketika ini hidup dalam keadaan penuh hipokrasi dan bermuka-muka, di sebalik slogan keamanan global dan hak asasi negara-negara besar masih mempromosi peperangan dan mencipta krisis untuk keuntungan masa hadapan.

Di sebalik slogan keamanan yang dibawa ke setiap pelusuk dunia, hakikatnya peperangan seringkali tercetus yang memaksa manusia untuk menerima doktrin keamanan global yang dipenuhi tipu helah dan muslihat mereka yang berkuasa. Perlumbaan senjata yang berlaku di kalangan negara merdeka memberikan satu isyarat yang jelas bahawa teraju pemerintahan sentiasa menanam sifat curiga dan sangsi kepada kawan mahupun lawan. Status urusniaga penjualan dan pemerdangan senjata api oleh negara pengeluar seringkali diperdebatkan terutamanya dari badan-badan hak asasi manusia seperti amnesty international. Perdagangan senjata api merupakan perniagaan yang korup dan merbahaya kerana ia menyokong krisis dan pembunuhan di serata dunia. Walaupun kebanyakan negara sedar akan hakikat ini namun urusniaga senjata api disokong sepenuhnya oleh pihak kerajaan tanpa kompromi. Negara pengeluar senjata yang terlibat secara langsung dan tidak langsung dalam urusniaga ini tidaklah banyak, namun hakikatnya negara penerima hatta kumpulan militan dan bersenjata adalah berselerak di seluruh dunia merentasi lautan dan benua.

Perlumbaan senjata tidak berlaku di zaman moden sahaja, malahan ia telah berlaku sejak berkurun lamanya di mana tentera Greek mencipta kapal perang ketika berperang dengan Parsi begitu juga tentera Portugese mencipta armada menakhluk Tanah Melayu. Malahan ada sumber menyatakan pejuang tanah melayu telah mencipta banyak senjata moden yang digunakan untuk berperang dengan penjajah. Penciptaan senjata pada asalnya adalah untuk mempertahankan diri dalam konteks mikro dan mempertahankan negara dari pencerobohan bagi konteks makro. Namun demikian, penciptaan senjata telah melangkaui tujuan asal apabila ia diperdagangkan dengan inovasi terkini yang diaplikasi kepada penciptaan senjata moden. Senjata moden yang dicipta ini memerlukan percubaan dan lapangan sasar yang “luas” merentasi subjek, maka peperangan dan krisis direncana sejak penciptaan serbuk letupan oleh mereka yang berkuasa. Daripada penciptaan senjata tajam yang digunakan untuk memotong daging seperti pisau dan tombak, inovasi diteruskan. Bermula dari penggunaan batu akhirnya manusia menguasai ilmu logam dan aloi, natijahnya manusia menggunakan unsur tersebut untuk mencipta pisau dan pedang yang lebih efisien dan mampu digunakan dalam apa jua keadaan seperti peperangan. Inovasi senjata diteruskan lagi dengan penciptaan serbuk letupan dan meriam, sehinggalah era teknologi nuklear di mana Amerika Syarikat telah menggugurkan bom atom ke atas Hiroshima dan Nagasaki yang mengorbankan lebih 200,000.000 nyawa dan mencederakan jutaan yang lain.

Hasil carian imej untuk nuklear

Senjata dan perang tidak dapat dipisahkan, ia ibarat irama dan lagu yang memainkan irama kematian dan kesedihan kepada mangsa-mangsa perang. Namun tangisan yang tiada berlagu ini tidak mampu menghentikan pembunuhan beramai-ramai yang berlaku ketika ini.  Malahan penciptaan senjata dihalalkan dengan alasan untuk melindungi orang ramai dari jenayah dan memepertahankan diri. Hakikatnya penciptaan senjata menjana ekonomi bagi mereka yang berkuasa dan menguntungkan negara yang mengeluarkan senjata. Stockholm International Peace Research Institute (SIPRI) sebuah badan bebas antarabangsa berpengkalan di Sweden yang mengkhusus kepada penyelidikan mengenai perdagangan senjata melaporkan bagi tahun 2013 sahaja jumlah keseluruhan kos pembinaan senjata yang dieksport adalah bernilai 56.60 billion USD di seluruh dunia.  Jumlah itu adalah jumlah disatukan dari dua negara pengeluar senjata utama dunia iaitu Amerika Syarikat dengan nilai dagangan senjata berjumlah 26.9 billion USD melibatkan 56 negara dan negara Russia dengan nilai dagangan bernilai 29.7 billion USD yang melibatkan 16 buah negara. Jumlah yang dinyatakan ini adalah jumlah kos pembangunan senjata sahaja dan  ia tidak termasuk nilai transaksi sebenar yang merangkumi nilai keuntungan penjualan senjata. Dari jumlah tersebut negara yang paling banyak menerima senjata dari Russia adalah Emiriah Arab Bersatu dengan nilai dagangan sebanyak 3,7 bllion USD manakala bagi negara Amerika Syarikat pula adalah negara Turki dengan nilai penjualan senjata sebanyak 2,3 billion USD.  Walaupun angka ini tidak menggambarkan jumlah transaksi yang sebenar namun ia sudah cukup menggerunkan dan memberikan gambaran bahawa peluru dan serbuk peledak ada di mana-mana sahaja. Angka jualan itu juga menunjukkan bahawa negara-negara sanggup membelanjakan sejumlah wang bagi membeli peralatan yang canggih demi apa jua alasan sedangkan kemudahan dan kebajikan rakyat di negara masih terabai.

Umumnya industri senjata ini didominasi oleh sekumpulan kecil syarikat gergasi yang mempunyai ibu pejabat di negara asal namun membina kilang pengeluaran senjata di serata dunia. Praktikalnya mereka membina kilang pengeluaran senjata di negara yang berdekatan dengan negara-negara yang sedang mengalami konflik dan krisis pemerintahan seperti negara di timur tengah dengan alasan kemudahan logistik. Antara syarikat pengeluar senjata ini termasuklah Lockheed Martin (Amerika Syarikat), BAE Systems (Britain), Boeing (Amerika Syarikat), Raytheon (Amerika Syarikat), EADS (Eropah) dan Finmeccanica (Itali).  Syarikat -syarikat ini bertanggungjawab dalam membangunkan sistem persenjataan canggih dan moden seperti jet perang, peluru berpandu, kapal perang, artileri dan kenderaan pengangkut senjata seperti Humvee. Syarikat pengeluar senjata ini pada asasnya tidaklah besar dan gah bedasarkan standard perniagaan antarabangsa namun BAE System, syarikat pengeluar senjata ketiga terbesar di dunia telah di letakkan di kedudukan 398 daripada 500 syarikat perniagaan yang berpengaruh di dunia. Syarikat ini disenaraikan sebagai antara syarikat yang paling berpengaruh di dunia kerana hubungan politiknya yang kukuh. Jaringan hubungan syarikat dengan penggubal polisi dalam negara amatlah penting bagi memastikan polisi dan penguatkuasaan yang dirancang membantu syarikat-syarikat ini untuk terus kukuh dalam persada industri.

Teorinya mudah, apabila menteri ataupun orang penting dalam kerajaan telah berjaya di beli maka segala urusan jual beli senjata dihalalkan atas nama perniagaan dan kemanusiaan. Maka tidak hairanlah pameran dan “bazaar” urusniaga senjata berat diadakan setiap tahun bagi menunjukkan kepada dunia teknologi yang mereka telah bangunkan. Ketika pameran ini diadakan maka banyaklah teknologi persenjataan moden yang akan dipamerkan termasuk senjata yang tidak pernah ditunjukkan kepada dunia sebelum ini. Pameran ini merupakan lubuk kematian bagi mangsa kekejaman krisis, namun lubuk bagi mereka yang berkuasa. Selain pameran senjata ini kuasa besar dunia juga menggunakan pengaruh filem bagi menunjukkan keupayaan teknologi mereka. Sebagai contoh filem pecah panggung Transformers yang selalu memaparkan kecanggihan teknologi senjata Amerika Syarikat dalam semua episodnya. Malahan senjata sulit kapal perang Amerika di teluk parsi dan pengkalan tentera Amerika Syarikat  Diego Garcia yang serba moden di lautan Hindi juga telah ditunjukkan  dalam siri kedua Revenge Of The Fallen, ironinya dunia mengetahui tentang Diego Garcia melalui insiden kehilangan pesawat MH370  awal tahun 2014.

Hasil carian imej untuk ak 47
Persepsi yang selalu menjadi tanggapan umum terhadap persenjataan ialah senjata adalah untuk keselamatan. Bagi negara pengeluar senjata, industri ini dapat menjana ekonomi dan memberi hasil kepada negara termasuk mencipta peluang pekerjaan. Tetapi hakikatnya  sekitar 2,000 orang mati setiap hari akibat dari perdagangan senjata ini. Ia menjana ekonomi negara melalui bayaran keuntungan cukai dan keuntungan transaksi yang diuruskan oleh syarikat pengeluar yang disokong oleh kerajaan. Ia belum termasuk keuntungan perdagangan senjata yang diseludup di pasaran gelap. Walaupun ia menjana “ekonomi” bagi negara pengeluar senjata namun dianalisa, hakikatnya perdagangan senjata ini boleh memberikan implikasi yang buruk dan amat berpotensi untuk mencetuskan konflik serantau. Umpamanya pada 1998, terdapat 11 konflik bersenjata di Afrika yang melibatkan kumpulan yang bermusuhan diantara satu sama lain dan konflik ini berpanjangan sehingga ke hari ini. Dilaporkan antara 1989-1998, Amerika telah memperuntukkan USD227 juta untuk latihan ketenteraan dan senjata bagi tentera-tentera di beberapa negara di Afrika. Daripada jumlah ini sebanyak USD111 juta digunakan untuk peperangan yang berlaku di Congo, Angola, Burundi, Chad Namibia, Rwanda, Sudan, Uganda dan Zimbabwe

Selain itu, peruntukan perbelanjaan untuk persenjataan yang berlebihan akan menjejaskan agenda pembangunan sesebuah negara. Menurut Laporan PBB melaporkan bahawa perbelanjaan senjata terutamanya di negara dunia ketiga dan membangun menyebabkan kekayaan negara tidak dapat disalurkan kepada pembangunan sosial. PBB merekodkan bahawa lebih 1 bilion penduduk hidup di bawah paras kemiskinan iaitu pendapatan kurang daripada USD1 sehari sedangkan USD184 setahun diperuntukkan bagi perbelanjaan senjata bagi setiap individu di muka bumi ini (Dr Zulkifli Hasan). Perkembangan perbelanjaan senjata yang berlebihan untuk tujuan keselamatan juga mengakibatkan peruntukan yang sepatutnya disalurkan kepada sektor pembangunan dan kebajikan tidak dapat dimanfaatkan. Sebagai contoh, harga bagi 30 buat jet Sukhoi-30 MKI buatan Rusia ialah USD1.8 bilion. Peruntukan sebanyak ini sebenarnya boleh disalurkan untuk membiayai pembinaan hospital-hospital dan klinik kerajaan bagi memantapkan sektor kesihatan awam. Manakala, Harga bagi 310 kereta kebal T-90S buatan Russia ialah USD600 juta dan sekiranya wang ini digunakan untuk tujuan pendidikan ia boleh dibelanjakan untuk membiayai pembinaan sekolah-sekolah dan universiti untuk pembangunan modal insan. Fakta dan angka ini menunjukkan betapa rakusnya manusia terhadap kuasa hingga sanggup mengenepikan keperluan yang lebih mendesak seperti kesihatan, pendidikan dan pembangunan sosio ekonomi masyarakat. Begitu juga dengan peningkatan indeks rasuah  di mana perdagangan senjata sering melibatkan pihak tengah, tidak telus, bersifat rahsia dan sangat berpotensi menyumbang ke arah amalan rasuah. Dilaporkan bahawa terdapat lebih 50 peratus tuduhan rasuah yang berlaku di seluruh dunia melibatkan perdagangan senjata sahaja (Dr Zulkifli Hasan).

 Hasil carian imej untuk tank

Apa yang menyedihkan, negara-negara Islam merupakan di antara pelanggan tetap dan pengguna terbesar senjata di dunia. Arab Saudi, Bahrain, UAE, termasuk negara-negara miskin seperti Pakistan, Syria, Mesir dan Yaman merupakan negara yang memperuntukkan sejumlah wang bagi perbelanjaan senjata berat dan ringan. Alasan yang sering diberikan atas pembelian senjata ini ialah atas faktor keselamatan. Ada juga yang memberikan justifikasi keselamatan dan ancaman Israel, konflik sempadan dan keperluan pertahanan negara. Alasan dan rasional pembelian senjata ini mungkin signifikan berikutan dengan krisis militan yang berlaku di timur tengah seperti isu kumpulan militan Islamic State (IS) yang sedang berkuasa ketika ini. Sebagai contoh pada tahun 2014 Qatar  telah membuat pembelian bersejarah berjumlah USD 11 billion daripada Amerika Syarikat. Pembelian itu meliputi aset ketenteraan canggih milik negara uncle sam iaitu Misil Patriot dan Helikopter perang Apache. Ia merupakan pembelian senjata terbesar bagi Amerika pada tahun 2014 ini berbanding dengan rekod sebelumnya. Pembelian tersebut dibuat atas justifikasi ancaman keselamatan militan dan juga krisis “Arab Spring” yang melanda timur tengah ketika ini. Angka ini tidak terhenti setakat ini, Jane Defence Weekly melaporkan bahawa antara 2011-2013 sahaja, negara teluk seperti Arab Saudi, UAE, Qatar dan Oman telah memperuntukkan lebih USD 300 billion untuk perbelanjaan senjata. Mungkin ini antara faktor mengapa Timur Tengah mundur dan dibelenggu konflik berterusan. Dari sudut ekonomi, direkodkan bahawa hampir separuh daripada 57 negara OIC diklasifikasikan sebagai ’Negara Berpendapatan Rendah’ & ’Negara Miskin dan Tinggi Keberhutangan’. 70-85 % umat Islam dikategorikan sebagai ’non-bankable’ dan 50 % hidup di bawah garis kemiskinan serta 25 % tiada akses pada kemudahan perubatan dan air bersih.

Walaupun industri penjualan senjata ini dikawal dan diselia oleh Perjanjian Pengawalan Perdagangan (Arms Trade Treaty)  yang diluluskan melalui resolusi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada tahun 2009. Namun ironinya Amerika telah menceroboh Iraq dan Afghanistan. Malahan Gaza dihujani bom dan peluru ketika piala dunia 2014 sedang berlangsung di Brazil dengan sokongan penuh Amerika yang menyalurkan bantuan kewangan dan senjata kepada Israel seperti kelengkapan ‘Iron Dome’ Israel yang dibiayai oleh Amerika dengan belanja melebihi USD225 juta.  Hingga kini dilaporkan ribuan rakyat Gaza dan Syria telah terkorban dan tercedera. Walaupun negara-negara ini mengutuk tindakan kententeraan namun hakikatnya mereka yang membekalkan senjata kepada kumpulan-kumpulan bersenjata. Rusia merupakan pembekal senjata dan rakan dagang utama Syria dalam membekalkan pelbagai jenis senjata kepada rejim al-Assad. Begitu juga di Bahrain, dalam keghairahan media barat mengutuk Iran untuk membangunkan tenaga nuklearnya, Amerika dalam masa yang sama telah membekalkan senjata yang besar jumlahnya kepada Bahrain.  Malahan laporan akhbar tempatan menyatakan peluru yang digunakan oleh militan Islamic State (IS) di syria adalah buatan negara China. Apa yang paling dikesali adalah hakikat negara pengeluar senjata utama dunia adalah merupakan ahli tetap majlis keselamatan PBB iaitu Amerika Syarikat, Russia, German, Perancis dan China. Negara yang diamanahkan oleh dunia untuk menjaga kestabilan dan keanaman dunia inilah yang mencetuskan peperangan dan konflik yang tiada berkesudahan.

Isu perdagangan senjata sama ada secara sah atau haram merupakan perkara yang perlu diberi perhatian oleh semua pihak. Di antara punca keganasan dan pembunuhan serta penindasan yang berlaku di seluruh dunia adalah berpunca daripada perdagangan senjata yang tidak beretika. Negara-negara kaya menjadi pengeluar senjata dan menikmati keuntungan yang berlipat ganda melalui penjualan senjata terutamanya kepada negara-negara membangun dan dunia ketiga. Hasil negara yang sepatutnya digunakan untuk tujuan pembangunan terpaksa digadaikan untuk tujuan pembelian senjata atas nama keselamatan. Peluru dan bom tidak mengenal mangsa, sasaran dikunci ke atas sesiapa sahaja yang membidik melalui paparan skrin komputer.  Mustahil untuk mengajar peluru dan bom supaya mengenal siapa musuh dan siapa yang baik. Namun tidak mustahil untuk mengajar manusia agar dapat membezakan mana yang baik dan mana yang buruk. Paksinya adalah agama, semua agama mengajak manusia ke arah kebaikan. Jika pegangan agama lemah, maka makin ramailah manusia yang akan mati di tangan mereka yang berpegang kepada hukum rimba. Memetik kata-kata Nicholas Cage dalam filem “lord of War”, sebuah naskhah filem perdagangan senjata yang diambil dari kisah benar. Beliau berkata “ You know who’s going to inherit the earth? Arms dealers, because everyone is too busy killing each other. Thats the secret of survival, never go to war especiall  with yourself” .



RESTROSPEKTIF POLITIK 2014

Politik merupakan satu wadah nasional di mana ia mempunyai pengaruh yang kuat dalam mengggubal dan mengubah dasar kerajaan. Politik merupakan seni mempengaruhi minda yang dipelopori oleh Ahli Falsafah Yunani Aristotle dan ia tidak jauh berbeza dengan “Art of War” dari Tsun Zu. Boleh dikatakan isu politik tempatan menguasi - dada akhbar dan media perdana di Malaysia saban tahun. Setelah tahun 2013 melabuhkan tirainya maka bermulalah episod baru warna warni politik tahun 2014. Maka pada tahun 2014 isu politik dimulakan dengan isu jawatan Menteri Besar Selangor.Selangor merupakan negeri terkaya dan termaju di Malaysia sejak dahulu lagi, ia bertambah menarik apabila Pakatan Rakyat berjaya mengambil alih Selangor pada Pilihanraya ke 12 lalu dengan kepimpinan yang diterajui oleh Tan Sri Khalid Ibrahim, seorang ahli perniagaan dan salah seorang yang bertanggungjawab dalam operasi “Dawn Raid” satu masa lalu. Jawatan menteri besar Selangor dikatakan berhantu kerana perebutan kuasa berlaku sejak 1964 di zaman Datuk Harun Idris. Ia disusuli zaman Tan Sri Ahmad Razali Mohd Ali (1982-1986), Tan Sri Muhammad Muhd Taib (1986-1997), Datuk Abu Hasan Omar (1997-2000), Mohamed Khir Toyo (2000-2008) dan yang terkini Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.
Desas desus mengatakan Menteri Besar Selangor akan digantikan oleh Anwar Ibrahim sejak tahun beberapa tahun kebelakangan ini nampaknya bakal menjadi realiti apabila “langkah Kajang” digerakkan oleh Pengarah Strategi PKR Rafizi Ramli bagi menggantikan Khalid yang berseteru dengan Azmin Ali. Isu Azmin dan Khalid kembali hangat apabila Khalid memecat Azmin dari Lembaga Pengarah PKNS dan memaksa Anwar Ibrahim campur tangan dalam hal ini.Langkah Kajang bermula apabila Wakil rakyat PKR Lee Chin Cheh meletakkan jawatan sebagai anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) kawasan Kajang Januari lalu bagi memberi laluan kepada Anwar Ibrahim bertanding pada PRK kawasan itu.Lee Chin Cheh yang baru sahaja menjadi Adun selepas pilihan raya pada 5 Mei tahun lepas juga mengucapkan jutaan terima kasih kepada para pengundi beliau yang memberikan sokongan yang tidak berbelah bagi dan memberikan kepercayaan kepadanya untuk berkhidmat untuk sekian masa. "Keputusan saya untuk mengosongkan kerusi DUN N25 Kajang adalah untuk kepentingan bersama dan mengukuhkan kebolehan Pakatan Rakyat berkhidmat untuk rakyat Selangor," kata Lee Chin Cheh dalam satu kenyataannya di media.Lee Chin Cheh yangmerupakan seorang peguam dan bekas ahli parti Gerakan selama 10 tahun menggantikan Lee Kim Sin yang popular sebagai Adun Kajang dalam PRU ke 13 lalu.Dalam PRU13 lepas Lee Chin Cheh mendapat 19,571 undi berbanding calon Barisan Nasional Lee Ban Seng yang mendapat 12,747 undi dengan kelebihan majoriti sebanyak 6,824 undi sekaligus melayakkan beliau menduduki kerusi N25 Dun Kajang. Langkah Kajang yang dicetuskan oleh Rafizi Ramli ini dengan alasan demi kebaikan rakyat Selangor telah menarik perhatian ramai dan pemerhati politik di Malaysia. Ramai yang mengkritik Langkah Kajang kerana ia membazirkan wang rakyat bagi mengadakan pilihanraya kecil,namun tidak kurang  juga yang mengharapkan sesuatu yang positif mampu dijelmakan melalui gerakan ini Banyak perkara dan isu-isu yang menyelubungi “Langkah Kajang” ini antaranya sumber menyatakan ia digerakkan untuk Anwar Ibrahim menjadi Perdana Menteri, malahan tidak juga yang menyatakan ia digunakan bagi menyelesaikan isu moral Anwar Ibrahim di Mahkamah Rayuan. Apa yang pasti “Langkah Kajang” yang dicetuskan ini menunjukkan politik menghalalkan cara berpotensi untuk berlaku atas alasan kepentingan individu.
Ketika drama politik Selangor masih belum menunjukkan tanda-tanda positif di samping perseteruan politik Anwar dan Khalid, ia dihangatkan lagi dengan keputusan Khalid menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) dengan Kerajaan Persekutuan untuk penstrukturan semula industri air di Selangor yang tertangguh sejak tahun 2008. Tindakan khalid itu nampak tidak popular dikalangan pimpinan PKR namun popular di kalangan rakyat. Keputusan beliau yang berhenti bermain tarik tali dalam isu air telah memberikan kelegaan kepada rakyat Selangor kerana sebilangan rakyat sudah cukup letih dengan isu air yang dipolitikkan saban tahun. Malahan sebilangan besar rakyat Selangor sudah cukup merasai keperitan ketiadaan air terutama peniaga-peniaga yang menggunakan air dalam urusan perniagaan seharian. MoU tersebut ditandatangani pada 26 februari lalu  di mana Khalid mewakili kerajaan Selangor dan Menteri Tenaga, Teknologi Hijau Dan Air, Datuk Seri Maximus Ongkili mewakili Kerajaan Persekutuan sambil disaksikan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin. Keputusan populis Khalid  mendapat kecaman dari pucuk pimpinan PKR kerana ia membelakangkan parti dan Anwar Ibrahim sendiri selaku Penasihat Eknonomi Selangor. Malahan Anwar sendiri mengakui keputusan Khalid itu tidak dimaklumkan kepada beliau dan pucuk pimpinan PKR.MoU tersebut  membolehkan kerajaan Selangor mengambil alih empat syarikat konsesi air di negeri berkenaan dengan suntikan dana berjumlah RM2 bilion oleh kerajaan pusat bagi pengambil alihan saham-saham syarikat konsesi.Antara isi kandungan perjanjian tersebut termasuklah kerajaan negeri yang dipimpin Pakatan Rakyat (PR) akan membenarkan Putrajaya meneruskan Loji Rawatan Air Langat 2. Selain itu, kerajaan negeri Selangor juga akan memberikan pampasan bernilai RM9.65 bilion kepada empat syarikat konsesi air tersebut.Melalui pengambilalihan tersebut, satu konsortium air untuk menguruskan industri air di Selangor akan dibentuk di bawah seliaan Kumpulan Darul Ehsan Berhad (KDEB). Di saat Khalid di ambang penyingkiran, beliau mengambil langkah bijak dengan memilih untuk menandatangani MoU tersebut kerana sudah semestinya ia dapat mengambil hati rakyat Selangor dan menaikkan imej beliau sebagai Menteri Besar pertama yang berjaya mengambil alih konsesi Air di Selangor.
Ketika pemerhati melihat “langkah Kajang” berada di landasan yang betul bagi menaikkan Anwar Ibrahim sebagai MB Selangor, langkah terhenti seketika apabila  pada 7 Mac  Mahkamah Rayuan memutuskan menerima rayuan pihak pendakwa raya dan mensabitkan Anwar atas tuduhan meliwat bekas pembantunya, Saiful Bukhari Azlan 6 tahun lalu. Anwar yang didapati bersalah dan dihukum penjara lima tahun secara automatik hilang kelayakan untuk bertanding kerusi DUN Kajang. Berita ini amat mengejutkan dan menyentap seketika moral kem PKR kerana keputusan mahkamah itu dikeluarkan hanya beberapa hari sebelum hari penamaan calon. Keputusan Mahkamah tersebut nyata bukan penghalang kepada kem PKR apabila menamakan Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail sebagai calon yang akan menggantikan Anwar dalam Pilihanraya Kajang ini. Penamaan Dr. Wan Azizah Wan Ismail itu diterima sebulat suara oleh kem Pakatan dan gerak kerja dilancarkan bagi memastikan kemenangan berpihak kepada mereka. Barisan Nasional pula sebulat suara menamakan Datin Paduka Chew Mei Fundari MCA sebagai calon yang akan menentang Wan Azizah.Pencalonan dari MCA ini membuktikan kepercayaan Perdana Menteri kepada kemampuan MCA. Bagi MCA, PRK Kajang ini adalah pemilihan yang penting kerana inilah kali pertama MCA diuji selepas prestasi paling buruk semasa PRU ke 13. Jumlah undi yang akan diperolehi akan menjadi penanda aras bukan saja terhadap kepimpinan presidennya yang baru, Datuk Seri Liow Tiong Lai tetapi juga sejauh mana relevannya parti kaum Cina itu dalam Barisan Nasional dan kepada orang Cina dan rakyat Malaysia. Maka dengan itu segala gerak kerja dan perancangan digerakkan, kempen dijalankan bagi meraih sokongan pengundi. Janji-janji ditaburkan sementelah Kajang diselubungi banyak isu pengurusan seperti sampah dan banjir. Akhirnya pada 23 Mac, Suruhanjaya Pilihanraya Malaysia (SPR) mengumumkan keputusan pilihanraya DUN Kajang di mana Wan Azizah menang dengan majoriti 5,379 undi. Wan Azizah memperolehi jumlah undi sebanyak 16,741 undi dan Chew Mei Fun pula memperoleh 11,362 undi. Kemenangan Wan Azizah sudah dijangka sejak awal lagi, malahan kajian-kajian yang dijalankan oleh Unisel dan UMCDEL juga menunjukkan kemenangan bakal berpihak kepada PKR. Kemenangan beliau memberikan gambaran bahawa langkah Kajang sudah selangkah ke arah kejayaan yang direncanakan.
Setelah isu Kajang melabuhkan tirainya dan kemenangan sudah pun dipaksikan, timbul pula polemik perlaksanaan hukum Hudud di Kelantan. Isu ini bermula apabil Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob mengumumkan akan membawa Rang Undang-Undang Persendirian (RUU) ke Dewan Rakyat pada persidangan sesi Jun 2014 bagi membolehkan pelaksanaan Kanun Jenayah Syariah (ii) 1993 Kelantan seperti yang diperuntukkan oleh Perkara 76 (A) Perlembagaan Persekutuan.Umum mengetahui Parti Islam Semalaysia (PAS) merupakan jaguh utama dalam memutarkan isu hudud setiap kali Pilihanraya diadakan walaupun ia mendapat tentangan dari sekutunya DAP. Maka tidak hairanlah ramai yang mengatakan isu hudud ini akan membawa perpecahan dikalangan parti dalam Pakatan terutama ketidaksefahaman PAS dan DAP berhubung Hudud. Sedar akan kritikan hebat oleh sebilangan rakyat berkenaan isu perlaksanaan Hudud, PAS cuba mengambil langkah kanan dengan membawa isu ini ke Parlimen dan mencadangkan Hudud dilaksanakan awal tahun 2015. Apabila isu hudud ini dilagukan semula, maka bermulaIah episod tuduh menuduh dan hukum menghukum di kalangan ahli politik dan agamawan non-partisan dan partisan. Isu tuduh menuduh dalam perlaksanaan hudud bukan  perkara baru, malahan ia sudah berlaku sejak PAS berjaya mengambil alih Kelantan. Isu Hudud ini turut menarik perhatian UMNO apabila UMNO menyarankan agar Jawatankuasa Teknikal Hudud diwujudkan bagi membincangkan isu hudud ini di peringkat yang lebih tinggi. Malahan ada ura-ura menyatakan negeri di bawah pemerintahan BN juga akan melaksanakan hudud. Namun apa yang paling penting adalah bagaimana PAS ingin melaksanakan hudud jika ia mendapat tentangan dari DAP, malahan dalam buku jingga juga tidak menyebut tentan perlaksanaan hudud di negeri pakatan. UMNO sebagai parti terbesar melayu juga di dalam dilema apabila MCA selaku parti komponen juga menentang perlaksanaan hudud walaupun Dato Seri Najib Tun Razak memberi jaminan akan menyokong perlaksanaan hudud. Mungkin isu hudud ini boleh dijadikan sebagai wadah penyatuan UMNO dan PAS walaupun ia agak mustahil dilakukan. Tetapi jika masing-masing ikhlas dalam perjuangan hudud seharusnya UMNO dan PAS perlu dan mengenepikan sentimen politik dan bergabung terlebih dahulu dalam usaha merealisasikannya.

Di saat dan ketika Pakatan berbalah berkenaan isu hudud, Malaysia dikejutkan dengan berita kematian Ahli Parlimen Bukit Gelugor Karpal Singh, beliau yang juga dikenali sebagai Harimau Jelutong terlibat dalam kemalangan maut di km 301.6 Lebuh Raya Utara-Selatan berhampiran Gua Tempurung , Perak pada 17 April 2014 lepas.  Kematian beliau membawa satu keputusan yang jelas di mana Pilihanraya kecil perlu diadakan bagi mengisi kekosongan kerusi Parlimen Bukit Gelugor. Maka SPR telah memutuskan PRK Parlimen Bukit Gelugor akan diadakan pada 25 mei 2014 di mana rakyat Malaysia menyaksikan pertarungan berat sebelah di mana calon DAP Ramkarpal Singh mendapat undi sebanyak 41,242 undi, calon Parti Cinta Malaysia Huang Cheng Guan mendapat undi sebanyak 3583 undi, calon Bebas Mohd Nabi Bux Mohd Abd Sathar mendapat 799 undi dan seorang lagi calon Bebas Abu Backer Sidek Mohammad Zan mendapat 225 undi. Ramkarpal Singh menang dengan majoriti 37,659         dan memastikan kerusi Parlimen Bukit Gelugor kekal milik DAP. Selepas PRK Bukit Gelugur,  menyusul pula PRK Teluk Intan yang menyaksikan pertarungan satu lawan satu diantara calon Barisan Nasional Datuk Mah Siew Keong dengan Setiausaha Politik kepada Ahli Parlimen, Lim Kit Siang , Dyana Sofya Mohd Daud yang bertanding atas tiket DAP. PRK Teluk intan ini diadakan pada 31 Mei 2014  berikutan kematian penyandangnya  Seah Leong Pei dari parti DAP pada 1 Mei 2014. PRK Teluk Intan ini menyaksikan kontroversi apabila DAP dikatakan mempergunakan calon Melayu bagi meraih undi pengundi Melayu di sana, malahan Dyana Sofya dan ahli keluarganya turut dikecam kerana bertanding di atas tiket DAP. Keputusan PRK Teluk Intan ini menyaksikan Datuk Mah Siew Keong menang dengan majoriti 238 undi di mana Datuk Mah memperoleh 20,157 undi berbanding calon DAP, Dyana Sofya Mohd Daud, 27, yang mendapat 19,919 undi.

Kemenangan Datuk Mah Siew Keong pada PRK Teluk Intan telah membuka peluang  kepada MCA untuk menyertai Kabinet Kerajaan Persekutuan setelah MCA menolak untuk menyertai kabinet berikutan prestasi buruk pada PRU yang lepas. Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak telah mengumumkan rombakan kecil kabinet melalui penyertaan semula pemimpin parti komponen Barisan Nasional (BN) daripada Gerakan dan MCA. Beliau berkata kemasukan semula wakil MCA dan Gerakan dalam barisan Kabinet akan mengukuhkan konsep perkongsian kuasa dalam pentadbiran negara yang melibatkan semua kaum di negara ini. Melalui rombakan kecil ini, sebanyak enam jawatan telah diberikan kepad MCA dan GERAKAN di mana Presiden MCA, Datuk Seri Liow Tiong Lai dilantik memegang jawatan sebagai Menteri Pengangkutan. Presiden Gerakan, Datuk Mah Siew Keong dan Timbalan Presiden MCA, Datuk Dr. Wee Ka Siong dilantik sebagai menteri di Jabatan Perdana Menteri. Sementara itu, tiga Naib-Presiden MCA iaitu Datuk Lee Chee Leong dilantik sebagai Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Chua Tee Yong dilantik sebagai Timbalan Menteri Kewangan dan Datin Paduka Chew Mei Fun dilantik sebagai Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat. Keputusan Perdana Menteri ini nyata mendapat reaksi yang bercampur baur, ada yang memuji dan tidak kurang juga yang mengkritik. Namun demikian ia jelas menunjukkan semangat permuafakatan parti komponen Barisan Nasional sentiasa utuh dan dijaga sebaiknya sejak kemerdekaan Tanah Melayu sehingga ke hari ini.

Tidak dinafikan kunci kekuatan Barisan Nasional dalam memerintah Negara terletak pada semangat permuafakatan dan bertolak ansur yang telah diamalkan oleh pemimpin-pemimpin terdahulu. Walaupun setiap parti berbeza ideologi berlandaskan bangsa dan agama, namun masing-masing punya matlamat yang sama dan faham keterbatasan dalam berpolitik. Ia amat berbeza sekali dengan apa yang berlaku pada kem Pakatan apabila usaha untuk menjatuhkan Tan Sri Khalid terus digerakkan dengan agresif dan ia bermula apabila Tan Sri Khalid tewas pada pemilihan PKR Kuala Selangor kepada S.Manikavasagam. Kekalahan Khalid nyata mencetuskan keraguan kerana beliau tewas kepada calon yang bermasalah dan bukan dalam kelasnya. Setelah itu pada 21 Julai 2014 PKR menamakan Dr Wan Azizah sebagai calon MB Selangor menggantikan Tan Sri Khalid. Tan Sri Khalid dalam reaksi balasnya menyatakan beliau menerima dengan hati yang terbuka keputusan parti yang mencalonkan Dr Wan Azizah sebagai pengganti beliau namun segala prosedur haruslah berlandaskan kepada undang-undang tubuh kerajaan negeri. Namun ramai yang tidak bersetuju Tan Sri Khalid digantikan kerana ramai yang menganggap ia hanya bermotifkan politik semata-mata. Maka demi meyakinkan rakyat, setiausaha agung PKR Datuk Saifuddin Nasution mendedahkan nota setebal lebih 40 muka surat mengenai dakwaan salah laku Abdul Khalid seperti isu penjualan tanah milik kerajaan negeri Selangor kepada Eco World dan projek pembinaan rumah mampu milik di Sungai Sering, Ukay Perdana. Isu dan skandal tersebut telah dijawab oleh Tan Sri Khalid dan beliau berkeras tidak akan meletak jawatan kerana isu yang remeh temeh tersebut. Akhirnya beliau dipecat oleh parti, namun drama politik ini tidak terhenti setakat ini di mana beliau mendapat perkenan Sultan Selangor untuk terus menjadi MB Selangor. Malahan siapa sangka beliau mengambil tindakan berani dengan memecat lima anggota Exco-nya  yang terdiri daripada DAP dan PKR yang telah mendapat perkenan Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah berkuat kuasa pada 12 Ogos 2014. Dalam isu ini apa yang menarik perhatian adalah tindakan PAS yang menongkah arus dengan menyatakan sokongan kepada pentadbiran Tan Sri Khalid dan ke-empat-empat Exco PAS di bawah pentadbiran Tan Sri Khalid juga dikekalkan kerana sokongan yang diberikan.

Walaupun tindakan PAS menyokong Tan Sri Khalid mendapat kritikan dari rakan sekutu, namun Presiden PAS punya pendirian. Ketika ini ramai yang berteka teki dan beranggapan PAS akan bekerjasama dengan UMNO membentuk kerajaan gabungan di Selangor dan Tan Sri Khalid kekal sebagai MB. Namun ketika rakyat khayal dengan mainan teori, PAS dikejutkan dengan tindakan dua adunnya Adun Hulu Klang Saari Sungib dan Adun Morib Hasnul Baharuddin yang menyatakan sokongan secara terbuka kepada pencalonan Dr Wan Azizah sebagai MB baru. Tindakan kedua-dua adun tersebut nyata mengejutkan kem PAS kerana ia membelakangkan parti dan ia mendapat kecaman Presiden PAS. Malahan munculnya PASMA sebagai NGO dalam PAS di tengah-tengah ketegangan krisis juga menunjukkan PAS betul-betul berada dalam kedudukan yang lemah dalam menghadapi isu ini. Ketika ini kedudukan Tan Sri Khalid mula goyah kerana jumlah adun yang tidak menyokongnya lebih ramai dari yang menyokongnya. Akhirnya Sultan Selangor menitahkan setiap parti menghantar lebih dari satu nama untuk dipertimbangkan oleh Sultan.  DAP dan PKR tetap dengan pencalonan tunggal iaitu Dr Wan Azizah manakala PAS mengambil langkah bijak untuk tidak berkrisis dengan Istana dengan menghantar lebih dari satu nama. Namun apa yang menarik adalah keputusan PAS yang membuat pusingan U apabila menyatakan sokongan kepada Dr Wan Azizah dan menolak Tan Sri Khalid dengan alasan Tan Sri Khalid telah dipecat dari parti dan beliau tiada kapasiti untuk terus kekal sebagai MB. Setelah hampir 3 bulan berteka teki, akhirnya drama politik ini sampai ke penghujung apabila Sultan Selangor mengumumkan Menteri Besar baru akan mengangkat sumpah di Istana Alam Shah Klang pada 23 September. Mungkin sudah tertulis rezeki Azmin Ali untuk menjadi MB, maka beliau secara rasminya mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar Selangor yang baru menggantikan Tan Sri Khalid Ibrahim. Mungkin ramai yang menggaggap segala drama yang berlaku ini adalah satu perancangan untuk menaikkan Azmin Ali sebagai MB, namun cara dan kaedah yang “di luar kotak” ini nyata membuatkan ramai jelak dengan orang politik. Namun krisis MB sudah berakhir, sudah tiba masanya Azmin Ali membuktikan beliau layak untuk menggantikan Tan Sri Khalid yang mempunyai rekod yang cemerlang dalam pentadbiran Selangor sehingga berjaya menaikkan rizab simpanan Selangor sehingga Rm 3 billion, sesuatu yang tidak pernah dicapai sebelum ini. Ketika ini Azmin Ali sedang bekerja dan seharusnya tiada lagi drama penyingkiran berlaku di era Azmin.

12 Oktober 2014 telah berlangsung Perhimpunan Agung Persatuan Cina Malaysia (MCA) ke-61 yang diadakan di Wisma MCA. Perhimpunan tersebut dipengerusikan oleh Presiden Dato’ Seri Liow Tiong Lai dan dirasmikan oleh YAB Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak selaku penegrusi Barisan Nasional. Membincangkan banyak isu-isu utama berkisarkan hal-hal kepartian dan juga masalah nasional, perhimpunan agung ini menjadi satu platform kepada perwakilan untuk menyuarakan hasrat dan suara kepada pucuk pimpinan. Banyak resolusi yang yang diluluskan namun apa yang menarik perhatian adalah isu sekolah vernakular, isu yang sudah lama dipertahankan dan diperjuangkan oleh parti kaum Cina di Malaysia. Sesuatu yang menarik dalam isu ini ialah walaupun DAP dan MCA berada di landasan politik yang berbeza, namun jika ditebak dengan isu SJKC mereka akan bersatu dalam hal ini. Ia nyata jauh bebeza dengan senario politik kaum Melayu yang lemah dan berpecah belah walaupun mempunyai agama dan warna kulit yang sama. Pada perhimpunan MCA tersebut, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata masayarakat Cina tidak perlu risau dan bimbang mengenai status Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) tetapi Perdana Menteri mahu kaum Cina meningkatkan penguasaan bahasa kebangsaan. Isu ini kembali hangat apabila ada ahli UMNO mencadangkan isu sekolah vernakular ini dibahaskan di Perhimpunan Agong UMNO 2014. Malahan isu ini dibahaskan secara terbuka oleh ahli akademik dan para sejarawan di media arus perdana. Menyedari akan hakikat isu pendidikan SJKC  merupakan isu yang dekat di hati masyarakat Tionghua di Malaysia, maka SJKC dipertahankan untuk kepentingan kaum Cina dan juga kepentingan politik sesetengah individu. Sudah pasti jaminan yang di berikan oleh Perdana Menteri memberikan satu kelegaan kepada kaum cina di Malaysia namun isu ini akan tetap terus dibahaskan oleh pihak-pihak yang berkepetingan selagi ia mampu memberikan faedah politik.

Jendela November menyaksikan teguran terbuka oleh Dato Seri Najib Tun Razak kepada UMNO Selangor berikutan prestasi buruk UMNO Selangor pada PRU ke 13 yang menyaksikan UMNO hanya mendapat 12 kerusi Dun, lebih teruk dari prestasi pada PRU ke 12 di mana UMNO mendapat 20 kerusi Dun. Tempoh masa 5 tahun dari 2008 bagi UMNO untuk mengubah situasi politik dan meyakinkan rakyat Selangor untuk memilih bersama BN nampaknya tidak menjadi. Tambahan pula ketika krisis MB Selangor, UMNO langsung tidak menunjukkan taringnya dalam mengambil kesempatan politik dalam isu tersebut memandangkan ia merupakan bola tanggung kepada UMNO. Maka tidak hairanlah UMNO Selangor mendapat teguran dari Perdana Menteri selaku pengerusi BN, Perdana Menteri menggesa UMNO supaya bekerja keras dan meningkatkan cara kerja demi meyakinkan rakyat Selangor pada PRU akan datang. Kritikan tersebut di sulami dengan teguran terbuka oleh Mantan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir yang menggesa perubahan UMNO Selangor melalui penyusunan dan penukaran pemimpin sedia ada. Tun Mahathir juga menyatakan pandangan beliau di laman blognya perihal UMNO Selangor, beliau menyatakan UMNO Selangor perlu mencari pelapis baru bagi menjamin kesinambungan UMNO. Beliau menambah UMNO Selangor perlu fokus pada generasi –Y pada PRU ke 14 dan mengikis imej parti rasuah yang seolah-olah sudah lekat dengan UMNO. Kritikan Perdana Menteri dan Tun Mahathir ini nyata memberikan satu tamparan yang hebat kepada UMNO Selangor malahan UMNO di semua negeri di Malaysia. Jika diamati reaksi balas kepada kritikan Tun Mahathir menunjukkan pemimpin UMNO Selangor tidak sedia menerima pendapat dan kritikan orang lain, malah pemimpin UMNO Selangor kebal dengan kritikan. Tetapi bedasarkan kepada kapasiti Tun Mahathir sebagai pejuang UMNO dari zaman pascamerdeka lagi membuktikan beliau antara orang paling layak untuk memberikan pandangan dan kritikan kepada UMNO kini. Kritikan yang dilemparkan harus diambil sebagai pedoman, malahan Dato Seri Najib boleh dijadikan sebagai contoh terbaik apabila beliau menerima kritikan terbuka Tun Mahathir yang lantang mempersoalkan gaya kepimpinan beliau pada September lepas. Tanpa pemimpin lama pemimpin baru tidak mampu berdiri, tanpa pemimpin baru idea segar tidak dapat diterjemahkan, begitulah perumpamaanya.

Jendela politik 2014 hampir melabuhkan tirainya, banyak isu-isu yang terjadi yang mewarnai iklim politik Malaysia. Di sebalik keriuhan suhu politik Malaysia seharusnya rakyat tidak melupakan bagaimana Malaysia telah terbentuk. Malaysia terbentuk melalui semangat permuafakatan dan persefahaman yang dibina dan dijalin sejak sekian lamanya. Seharusnya semangat permuafakatan ini dikekalkan sehingga ke generasi akan datang kerana ia merupakan kunci kesejahteraan Malaysia. Dalam keterbukaan melontarkan idea seharusnya ada ketenangan dalam berbicara, agar semua rakyat dapat merasa nikmat keamanan yang akan kekal sampai bila-bila.